Selasa, 19 Mei 2015

Rogol Tapi Bebas Hukuman, Wanita MCA Ambil Tindakan


KECOH jadinya apabila Mahkamah Rayuan Kuching, Sarawak baru-baru ini memutuskan seorang tertuduh kes rogol bawah umur, Bunya Jalong dibebaskan atas alasan tiada bukti berlaku penetrasi zakar.

Tertuduh, 60 tahun dibebaskan daripada hukuman asalnya selepas mahkamah rayuan mendapati empat sabitan kes rogolnya ‘tidak kukuh’, Khamis minggu lalu. Berikutan itu, ramai yang mempertikaikan keputusan tersebut yang membuktikan undang-undang sivil kini tidak mampu membela mangsa. Menurut rekod siasatan, Bunya didapati bersalah merogol gadis berusia 14 tahun pada Mei, Jun, Julai dan Ogos 2011 di sebuah hotel di Sibu.

Jenayah seksual yang dilakukan tertuduh mengakibatkan mangsa mengandung dan melahirkan anak di Hospital Sibu pada 5 Februari 2012. Bunya bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah rayuan atas alasan dia hanya memasukkan jarinya yang berlumur air mani ke dalam faraj mangsa dan bukan melalui penetrasi zakar. Ini kerana undang-undang sivil di Malaysia menyatakan penetrasi jari dan benda asing tidak dianggap rogol meskipun ujian DNA membuktikan anak yang dilahirkan mangsa adalah darah daging Bunya.

Disebabkan itu Wanita MCA akan memohon bagi semakan kehakiman berhubung kes rogol ini apabila pesalah dalam kes dibebaskan walaupun mengaku bersalah melakukan jenayah itu. Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata beliau dan pasukannya akan berjumpa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail minggu depan berhubung keputusan kes itu, yang beliau sifatkan sebagai amat mengejutkan dan mungkin menetapkan kes contoh (precedent case) yang amat teruk pada masa depan.

Wanita MCA akan mendesak bagi semakan kehakiman daripada Peguam Negara. Wanita MCA berpendapat penjelasan yang sahih perlu diberikan bagi justifikasi keputusan itu kerana keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi juga mesti dilihat telah dilaksanakan. Datuk Heng berkata pada sidang medianya di Wisma MCA tempohari.



Dalam perkembangan berkaitan, Heng berkata pergerakan itu telah menubuhkan Jawatankuasa Semakan Undang-Undang untuk mengkaji undang-undang dan peraturan yang tidak memihak kepada wanita, remaja perempuan dan kanak-kanak. Menurut Datuk Heng, antara aspek yang akan dikaji adalah penjagaan dan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Bagi tujuan ini, Wanita MCA berharap untuk mengadakan perbincangan dengan NGO (badan bukan kerajaan) dan kumpulan wanita. Datuk Heng berkata Seksyen 375 Kanun Keseksaan juga perlu dipinda untuk memberikan definisi lebih luas tentang rogol.

2 ulasan:

Awanama berkata...

Bebas????? Sekurang-kurangnya hukumlah dengan undang-undang penderaan dan penganiayaan kanak-kanak!

Biar betul hakim ni?! SPR perlu siasat hakim ni... manalah tahu...

Awanama berkata...

Yg kurang 2 ml pun dah dianggap tidak subur, yg hanya di hujung jari dr lelaki 60 thn boleh ngandungkan org ke ?