Khamis, 9 April 2015

Kedah Tidak Memandang Remeh Gerakan Ajaran Wahabi - Exco


Kerajaan Negeri Kedah tidak memandang remeh gerakan ajaran Wahabi walaupun ajaran itu tidak dikesan di Kedah tetapi bimbang dengan gerakan ekstrem dibawa fahaman Wahabi yang dilihat mampu menjurus kepada kecenderungan untuk menyertai kumpulan militan.

Semasa sesi kedua sidang Dun Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid telah menjawab isu tersebut di dewan.

"Kami tidak mahu pemikiran ekstrem yang diperolehi mereka dari negara luar dibawa masuk ke Malaysia kerana bimbang ia boleh menyebabkan perpecahan berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Kami takut fahaman ini akan merosakkan negara kerana fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang kita pegang sama sekali tidak menggalakkan kekerasan seperti membunuh orang," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Yahya (PAS-Alor Mengkudu).

Kerajaan Negeri telah meminta imam dan guru pondok untuk memberi penerangan lebih jelas tentang bahaya fahaman itu.

Selepas sidang DUN tamat, beliau berkata walaupun fahaman Wahabi tidak menyesatkan tetapi ia dilihat cenderung ke arah fahaman ekstremis.

"Contohnya, ulama yang tidak sealiran dengan fahaman mereka akan dianggap sebagai kafir. Lebih memeranjatkan apabila ada kitab-kitab yang ditulis oleh ulama Wahabi yang mengkafirkan Imam Nawawi," katanya.

Katanya, sehingga kini kerajaan negeri Kedah tidak mengeluarkan fatwa mengenai pengharaman fahaman Wahabi di negeri ini namun pemantauan untuk memastikan fahaman itu tidak tersebar sentiasa dijalankan.

Tiada ulasan: