Pages

Selasa, 13 November 2012

GEMPAR!! Pulau Pinang Akan Adakan Konsert Arak dan Seks Besar-besaran!!


Heboh diperkatakan dalam kalangan masyarakat setempat dan juga kakitangan hotel berhampiran mengenai sebuah konsert arak yang bernilai RM3 juta di Batu Feringghi.

Konsert berkenaan sebelum ini sudah digembar-gemburkan melalui laman sosial Facebook syarikat arak tersebut dengan mengadakan pertandingan ‘Teka di mana konsert akan diadakan’.

Malah secara terbuka di dalam laman sosial itu penganjur mendedahkan akan mengadakan parti terbuka secara besar-besaran iaitu dengan promosi What do you think of a massive party on the beach?

Menurut sumber, konsert itu diperkatakan beberapa kakitangan hotel berdekatan dan menjadi bualan hangat sejak minggu lalu.

“Konsert tersebut bukan anjuran mana-mana hotel kerana ia tidak terletak dalam premis hotel sebaliknya pentas utama konsert didirikan di pantai awam secara terbuka

“Nilai konsert tersebut diperkatakan kerana rata-rata pekerja hotel mengatakan konsert tersebut nampak gah dan sudah tersebar khabar angin ia bernilai RM3 juta, mana-mana kakitangan pun akan cakap benda yang sama, iaitu ‘konsert RM3 juta mana tak meletup’,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.



Persiapan giat dijalankan

TINJAUAN ke lokasi konsert tersebut mendapati beberapa kakitangan sibuk membuat persiapan terakhir untuk memasang lampu dan juga khemah.

Pentas konsert yang terletak di kawasan pantai itu dibina dengan begitu gah dihiasi dengan belon-belon gergasi di sepanjang pantai.

Khemah-khemah dibina mengelilingi pentas konsert sementara kelihatan slogan ‘bersedia untuk berparti?’.

Difahamkan lagi, sememangnya konsert berkenaan dianjurkan oleh sebuah syarikat arak dan menelan belanja kos pengangkutan begitu besar.

Sumber berkata, kren beberapa tan memenuhi pantai Batu Feringghi sejak minggu lalu sementara lori arak sudah mula masuk sejak tiga hingga empat hari lepas.

Tiada surat kebenaran

APA yang menjadi tanda tanya kenapa penganjuran konsert arak secara besar-besaran itu diluluskan sedangkan ia diadakan secara terbuka di pantai awam. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komunitinya (JKKK) Batu Feringghi, Jamaluddin Hashim berkata, pihaknya sendiri selaku jawatankuasa setempat yang bertanggungjawab tidak diberitahu mengenai penganjuran konsert itu.

Menurutnya, dia begitu kecewa kerana sebagai JKKK tiada sebarang surat menyurat dikemukakan kepada pihaknya.

“Sehingga kini kami sudah menerima aduan khasnya daripada pihak masjid yang mana meminta supaya tindakan diambil, bukan satu atau dua aduan, sebaliknya dari minggu lalu memang ada aduan yang diberikan.

“Mengikut maklumat diterima, mereka kata konsert itu adalah konsert malam bersuka ria, dan pada hemat saya ia sememangnya tidak patut diadakan.

“Daripada pengamatan saya juga sudah dapat lihat ada anak-anak muda Islam kita yang sudah seronok mendengar konsert berkenaan, untuk maklumat juga, jet ski sudah habis ditempah oleh mereka (penganjur konsert).

“Memang jet ski sudah mula sejak pagi sampai ke tengah malam dan ia mengganggu penduduk dan juga orang lain, tambahan lagi ia melibatkan penggunaan arak secara besarbesaran,” katanya.

Untuk tindakan, JKKK Batu Feringghi akan membangkitkan isu berkenaan melalui mesyuarat bersama Kerajaan Negeri pada 11 November ini.

JKKK perlu ambil tindakan

BAGI Yang Dipertua Persatuan Kariah-Kariah Masjid Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Mohamed Yussof Latiff bertegas sekiranya majlis seumpama itu diadakan, ia akan merebak secara berterusan.

Tegasnya, mungkin pada permulaan ia diadakan di pantai dan kemudiannya kemungkinan akan diadakan di pelosok kampung mahupun tempat terbuka lain.

“Banyak kesan negatif yang boleh dapat daripada penganjuran konsert sebegini, dan sepatutnya JKKK perlu ambil tindakan kerana ini adalah kawasan mereka dan laporan polis perlu dibuat sekiranya mereka tidak tahu menahu.

“Mengikut peraturan, manamana perhimpunan di tempat awam perlu diambil tahu oleh majlis perbandaran ataupun polis, jadi sekiranya ia tanpa kawalan syarikat arak ini boleh diambil tindakan,” katanya.

Jaga pantai milik awam

SEMENTARA itu Yang Dipertua NGO Pantai, Saiful Lizan Yusoff ketika dihubungi berkata, dia langsung tidak tahu mengenai penganjuran konsert arak berkenaan.

Namun dia kecewa kerana diadakan secara terbuka di pantai awam milik rakyat Pulau Pinang.

“Kalau ia diadakan secara tertutup sudah pasti tidak menjadi isu kerana itu hak mereka, tetapi ini ia diadakan di pantai awam pula.

“Menjadi kesalahan sekiranya mereka minum arak di tempat terbuka kerana pantai adalah terbuka hak kita semua, jadi bagi saya ini adalah sesuatu yang dikesalkan,” katanya.

Arak bukanlah sesuatu yang baik dan dalam agama Hindu juga ia tidak digalakkan dan boleh diharamkan, demikian tegas Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang, V Palanasamy.

Beliau berkata, pihaknya menentang penganjuran konsert yang bermotifkan arak secara terbuka.

“Jika tertutup itu tidak mengapa, ini dilakukan secara terbuka dan anak muda senang terpengaruh, tengok orang seronok mereka pun ingin seronok sama.” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Salleh Man yang dihubungi Sinar Harian tidak dapat memberi maklum balas.



SINAR ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Segala Komen Anda Adalah Tanggung Jawab Sendiri.

Harap Maaf dan Harap Maklum!