Datu Amir Bahar-Pemerintah tentera Sulu Yang berjaya ditahan di Semporna |
Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang
25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah
walaupun mereka mengakui beragama Islam.
Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan
melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan
sepanjang operasi itu.
“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.
“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.
Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan
terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang
dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak
keselamatan.
Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa
didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher,
lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh
menjadikan mereka kebal.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat,
anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang
dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada
ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.
Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25 tahun
bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 15
Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu jihad.
“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak sedih
dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya itu
selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.
Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam
kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di daerah
ini bersama anaknya.
Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun
Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.
Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu terbunuh
dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala jumlah yang
ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Segala Komen Anda Adalah Tanggung Jawab Sendiri.
Harap Maaf dan Harap Maklum!