Ahad, 17 Mei 2015

Kerosakan Penstabil Punca Nahas Helikopter Terhempas - Liow Tiong Lai


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai  mendedahkan laporan awal mengenai siasatan nahas helikopter Eurocopter Dauphin 9M-IGB yang menghadapi masalah pada roda pendaratan kiri helikopter yang terbenam di tanah lembap, ketika mendarat menyebabkan kerosakan teruk pada penstabil sebelah kiri tersebut.

Siasatan juga mendedahkan terdapat kesan kebocoran cecair hidraulik berlebihan kira-kira 10 meter di lokasi pendaratan terakhir sebelum kemalangan berlaku.  Maklumat berkenaan diperoleh daripada hasil siasatan dan pemeriksaan pada kawasan pendaratan terakhir di padang bola sepak, Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagia, Rompin sebelum kemalangan berlaku.

Mengikut Datuk Seri Liow,

"Roda pendaratan kiri helikopter terbenam kira-kira 20 inci ke dalam tanah yang menyebabkan helikopter condong kira-kira 13 darjah ke kiri.

"Keadaan memungkinkan bahagian ekor bawah fenestron penstabil mendatar sebelah kiri dan sirip menegak disyaki mengalami kerosakan.

"Terdapat juga kesan kebocoran berlebihan pada lubang roda pendaratan kiri serta di atas rumput kira-kira 10 meter ke hadapan tempat pendaratan apabila juruterbang menaikkan semula helikopter untuk terbang," sambung beliau.

Hasil rakaman audio diperolehi juga mendedahkan juruterbang helikopter itu menyatakan kekhuatiran tentang kebocoran cecair hidraulik berkenaan.

"Setelah menurunkan seorang penumpang di lokasi tersebut, 9M-IGB telah berlepas pada jam 4.25 petang. Pada masa itu dari rekod audio diperolehi kita dapat tahu bahawa juruterbang berasa khuatir tentang kebocoran cecair hidraulik. Kita juga tahu bahawa antara 4.31 petang hingga 4.52 petang juruterbang tidak membuat sebarang panggilan kecemasan," kata Liow lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung laporan awal nahas helikopter yang mengorbankan bekas ahli parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan lima individu lain.

Tambah Liow, menurut fakta yang diperoleh, sebuah lagi helikopter yang berada berdekatan telah membuat panggilan radio dan menyatakan bahawa helikopter 9M-IGB telah membuat penurunan curam sebelum terhempas.

Dalam pada itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara akan meneruskan penyiasatan bagi menentukan punca penurunan curam serta faktor-faktor lain yang menyumbang kepada nahas helikopter berkenaan, malah beliau sebagai menteri pengangkutan akan sentiasa mengikuti perkembangan terbaru siasatan nahas yang melibatkan antara individu penting dalam negara.

Tiada ulasan: