Sabtu, 28 Jun 2014

HOT!! Ibu Abaikan Anak OKU di Hukum..


RASAH - Ibu remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui dalam keadaan tragis dan menyayat hati di Flat Taman Semarak, Nilai dekat sini, Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan mengabaikan dan meninggalkan anaknya tanpa pengawasan.

Lolanopita Sadi, 40, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mengabaikan Muhammad Firdaus dengan cara yang mungkin menyebabkan anaknya itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi di Flat Taman Semarak, Nilai sekitar pukul 2.30 pagi, antara Januari dan 21 Jun lalu.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu penyajian makanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja membiarkan Muhammad Firdaus tinggal tanpa pengawasan yang sepatutnya pada pukul 2.30 pagi, 21 Jun lalu di tempat yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh wanita itu.


Lolanopita yang diwakili peguam bela, Hanif Hassan pula memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,000 bagi setiap pertuduhan agar dia dapat kembali memelihara anaknya.

Jagjit kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 24 Julai ini.

Wanita itu bagaimanapun dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2 petang ini selepas gagal membayar jaminan.

Memetik laporan akhbar, Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan kurus kering sehingga menampakkan benjolan tulang, kotor, hanya memakai baju T yang koyak dan reput serta berlumuran najis di flat tersebut pada awal pagi Sabtu lalu oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang melakukan operasi memburu pendatang asing tanpa izin.

Muhammad Firdaus kini ditempatkan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk rawatan pemulihan. - Utusan


Pengajaran buat semua Ibu.. kalau pun dah taknak anak tu. Sila hantar dirumah yang boleh jaganya dengan baik, bukan dikurung dan diseksa. kesiann..

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

anak tu adalah ahli syurga, dh terjamin tempat utk dia.

apa punya ibu ntah.