Jumaat, 20 September 2013

HOT! Mukhriz Bertanding Kerana Tun Mahathir? #MM4VP #BeraniBerubah


ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kehadiran beliau dalam politik negara bukan bertujuan untuk mewujudkan dinasti bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tetapi kerana minat beliau sendiri.

Katanya malah beliau pernah disekat daripada melibatkan diri dalam politik oleh bapanya ketika Dr Mahathir memegang tampuk kepimpinan negara dan Umno.

"Kalau benar beliau hendak wujudkan dinasti, awal-awal lagi semasa zaman beliau presiden parti dan perdana menteri (keempat) selama 22 tahun, beliau boleh menarik abang saya, (Datuk) Mokhzani dan saya untuk didedahkan kepada politik dan pentadbiran kerajaan.

"Saya akui "bin" saya memang menarik perhatian. Ia juga menaikkan saya ke satu imej tertentu kerana beliau (Tun Dr Mahathir) menjadi pemimpin untuk tempoh yang lama dan beliau masih ada sokongan yang tinggi. Saya seronok dapat meneruskan apa yang beliau perjuangkan tetapi saya ada idea-idea saya sendiri," katanya pada sidang media selepas mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau mengumumkan hasratnya itu pada majlis memperkenalkan calon-calon dari Kedah bagi pemilihan Umno di peringkat pusat di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di sini, Khamis. Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah berkata ketika ini sudah ada di kalangan rakyat dan perwakilan Umno yang mula menilai keupayaan beliau sendiri untuk mentadbir dan memikir strategi demi kelangsungan parti.

Sementara itu, katanya beliau akan mengisi borang untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Jerlun pada pemilihan bahagian itu setelah diberi laluan oleh penyandang Datuk Abu Hasan Sarif.

"Datuk Abu Hasan maklumkan saya bukan bertanding tetapi penyerahan jawatan daripada beliau kepada saya. Kami (Umno Kedah) percaya penuh kepada perpaduan kerana menerusi perpaduan kami memenangi semula negeri ini. "Beberapa daripada "kawasan" kami, saya akui wujud sedikit perpecahan sebelum ini tetapi menjelang pilihan raya umum lepas kami berjaya menyelesaikannya, dan mengenepikan semua perbezaan pendapat dan berjuang sebagai satu barisan bersepadu dan ianya membuahkan hasil," katanya. -BERNAMA


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam, aku berpendapat macam tk brapa sesuai lg waktu la ni Mukriz tanding jawatan Naib. Dia masih baru nk belajar politik, kena pulak Kedah baru saja 'SAKIT TENAT' dikerja kan PAS.. UMNO Kedah pun baru nk bernafas remaja. Eloknya Mukriz jgn gopoh atau termakan jarum2 perosak di kelilingnya yg nk jd parasit tak lama nanti. Org2 mcm ni cuba cucuk Mukriz supaya naik cepat atas kepentingan tertentu.

Lebih manis Mukriz tanding MT dulu, masa yg sama perkukuhkan Agenda Transformasi Kedah dan UMNO Kedah. Byk benda nk kena pikiaq utk Kedah yg bermsalah ni. Org Bijak dan Muda mcm Mukriz ada banyak masa dan peluang. Org cerdik takkan terpinggir dengan masa. Insya Allah itu lebih baik.

Tp tktaulah kot org dalam UMNO lbh tau. Kami rakyat besa ni tgk kot luaq ja.. harap2 mengejar jawatan dlm UMNO tak merosakkan masa depan dan talent Mukriz.. demi kebaikan org Melayu dan UMNO.

Wallahualam