Khamis, 21 Mei 2015

Kedah Belajar Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Di Jepun


Kerajaan negeri Kedah mahu mempelajari kaedah pelupusan bahan buangan dan kitar semula yang dilaksanakan di Jepun, terutama di Mie Prefecture yang terbukti berjaya dalam memelihara alam sekitar.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sewaktu kunjungan beliau ke Pusat Kitar Semula Mie, yang menjalankan kerja-kerja pelupusan sampah bagi Mie Prefecture, di sini Isnin, beliau tertarik dengan teknologi yang digunakan.

"Pusat pelupusan sampahnya bersih, takde bau, air pun bersih, malah ada yang dijual (bahan yang boleh dikitar semula). Ia satu industri yang sangat menguntungkan.

Ini perlu Kedah pertimbangkan. Apa yang menarik sampah yang sampai di Mie bukan hanya dari Mie tetapi dari seluruh negara Jepun," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat ke atas Gabenor Mie Prefecture, Eikei Suzuki di pejabat gabenor itu di sini Isnin.

Mukhriz berkata beliau telah memohon kepada Suzuki supaya gabenor itu dapat menghantar pakar-pakar dari Mie ke Kedah bagi melihat cara pengurusan bahan buangan di sana dan memberi cadangan teknologi yang boleh digunakan untuk meningkatkan mutu pengurusan sisa pepejal di negeri itu.

"Kita mahu mencontohi apa yang digunakan di sini. Saya dimaklumkan (sewaktu pertemuan dengan Suzuki) bahawa memang sudah ada pelawat dan pegawai Malaysia datang ke sini untuk dilatih dalam soal pengurusan pepejal. Jadi kita harap dapat lakukan perkara yang sama," katanya.

Katanya beliau merasakan perlu dikaji keadaan pengurusan sisa pepejal di Kedah dan dikenal pasti teknologi yang boleh dipindahkan ke Kedah dahulu, sebelum pegawai-pegawai terlibat dilatih.

"Masalah (sampah) itu sama di mana-mana, tetapi menerusi pengurusan yang baik dan teknologi, cara (pengurusan sisa pepejal di Mie) dibuat begitu bersih," katanya.

Sementara itu dalam perjumpaannya dengan Mukhriz, Suzuki berkata pada masa lepas Mie Prefecture mengalami pencemaran air, udara dan tanah tetapi sekarang ia mampu mengatasi masalah berkenaan dan mempunyai penyelesaian untuknya.

"Pusat Kitar Semula Mie adalah salah sebuah yang terbaik dalam negara ini. Sebelum ini, kami menerima 27 pelatih dari Malaysia dan kami bersedia membantu Kedah dalam perkara ini," katanya.

Pusat Kitar Semula Mie diuruskan oleh Kumpulan Daiei Kankyo dan ditubuhkan pada 1980. Ia adalah sebuah daripada pusat kitar semula utama yang mengendalikan pelbagai sisa termasuk daripada sektor komersil.


Tiada ulasan: