Ahad, 19 Januari 2014

Tahniah Dato Paduka Mukhriz Mahathir Menerima Gelaran Dato Seri! #HanyaDiKedah


Hari ni Menteri Besar Kedah Dato Paduka Mukhriz Mahathir menerima darjah SPMK yang membawa gelaran Dato Seri.


Tahniah Mc ucapkan.. semoga Dato Seri Mukhriz terus sukses membawa Kedah menjadi negeri maju.


Dibawah ni Ucapan Dato Paduka Mukhriz di Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah dan Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan Kedah yang ke 86.


Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat serta salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW dan ahli-ahli keluarganya serta para sahabat baginda.

Mengadap

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah

dan

Yang Amat Berbahagia Datin Seri Utama Puan Sri Dato’ Seri Hajah Noor Suzanna Binti Abdullah, Toh Puan Bendahara Kedah.

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff, Toh Puan Temenggong Kedah.

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Nora Binti Abdullah, Toh Puan Laksamana Kedah.

Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Afifullah Shah, Raja Kechil Besar Perak.



PENDAHULUAN

Ampun Tunku beribu ampun, sembah patik mohon diampun.

1. Pada hari yang amat berbahagia dan penuh dengan nikmat kerahmatan dari Allah SWT ini, patik mewakili semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pegawai Perkhidmatan Awam, Badan-badan Berkanun, anggota Pasukan Keselamatan dan seluruh rakyat Negeri Kedah Darul Aman dengan penuh hormat dan takzimnya menyembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke – 86.

Ampun Tunku,

2. Patik serta seluruh rakyat sesungguhnya bersyukur dengan segala rahmat yang dicucuri sehinggakan Negeri Kedah Darul Aman terus makmur dengan keamanan yang begitu stabil. Kestabilan dan kemakmuran ini dapat dikecapi dengan berkat komitmen Yang Teramat Mulia Tunku Pengerusi dan Yang Teramat Mulia Tunku Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah yang telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan sentiasa peka dengan setiap perkembangan, samada berkaitan dengan pembangunan, masalah rakyat mahupun isu-isu semasa. Ini amat bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah An-Nisa, Ayat 58, mafhumnya:

“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat. ”

3. Seluruh rakyat dan warga Negeri Kedah Darul Aman mohon bersembah takzim kepada Yang Teramat Mulia Tunku Pengerusi dan Yang Teramat Mulia Tunku Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang amat menitik-beratkan bukan sahaja perihal agama, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan, malah bidang sukan juga diberi perhatian utama. Sesungguhnya, raja dan rakyat berpisah tiada. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik dan seluruh rakyat amat berbangga sebagai anak Kedah. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik dan seluruh rakyat juga amat berbangga hidup di bawah naungan panji-panji DiRaja Negeri Kedah Darul Aman yang penuh berdaulat.

Ampun Tunku,

4. Allah SWT telah mengurniakan rahmat dan nikmat yang begitu banyak kepada rakyat Negeri Kedah Darul Aman. Alhamdulillah, rakyat tidak ditimpa apa-apa bencana besar. Seluruh rakyat berbilang kaum dan kepercayaan agama berpeluang menjalani kehidupan dengan baik dan sempurna. Melalui pentadbiran yang adil tanpa sifat dendam, hasad dan dengki, Kerajaan Tuanku pimpinan Patik terus berusaha memulihkan ekonomi negeri, memelihara perpaduan antara kaum dan membangunkan prasarana dengan lebih rancak lagi.

5. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik secara keseluruhannya telah mendapat kerjasama yang baik daripada segenap lapisan masyarakat. Namun, masih terdapat ruang untuk diperbaiki. Dalam usaha untuk memelihara keamanan, setiap rakyat harus saling memahami, saling hormat menghormati dan sentiasa patuh kepada titah DiRaja. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik sentiasa memantau perkara ini dan amat bertegas untuk tidak memandang remeh apa jua aktiviti atau perlakuan yang boleh membawa kepada ketegangan, terutama antara kaum dan agama.


KEWANGAN

Ampun Tunku,

6. Semenjak mengambil alih pentadbiran Kerajaan Tuanku, Patik bersama-sama dengan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mencari jalan dan berusaha gigih untuk menambah hasil pendapatan negeri. Asas utamanya adalah dengan mencari sumber pendapatan baharu dan mempertingkatkan usaha mendapatkan bayaran premium yang sebelum ini belum dikutip. Peningkatan pendapatan ini telah bertambah daripada 418 Juta Ringgit kepada 514 Juta Ringgit. Malah, unjuran hasil bagi tahun 2014 adalah sebanyak 724 Juta Ringgit, yang akan diperoleh melalui daya usaha yang gigih, penyemakan segera hasil-hasil sedia ada dan 17 sumber baru hasil cetusan minda daripada Makmal Transformasi Kedah yang telah dianjurkan. Dengan ini, Kerajaan Tuanku akan mampu menyediakan lebih banyak perkhidmatan dan pembangunan demi kemakmuran rakyat.

7. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik juga telah memulakan langkah penjimatan dengan mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah. Melaluinya, 100 Juta Ringgit daripada perbelanjaan mengurus telah berjaya dijimatkan. Ini dapat dilakukan tanpa menjejaskan pembangunan yang telah dirancang.

8. Dengan ini, maka mudahlah Kerajaan Tuanku merencana pembangunan negeri dan memberi fokus kepada usaha membasmi kemiskinan. Dari penghapusan bayaran lesen penjaja kepada pengupayaan rakyat dengan program pembangunan usahawan dan pinjaman mudah Mikro Kredit -- semuanya dirangka untuk meringankan beban rakyat.

9. Mengikut data eKasih, sebanyak 3,416 kes miskin tegar, miskin dan mudah miskin berjaya dikeluarkan dari kesemua kategori tersebut. Namun, masih banyak perlu dilakukan bagi membantu golongan miskin tegar dan miskin.

Ampun Tunku,

10. Sukacita Patik sembah maklum bahawa kerjasama erat yang terjalin di antara Kerajaan Tuanku dengan Kerajaan Persekutuan berada di tahap yang paling baik. Sebagai contohnya, bangunan Pusat Transformasi Bandar, atau Urban Transformation Centre (UTC), dengan izin, di Bandaraya Alor Setar adalah merupakan satu-satunya bangunan UTC yang diurus secara bersama di antara Pengurusan UTC Kedah dan Badan Pengurusan Bersama Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar. Bangunan yang kos pembinaan dan pengubahsuaiannya berjumlah 49.2 Juta Ringgit telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 16 Ogos 2013. Semenjak dibuka sehingga akhir bulan Disember 2013, lebih 500,000 pengunjung telah diterima dan hasil yang telah dikutip oleh semua agensi yang beroperasi di situ adalah lebih 70 Juta Ringgit.

11. Sembilan belas kementerian telah melaksanakan 219 projek di bawah Rancangan Malaysia ke-10 di Negeri Kedah Darul Aman. Dari jumlah tersebut, 24 adalah projek bukan fizikal manakala 195 pula adalah projek fizikal dengan siling keseluruhan berjumlah 1.93 Billion Ringgit. Peruntukan bagi tahun semasa adalah sebanyak 955 Juta Ringgit. Daripada peruntukan ini, sejumlah 174 program atau projek adalah baharu manakala bakinya adalah projek sambungan.

12. Berdasarkan data Sistem Pengelolaan Pembangunan ( SPP II ), sehingga 13 Januari 2014, jumlah perbelanjaan yang dicatatkan adalah sebanyak 672.13 Juta Ringgit. Ini telah meletakkan rekod prestasi Negeri Kedah melepasi prestasi nasional dan di kedudukan keempat daripada 16 buah negeri.

14. Antara projek-projek berasaskan rakyat yang telah disenaraikan dalam Rolling Plan 3 ( RP3 ) Rancangan Malaysia Ke – 10 adalah 3 buah sekolah menengah baharu, 5 buah sekolah rendah baharu, sebuah klinik desa, 2 buah klinik kesihatan dan 5 batang jalan baharu. Sebanyak 3 Rancangan Tebatan Banjir dengan peruntukan sebanyak 70.4 Juta Ringgit juga telah tersenarai bersama 263 projek bekalan elektrik. Di samping itu, 5 projek bekalan air melibatkan perbelanjaan sebanyak 33.08 Juta Ringgit juga telah disenaraikan dan akan dilaksanakan mengikut zon. Kawasan-kawasan yang akan mendapat faedah adalah di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Pokok Sena, Padang Terap, Kuala Muda, Sik, Baling dan Langkawi. Ini adalah berasingan dari 2.2 Billion Ringgit yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk saliran air MADA dan 500 Juta Ringgit untuk perluasan estet padi MADA.

15. Antara projek-projek utama juga ialah pelbagai pembangunan projek pelancongan di Pulau Langkawi dengan peruntukan 254 Juta Ringgit. Kementerian Kerja Raya juga akan membina jalan persekutuan dari bandar Sungai Petani, Daerah Kuala Muda ke pekan Tawar, Daerah Baling. Perhatian yang telah diberikan kepada Kompleks Pekan Rabu di Alor Setar amatlah dihargai, selari dengan cita-cita mencapai pembangunan sosio ekonomi secara inklusif. Bagi mewujudkan persekitaran untuk menjayakan pertumbuhan ekonomi, Kementerian Pengangkutan pula akan membangunkan Sistem Perkhidmatan Trafik Maritim ( VTS ) dan Sistem Identifikasi Automatik untuk keselamatan feri-feri di perairan Kuala Kedah dan Langkawi. Manfaatnya turut melimpah kepada pengguna perkhidmatan air di Kuala Perlis.


PELABURAN ASING

Ampun Tunku,

16. Pelbagai inisiatif telah dirangka bagi tujuan untuk menarik kemasukan pelaburan asing ke Negeri Kedah Darul Aman. Taman Teknologi Tinggi Kulim akan terus menjadi tarikan utama. Sepanjang tahun 2013 menyaksikan kemasukan pelaburan-pelaburan baharu dari industri teknologi peralatan perubatan dan farmaseutikal dari syarikat multi nasional yang berpusat di Amerika Syarikat, Jepun dan Malaysia sendiri. Pembangunan melalui Zon Industri Fasa 4 seluas 435 ekar akan siap sepenuhnya pada tahun ini bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi seperti industri aeroangkasa dan petrokimia. Apabila siap pada bulan Julai nanti, ianya berpotensi menarik pelaburan sebanyak 10 Billion Ringgit dan membuka peluang pekerjaan kepada 8,000 sehingga 10,000 rakyat.

Kerajaan Tuanku juga merancang untuk menarik pelaburan asing dan tempatan khususnya dalam sektor berteknologi tinggi untuk menempatkan pusat pengeluaran dan perkhidmatan mereka di taman-taman industri baru yang bakal dibangunkan di Padang Terap dan Bukit Kayu Hitam. Ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan-kawasan yang bersempadan dengan negara Thailand.


INFRASTRUKTUR & PRASARANA

Ampun Tunku,

17. Bagi tujuan penyediaan kemudahan asas yang memberikan keselesaan, sebanyak 40.7 Juta Ringgit diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan, membina dan menaiktaraf jalan dan jambatan di negeri ini. Di samping itu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan sebanyak 158 Juta Ringgit untuk penyelenggaraan jalan di seluruh Negeri Kedah. Peruntukan yang sama telah diberikan sebelum ini, tetapi, pada tahun 2012 hanya kurang daripada 50 peratus telah dibelanjakan untuk tujuan penyelenggaraan jalan. Pada tahun 2013, Kerajaan Tuanku pimpinan Patik telah membelanjakan kesemua peruntukan tersebut bagi keselesaan rakyat dan sesungguhnya, pada tahun ini peruntukan tersebut akan juga dibelanjakan sepenuhnya untuk tujuan yang sama. Perkara ini juga membuka peluang ekonomi bagi rakyat di Negeri Kedah.

18. Melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Kerajaan Tuanku akan membuka sebuah kawasan perindustrian baru di Bukit Kayu Hitam. PKNK telah memperuntukkan kawasan seluas 200 ekar sebagai Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam Fasa 3. Kos pembangunan dianggarkan sebanyak 35 Juta Ringgit bagi menyediakan kawasan industri yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur asas. Fokus pembangunan di sini adalah untuk menarik pelaburan dalam sektor yang berteraskan pengeluaran, pertanian, logistik, pergudangan dan penekanan kepada industri yang berkaitan produk halal. Patik percaya, pembukaan kawasan perindustrian baru ini akan menjana pertumbuhan ekonomi mampan di utara Negeri Kedah.

19.​Kerajaan Tuanku sedang merangka perancangan untuk mewujudkan Taman Sains dan Teknologi, juga di Bukit Kayu Hitam. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Tuanku untuk menarik pelaburan tempatan dan pelbagai negara asing untuk membina pusat-pusat penyelidikan, pembangunan dan rekabentuk untuk membangunkan sains asas dalam bidang-bidang teknologi terkini, yang kemudiannya diaplikasi oleh industri untuk pasaran dunia. Perindustrian berteknologi tinggi berteraskan sektor automotif seperti yang sedia ada dan sektor-sektor industri berat yang lain juga akan ditempatkan di Gurun.


PERUMAHAN

Ampun Tunku,

20. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik amat mengutamakan usaha untuk membantu rakyat agar memiliki rumah. Pembinaan 6,000 unit rumah setahun adalah mengikut perancangan. Kerjasama baik di antara Kerajaan Tuanku bersama Jabatan Perdana Menteri melalui program Perumahan Rakyat 1-Malaysia ( PR1MA ) telah memberi tumpuan kepada lokasi yang mempunyai permintaan perumahan yang tinggi, terutama di bandar-bandar utama. Sebuah Jawatankuasa Sehenti dibentuk bagi mengenalpasti pemohon yang memerlukan rumah manakala penentuan tapak dibuat dengan mendapatkan pandangan daripada Pegawai-pegawai Daerah, Pentadbir-pentadbir Tanah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Melalui PR1MA, lebih 5,333 unit rumah telah dibina dan ditawarkan kepada rakyat di seluruh Negeri Kedah sepanjang tahun 2013 dan angka ini akan ditingkatkan dari tahun ke tahun. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik mensasarkan sebanyak 40,000 unit rumah mampu milik akan siap terbina menjelang tahun 2018.

AGAMA

Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun,

21. Negeri Kedah Darul Aman berazam untuk menjadi negeri contoh yang mengamalkan pentadbiran Islam dalam erti kata yang sebenar. Negeri tercinta ini juga telah melahirkan ramai Qari dan Qariah ternama dan tersohor di dunia. Usaha akan diteruskan bagi melahirkan lebih ramai lagi Qari dan Qariah seperti Allahyarham Dato’ Haji Ismail Hashim. Dalam masa yang sama, umat Islam mesti menjaga pemakanannya. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik bukan sahaja sentiasa memantau premis-premis restoran dan menguatkuasakan persijilan halal tetapi penghasilan produk makanan juga diambil serius bagi memastikan ianya mengikut panduan syariah.

22. Islam mengutamakan kesatuan ummah. Sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Kerajaan Tuanku pimpinan Patik amat cemas dengan segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan fahaman luar dan asing yang dibawa masuk ke dalam masyarakat. Pendekatan segera telah diambil untuk meminda undang-undang kanun syariah demi untuk menyekat penularan fahaman Syiah. Walaupun Kerajaan Tuanku tidak melabelkan fahaman Syiah sebagai kafir, adalah amat penting untuk amalan agama Islam di negeri yang aman ini dihadkan hanya kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk mengelak dari berlakunya persengketaan sesama ummat Islam.

23. Berkenaan dengan isu Kalimah Allah pula, Kerajaan Tuanku pimpinan Patik tegas mempertahankan keputusan melarang kegunaan kalimah tersebut dan perkataan-perkataan lain oleh pihak-pihak selain umat Islam demi menjaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang agama. Sifat toleransi yang diamalkan sejak sekian lama di Kedah telah terbukti berjaya untuk mengekalkan kedamaian antara kita. Sifat toleransi yang sama diperlukan untuk memastikan Kalimah Allah tidak digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bersyukur akan keharmonian yang kita semua kecapi. Patik yakin seluruh rakyat Kedah cintakan keamanan dan akan pertahankan prinsip toleransi ini.


PENDIDIKAN

Ampun Tunku,

24. Maktab Tahfiz Kulim telah beroperasi dan mengikut perancangan akan dijadikan kampus tetap. Sepanjang tahun 2013 juga, sebanyak 4 buah sekolah baharu telah dibuka dan telah menerima pelajar-pelajar setempat. Bagi Sekolah Agama Rakyat pula, sejumlah 18 buah sekolah telah menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sehingga Disember 2013. Sepuluh daripada 12 Maktab Mahmud juga akan menyertai SABK pada tahun ini sebagai usaha untuk mendapat bantuan dana Kerajaan Persekutuan.

25. Pencapaian akademik para pelajar di Negeri Kedah Darul Aman telah menunjukkan peningkatan positif. Bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada tahun 2013, pencapaian Negeri Kedah telah menyamai peringkat nasional. Bagi Peperiksaan Menengah Rendah pula, pencapaian Negeri Kedah telah melebihi pencapaian peringkat nasional. Telah berlaku peningkatan dari segi gred purata dan peratus lulus bagi semua mata pelajaran.

26. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik juga sedang merintis untuk memperbanyakkan sekolah Ulul Albab. Cita-citanya adalah bagi melahirkan golongan yang mempunyai asas kukuh tentang Al-Quran, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan memerhati kejadian Allah melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar darinya. Sekolah rintis bagi program Ulul Albab ini ialah Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah di Alor Biak, Ayer Hitam.

27. Para pelajar Negeri Kedah juga telah menempa banyak kejayaan dalam bidang ko-kurikulum di peringkat antarabangsa. Pada Pertandingan Matematik Peringkat Dunia di Hong Kong, pelajar-pelajar kita telah mendapat pingat perak bagi kategori individu dan pingat emas dalam kategori berpasukan. Sekali lagi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma telah menaikkan imej Negeri Kedah di mata dunia dengan menjuarai World Marching Band Competition. Di dalam pertandingan International Marching Band yang diadakan di Thailand pula, Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa telah memenangi pingat perak. Selain itu, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma turut menjulang dan mengharumkan lagi nama Negeri Kedah di persada sukan antarabangsa awal bulan ini. Berusia 13 tahun, Aifa Azman menundukkan pilihan utama untuk menjuarai Kategori Bawah 13 Tahun, Kejohanan Skuasy Terbuka Britain di Sheffield, England. S. Sivasangari, yang berusia 14 tahun pula, muncul juara Kategori Bawah 15 tahun di kejohanan yang sama. Ini membuktikan bahawa anak-anak Kedah mampu bertarung di peringkat antarabangsa dan berjaya membawa pulang kejayaan demi kejayaan. Mereka adalah kebanggaan negeri dan mereka adalah lambang masa depan yang gemilang. Mereka turut mengharumkan nama Negeri Kedah Darul Aman.


PELANCONGAN

Ampun Tunku,

28. Pulau Lagenda Langkawi kini telah tersohor di serata dunia. Pelancong dari jauh dan dekat saban tahun mengunjungi pulau ini dalam jumlah yang ramai. Kerajaan Tuanku sentiasa memperhebat dan menambah produk-produk pelancongan. Dalam masa yang sama, keindahan pulau ini terus dipelihara dengan penyelenggaraan yang lebih efektif dan penguatkuasaan yang berkesan. InsyaAllah, Pulau Langkawi akan terus menjadi pilihan para pelancong dengan pelbagai projek yang sedang dirancang dan akan bermula.

29. Namun, fokus pembangunan bagi tujuan pelancongan ini turut diberikan kepada tanah besar Negeri Kedah. Perancangan dan tindakan segera bagi menarik pelancong melawat kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi dalam sektor ini telah diambil. Pusat Rekreasi Air Panas, Ulu Legong umpamanya, akan dimajukan agar lebih selesa. Papan tanda yang sesuai akan dinaikkan, bilik-bilik penginapan akan dibina. Kerajaan Tuanku akan berusaha mewujudkan suasana sekeliling yang damai serta indah bagi mengamit kedatangan pelancong dari dalam dan luar.

30. Satu-satunya muzium arkeologi yang mempamerkan artifak yang membuktikan kewujudan tamadun Melayu dan bukti terdapatnya aktiviti perdagangan antarabangsa dengan pentadbiran Shahbandar hanya terdapat di Negeri Kedah. Sejarah tamadun yang berusia lebih 2,000 tahun yang terdapat di kawasan Lembah Bujang ini merupakan tarikan yang amat kuat kepada pelancong asing jika dijenamakan dengan lebih baik. Kerajaan Tuanku pimpinan Patik akan terus berusaha bagi memperkenalkan kekayaan sejarah di kawasan tersebut yang sebenarnya mampu menjadi tarikan pelancong paling utama di Malaysia sama seperti tarikan untuk melawat piramid di Mesir.


BUDAYA BERJAYA

Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah Patik mohon diampun,

31. Kebelakangan ini Patik melihat tingkah laku pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu mempengaruhi anak-anak muda kita untuk berkelakuan tidak beradab dalam menyuarakan pandangan, baik di khalayak ramai mahupun di alam maya. Kata-kata kesat digunakan tanpa segan silu dan tanpa rasa hormat antara insan. Orang tua, orang yang punyai pandangan berbeza, pemimpin, malah institusi DiRaja juga tidak terlepas dari kecaman mereka ini dan menjadi mangsa carutan mereka. Tiada satu organisasi kerajaan yang terselamat dari tohmahan.

32. Masalah ini bukan hanya menggugat dan mencabar sistem demokrasi yang kita amalkan sejak sebelum merdeka lagi, tetapi juga melambangkan budaya yang tidak sihat yang setentunya tidak menyumbangkan kepada terlahirnya suatu peradaban yang berjaya. Pada waktu yang sama, sikap dan kelakuan manusia tidak mudah dikawal, lebih-lebih lagi jika wujud agenda di sebalik tindakan-tindakan mereka. Patik bimbang dengan trend ini, kerana dalam usaha murni untuk membina tamadun baharu di Kedah Darul Aman, nilai-nilai murni seperti yang diajar oleh agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup rakyat dilihat diketepikan untuk kepentingan lain. Adalah menjadi harapan Kerajaan Tuanku pimpinan Patik bahawa seluruh rakyat termasuk Patik sendiri akan terus menerapkan nilai-nilai murni dalam segala urusan kita; iaitu bertimbang rasa, bersikap hormat terhadap semua, bersopan santun, bersifat toleransi, sanggup bertolak ansur demi kemajuan bersama dan semua amalan-amalan hidup yang akan menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.


Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah Patik mohon di ampun,

33. Patik bagi mewakili seluruh pentadbiran Kerajaan Tuanku dan seluruh rakyat jelata Negeri Kedah Darul Aman sekali lagi mohon menyembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang merayakan Hari Keputeraan baginda Ke-86 pada hari ini.

34. Patik sekalian berdoa ke hadrat Allah SWT agar dilanjutkan usia Duli Tuanku dan Tuanku Sultanah agar rakyat di negeri ini terus bernaung di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang bijaksana, adil dan saksama. Patik mewakili semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota Perkhidmatan Awam, anggota keselamatan dan seluruh rakyat jelata serta warga Negeri Kedah Darul Aman mohon mengulangi lafaz taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

35. Patik-patik sekalian berikrar untuk terus berusaha gigih bagi meningkatkan tahap kemajuan, kemakmuran serta kualiti hidup yang baik bagi rakyat negeri ini. Patik sekalian berdoa ke hadrat Allah SWT agar terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negeri Kedah Darul Aman.

Daulat Tuanku.

Sekian, wabillah hitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah Patik mohon diampun.


McTheory:
Minta Dato Seri Jangan lupa kami media baru juga ya :)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak sebut isu kuin ke dato seri?

ANAK KEDAH PENDANG berkata...

TAHNIAH KEPADA DATO'SERI MUKHRIZ ATAS PENGANUGERAHAN INI SEMOGA DAPAT MEMACU NEGERI KEDAH KEARAH YG LEBIH MAKMUR.