Perhimpunan Agung Melayu Islam paling keramat ini membuktikan bahawa UMNO masih lagi kukuh dan kuat untuk menarajui Malaysia.
Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap Perhimpunan Agung UMNO 2011 berjaya menggambarkan parti itu kini bersatu dan ampuh serta bersiap sedia mengembalikan kedudukannya sebagai parti bermaruah dan bermartabat.
Ia antara empat sasaran yang ditetapkan oleh Presiden UMNO itu selain kejayaan mendapatkan mandat sepenuhnya daripada sidang perwakilan untuk menyokong gagasan kerajaan membawa perubahan melalui pelan transformasi nasional.
Najib berkata, persidangan kali ini juga berjaya memberi isyarat dan mesej yang amat jelas kepada 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat Malaysia bahawa mereka boleh meletakkan keyakinan kepada parti itu untuk membawa negara dan rakyat ke arah masa depan yang lebih cemerlang,
"Mereka tidak akan kecewa kalau meletakkan pengharapan atas batu jemala UMNO ini," tegasnya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Dalam ucapan penuh bersemangat selama 45 minit itu, beliau berkata, penilaian dibuatnya bukan kerana bias tetapi setelah melihat kejayaan para perwakilan menggarap dengan baik empat sasaran tersurat dan tersirat yang ditetapkan beliau pada awal perhimpunan.
Najib turut menyifatkan perhimpunan kali ini sebagai amat bersejarah apabila membuat kejutan di saat akhir dengan menyaksikan Timbalan Presiden UMNO mengetuai ikrar dan baiah para perwakilan.
Sementara itu, menyentuh isu Gagasan 1Malaysia, Perdana Menteri menegaskan ia akan tetap memastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya mencecah taraf bangsa yang maju.
"Jadi siapa kata kita tak ada agenda Melayu ataupun agenda bumiputera? Memang kita ada. Apabila saya laksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak kata ketepikan agenda Melayu bumiputera.
"Bila saya turun ke bawah, ke ladang estet, ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa kerajaan kurang komitmen terhadap kepentingan orang Melayu dan bumiputera," katanya.
Sebaliknya tegas Perdana Menteri, semua itu dilakukannya bagi mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik.
Sebagai pemimpin kerajaan, Najib berkata, beliau perlu memikirkan hala tuju negara agar rakyat yang sentiasa menilai, baik secara senyap mahupun terbuka akan terus yakin dan percaya terhadap kepimpinan sedia ada.
Justeru, katanya, perancangan yang cukup rapi, teliti dan kemas perlu dibuat untuk memastikan dalam tempoh 10 tahun lagi, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN). - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan