Alhamdullilah anggota tentera yang hilang akibat dipukul ombak kuat, telah selamat semuanya.
Baca bawah untuk mengetahui peristiwa yang mendebarkan,
MELAKA – “Kami mendayung menggunakan pelbagai peralatan termasuk bekas makanan dan dayung buatan sendiri serta memerah segala kudrat yang ada untuk sampai ke pesisir pantai, ditambah pula jurulatih sentiasa memberikan semangat supaya tidak berputus asa.
“Dengan kuasa Allah, petang semalam (kelmarin) selepas tiga kali dibaiki, akhirnya enjin bot berfungsi semula sebelum kami bergerak menuju ke pantai berpandukan pergerakan kapal dagang,” kata pelatih komando berusia 20-an dari Kem Sungai Udang di sini, semalam.
Dia antara 13 anggota tentera berusia 19 hingga 23 tahun terdiri 11 pelatih komando serta dua jurulatih mereka yang dilaporkan hilang selepas bot jenis Assault yang mereka naiki dipukul ribut dan ombak ketika menyertai latihan mendayung dari pantai Kem Sungai Udang ke Pulau Nangka, malam Sabtu lalu.
Kehilangan kumpulan itu disedari 32 anggota dan seorang pegawai yang turut sama menyertai latihan berkenaan menggunakan empat bot berlainan selepas mereka mendarat di Pulau Upeh, jam 12.30 tengah malam hari kejadian.
Bagaimanapun, selepas 28 jam hanyut di perairan Selat Melaka, semua mangsa tiba di pesisir pantai berhampiran Jeti Tanjung Beruas, Pantai Puteri di sini, jam 12.50 pagi semalam.
Nama semua mangsa tidak dibenarkan disiarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pelatih terbabit berkata, kejadian jam 10 malam itu mengakibatkan bot terbalik dan mereka berenang ke arah bot dalam keadaan laut bergelora sebelum berpaut pada badan bot berkenaan.
“Jurulatih mengarahkan kami supaya tidak berpecah dan dengan menggunakan segala ilmu dan kepakaran ketika menjalani kursus asas komando, kami berusaha menterbalikkan bot berkenaan.
“Disebabkan semua dayung hilang, kami membuat layar supaya dapat ke pesisir pantai, tetapi angin dan ombak membawa bot hanyut ke tengah laut hingga hampir memasuki perairan antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Kem Terendak, semalam.
Mereka yang mendapat rawatan di hospital itu menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob. Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Seorang lagi mangsa berusia 20-an berkata, mereka yang bertolak dari pantai Kem Sungai Udang pada petang Sabtu lalu dijadualkan tiba di Pulau Nangka jam 5 pagi.
“Berbekalkan semangat kerjasama yang kuat, kami memperbetulkan semula kedudukan bot yang terbalik, namun ketua mengarahkan hanya lima orang berada dalam bot pada satu-satu masa manakala yang lain berpaut pada badan bot bagi mengelakkan ia terbalik semula.
“Kami bertukar kedudukan untuk menyimpan tenaga dan pelbagai usaha dilakukan dan menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari ketika kursus.
“Alhamdulillah, selepas beberapa kali mencuba enjin bot akhirnya dihidupkan dan kami terus bergerak ke pantai,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan