Ahad, 26 Julai 2015

FELDA Bakal Perluas Pelaburan di Indonesia


Felda sentiasa cuba untuk memperluaskan lagi pelaburan mereka dari tahun ke setahun. Pelbagai peluang baru diteliti supaya mereka terus menjadi sebuah organisasi yang paling berjaya.

Disebabkan perkara tersebut, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk melabur di Indonesia bertujuan memperluas sektor perladangannya.

Ini kerana, Felda menghadapi kekangan untuk menambah keluasan ladang di negara ini disebabkan ketiadaan tanah sesuai.

"Oleh itu, kita beralih ke Indonesia kerana kedudukan negara tersebut paling hampir dengan negara ini. Lagipun kita memang sudah mempunyai ladang di Kalimantan," katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas rancangan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membeli tanah seluas 420,000 hektar daripada PT Eagle High Plantations (EHP) di Indonesia bagi tujuan itu.


Mohd Isa berkata selain tanaman sawit, tanah tersebut juga sesuai untuk tanaman tebu dan boleh menampung keperluan kilang gula milik MSM Malaysia Holdings Berhad, anak syarikat FGV.

Ini kerana katanya pada masa ini Felda belum memiliki ladang tebu.

"Ini antara faktor yang FGV lihat untuk pelaburan di Indonesia itu. Kita juga berharap dengan penglibatan kita dengan EHP ini kita dapat memasuki pasaran Indonesia yang besar bagi memasarkan pelbagai produk Felda termasuk minyak masak dan sebagainya.

"Kita sedang menunggu pandangan pihak ketiga dalam perkara ini dan akan dibawa ke mesyuarat agung luar biasa bulan depan untuk mendapat kelulusan bagi kita membeli sebahagian saham EHP," katanya.

Tiada ulasan: