Pages

Khamis, 1 April 2010

Kenapa kita perlukan Model Ekonomi Baru!


KENAPA negara kita memerlukan Model Ekonomi Baru (MEB)? Kita sudah ditinggalkan oleh jiran-jiran kita. Pelaburan asing walaupun ada datang tetapi sudah berkurangan. Syarikat swasta kita sendiri tidak melabur dalam negara sendiri. Mereka pergi ke tempat lain untuk mencari keuntungan.

Kita terlekat dengan pendapatan pertengahan. Negara-negara yang satu masa dulu sama taraf pendapatan dengan kita seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Singapura kini telah jauh meninggalkan kita.

Pendapatan perkapita kita hanya setakat AS$7,000 (RM23,100) sedangkan negara yang sama taraf dengan kita satu masa dulu sudah meningkat dua hingga lima kali ganda daripada perkapita kita.

Kenapa pelaburan asing berkurangan? Syarikat asing memberikan pelbagai sebab mengapa mereka tidak lagi datang ke sini. Pertama, industri kita masih lagi bertumpukan industri bergaji rendah dan teknologi rendah yang kurang nilai tambahnya dalam produk keluaran.

Kedua, bagi industri berteknologi tinggi, kita tidak memiliki tenaga pekerja yang berkemahiran. Ramai tenaga kerja berkemahiran kita lari ke negara jiran atau negara lain kerana mereka boleh mendapat gaji yang dua tiga kali ganda lebih tinggi daripada negara sendiri.

Golongan profesional kita juga begitu. Ramai yang sudah lari ke negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan Singapura, malahan Indonesia sendiri memberikan gaji yang lebih tinggi daripada kita.

Ketiga, ramai pelabur yang merungut susah untuk memulakan perniagaan dengan kerenah birokrasi yang menjadi-jadi. Kalau di tempat lain, apa jua yang perlu untuk memulakan perniagaan – boleh dilakukan dalam beberapa jam tetapi di sini, mengambil masa berbulan.

Satu maklum balas yang tidak pernah kita alami dalam tahun-tahun 1990-an dulu adalah jenayah. Ramai orang luar berasa bimbang dengan keadaan jenayah di negara kita. Ini kerana ia menimbulkan keadaan yang tidak selamat kepada diri dan keluarga. Lihat saja akhbar kita setiap hari dipenuhi dengan kisah pembunuhan, rompakan dan ragut.

Walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri berusaha sedaya upaya untuk membasmi jenayah itu, tetapi keadaan masih belum selamat.

Syarikat kita juga tidak melabur dalam negara sendiri. Sumbangan pelaburan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 40 peratus kira-kira 10 tahun dulu jatuh sehingga ke paras 20 peratus. Orang kita sendiri rela melabur di luar negara – kenapa?

Di sini, tidak ada industri yang boleh memberikan mereka keuntungan yang lebih seperti yang boleh diperoleh dari luar negara. Lihat sahaja Vietnam yang sekian lama menjadi mangsa perang dengan Amerika Syarikat selama bertahun-tahun kini telah bangkit mencabar kedudukan jiran-jirannya.

Dari sudut usaha dan inovasi, kita kalah dengan mereka. Apa yang peliknya adalah sektor swasta yang sepatutnya menaikkan taraf teknologi industri kita. Kalau semuanya sudah lari ke negara lain, siapakah yang akan melonjakkan tahap perindustrian kita ke tahap yang lebih tinggi?

Selain itu, sektor awam sedia maklum bahawa rasuah masih belum dapat dibanteras. Mungkin orang yang memberi dan menerima rasuah tidak sedar bahawa orang dalam dan luar negara tahu akan penyakit buruk yang boleh meruntuhkan negara ini.

Keadaan semasa menunjukkan jurang perbezaan pendapatan antara yang kaya dan miskin semakin meluas. Mereka yang duduk di paras bawah 40 peratus mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 dan 80 peratus daripada golongan ini terdiri daripada orang Melayu. Juga jurang antara satu rantau dengan satu rantau lagi juga luas.

Misalnya, antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak. Kemiskinan di Sabah dan Sarawak, Kelantan dan Terengganu mencapai paras 25 peratus berbanding dengan paras purata nasional 5 peratus.

Apa yang jelas adalah satu keadaan yang ketiadaan kesaksamaan dalam ekonomi antara satu kaum dengan satu kaum yang lain. Kaum majoriti penduduk negara ini merupakan golongan yang kedudukan ekonominya lemah berbanding dengan kaum lain.

Keadaan yang begini mempelawa ketidakstabilan dalam kalangan kaum-kaum di negara ini, dan apa jua dasar yang ingin mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tidak tercapai sepenuhnya disebabkan pelaksanaan yang mempunyai banyak kelemahan.

Salah satu kelemahan yang kerap dibangkitkan oleh pengkritik Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah ia menguntungkan orang-orang tertentu, mereka yang mempunyai kaitan dan hubungan dengan pemimpin dan pentadbir atau tergolong dalam golongan yang mempunyai pengaruh atau boleh membawa pengaruh.

Oleh itu, DEB tidak sampai ke sasaran yang diinginkan. Tidak hairanlah kalau pengkritik mengatakan mereka yang berdegar-degar menyuruh DEB diteruskan terdiri daripada mereka yang ‘tukang tenggek’ (rent-seekers) yang bimbang peluang-peluang mereka mendapatkan projek secara mudah tanpa bekerja kuat akan musnah kalau tidak diteruskan.

Sebenarnya, negara kita tidak boleh terus dalam keadaan di mana jurang ekonomi antara golongan majoriti (60 peratus) dengan golongan minoriti bertambah luas. Kalau semua bidang ekonomi sudah dikuasai oleh golongan minoriti, bagaimana golongan majoriti ini boleh memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.

Syarikat swasta yang rata-rata dikuasai oleh bukan Melayu tidak akan mengambil orang Melayu bekerja dengan mereka. Mereka yang menguasai rantaian bekalan tidak akan memberikan potongan kepada bahan binaan yang diperlukan oleh kontraktor Melayu. Projek swasta tidak akan diberikan kepada kontraktor Melayu.

Pada waktu yang sama, penjawat awam juga harus mengamalkan dasar adil kepada yang layak menerima tidak kira bangsa. Misalnya, jangan disekat kenaikan pangkat di institusi pengajian tinggi bagi tenaga pengajar yang layak.

Pelajar yang memenuhi syarat kemasukan universiti misalnya tidak patut ditolak. Lesen dan permit tidak patut dibolot oleh sesuatu golongan sahaja.

Banyak reformasi perlu dijalankan selaras dengan pelaksanaan MEB ini. Selain daripada cara menghasilkan modal insan yang boleh memenuhi kehendak negara, perkhidmatan awam juga wajar dilakukan reformasi.

Lihat sahaja masalah yang dihadapi pada masa lalu dengan pelaksanaan misalnya apa yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Kalau sesuatu dasar atau program itu tidak difahami dan jenis tindakan yang diperlukan tidak sampai ke peringkat bawahan, sesuatu rancangan, program atau model itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Hal ini telah dapat kita saksikan pada masa lalu. Program Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera misalnya ghaib begitu sahaja walaupun ada peruntukan sebanyak 12 kluster dalam pelbagai sektor pembangunan usahawan yang telah dihuraikan dalam RMK-9. Jadi, yang kesembilan pun belum dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya, kita kini di ambang memperkenalkan yang ke-10 pula.

Apa MEB akan lakukan adalah mengubah struktur ekonomi negara kita supaya tahap persaingan kita akan lebih meningkat supaya pendapatan perkapita menjelang 2020 adalah AS$17,000 (RM56,100).

Hasrat yang lainnya supaya industri berasaskan pengetahuan ke hadapan, selain daripada tanah, buruh dan modal, serta inovasi dan kreativiti menjadi fokus utama.

Ini adalah satu arahan besar yang memerlukan banyak pihak, baik yang mendokong mahupun yang menyokong seperti institusi kewangan melakukan reformasi masing-masing.

Pendapatan lebih tinggi tidak bermakna memberi gaji yang lebih sahaja. Yang lebih penting adalah peningkatan dalam produktiviti. Kini, angka indeks produktiviti itu rendah dan kita perlu tingkatkannya.

Banyak yang perlu diberikan tumpuan kepada aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) kalau kita ingin maju.

Apa juga kekuatan negara kita seperti sumber alam dan kepelbagaian budaya dan masyarakat harus kita terokai sepenuhnya.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Sumber Utusan

MctHeory:
Salah satu post mengenai MEB untuk pembaca!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Segala Komen Anda Adalah Tanggung Jawab Sendiri.

Harap Maaf dan Harap Maklum!