Selasa, 13 Mac 2012

PANASS!! Gambar Cubaan seorang lelaki TERJUN dari bumbung IPD Alor Setar!!



Suasana di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini kecoh seketika petang semalam apabila seorang lelaki memanjat bumbung IPD setingggi empat tingkat itu dan cuba terjun.

Bagaimanapun, tindakan bijak Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berjaya memujuk lelaki berusia 26 tahun itu daripada meneruskan hasratnya.



Mengulas kejadian itu kepada pemberita di sini awal pagi ini, Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kejadian bermula pukul 5 petang apabila seorang lelaki dilihat berada di atas bumbung bangunan berkenaan.

Katanya lelaki yang berasal dari Kluang, Johor tersebut turut mengambil beberapa tong gas yang sebelum itu diguna kontraktor penyelenggara, yang mana tiga dicampak ke bawah dan satu ke bahagian tengah bumbung.

"Lelaki itu masuk ke IPD kira-kira 3.30 petang bersama seorang perempuan kerana mahu membuat laporan tetapi dia tak tahu laporan apa hendak dibuat. Kata nak buat laporan IC (kad pengenalan) hilang tetapi IC ada di tangan ini. Ini menunjukkan fikiran dia tak tenang," katanya.

Beliau berkata Adzaman mengambil masa hampir tiga jam untuk memujuk lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori itu dan pada masa yang sama agensi lain bersedia di bawah untuk sebarang kemungkinan.

"Selepas itu, kita terus bawa dia ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan. Dia ada minum minyak pelincir yang kita takuti boleh menyebabkan sesak nafas dan kematian. Kita juga minta pihak hospital buat saringan mentalnya," katanya menambah lelaki itu sudah berumahtangga dan ada seorang anak.

Ahmad berkata pihak polis masih belum dapat mengambil kenyataan daripada lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

"Saya bangga dengan usaha OCPD yang berjaya menyelamatkan satu nyawa.

Kemahiran seperti ini perlu ada pada setiap anggota polis," katanya.

Sementara itu, Adzaman yang turut hadir pada sidang media tersebut, berkata sewaktu cuba memujuk lelaki berkenaan, beliau banyak memberi penekanan kepada hal-hal keagamaan.

"Saya tanya kepada dia apa masalah dia, sama ada masalah keluarga atau dadah tetapi dia kata bukan. Dia masih waras cuma ada masalah. Dia ada beberapa kali acah nak terjun. Difahamkan dia datang ke sini kerana hendak mulakan kehidupan baru di sini," katanya.- Bernama

Ketua Polis Kota Setar ACP Adzaman Mohd berjaya memujuk seorang atendan lori berumur 26 tahun terjun dari IPD Kota Setar Police District Headquarters hari ini. -- Foto oleh Lim Poh Chin

McTheory:
Macam-macam adaa..

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dia ni pengundi siapa? Pakatan ke Barisan?