Sabtu, 28 Jun 2014

INFO!! Aik dalam PKR ada BlackOut? Kata Tulus, Mulus, Kudus?..


Parti Keadilan Rakyat (PKR) menepis spekulasi kejadian 'blackout' ketika proses pengiraan undi pada pemilihan parti tengah malam Rabu lalu sebagai satu 'permainan' atau perbuatan sabotaj.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul berkata, tidak timbul isu kejadian itu 'dirancang' kerana ia berpunca daripada kerosakan salah sebuah stesen sub Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Ia satu kejadian yang tidak disangka-sangka. Bukan Ibu Pejabat PKR sahaja yang 'blackout', tetapi seluruh blok di kawasan Tropicana ini.

"Kita telah menghubungi TNB secepat mungkin selepas berlakunya blackout dan membuat laporan. Kita menolak spekulasi bahawa kejadian blackout tempohari adalah permainan JPP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Menurut Johari, sebaik lampu terpadam pada tengah malam Rabu, semua petugas yang sedang melakukan kiraan kertas undi bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk Cabang Kuala Selangor diarah keluar dari bilik di tingkat satu dengan segera.

Katanya, pintu bilik tersebut kemudian dikunci sehinggalah bekalan elektrik pulih kira-kira pukul 2 pagi Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sungai Petani ini turut menegaskan bahawa mereka yang mengira undi adalah mereka yang dilantik khas untuk tujuan tersebut.

"Mereka bukan dari kalangan cabang yang bertanding dan dipantau oleh kakitangan JPP serta wakil pihak yang bertanding.

"Ketika itu, kiraan undi dilakukan di peringkat pusat, manakala di peringkat cabang belum dikira," ujarnya.

Mengenai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor, beliau berkata, keputusan itu adalah keputusan yang belum disahkan JPP.

Tetapi beliau berkata, secara tidak rasmi keputusan memang menunjukkan Abdul Khalid tewas kepada lawannya, S. Manikavasagam.

"Tetapi beliau (Abdul Khalid) mendapat undi yang tinggi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan penyandang, Mohamed Azmin Ali di peringkat cabang berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: