Selasa, 31 Ogos 2010
KHUTBAH SAMPAI KEBAS KAKI! - Ketua Ulama Muda UMNO, Fathul Bari
Suatu hari, saya dan teman terperangkap dalam kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Di hadapan saya sebuah kereta Ferrari F430, juga terpaksa akur dengan kesesakan. Nampaknya jentera mewah yang berkuasa besar hingga 4,308cc itu berada sebaris dengan kenderaan-kenderaan berstatus biasa. Enjinnya mengaum seolah-olah raja di jalanan, tetapi kegarangannya langsung tidak diendahkan.
Tiba-tiba, saya terdengar bunyi siren yang meminta supaya diberi laluan. Sebuah kereta nasional Proton Perdana berwarna hitam dan bercermin gelap memintas laju diiringi kenderaan pengiring.
Saya berkata kepada teman sambil melihat Ferrari dan Proton Perdana: "Lihatlah beza antara kekayaan dan kekuasaan. Yang kaya tetapi tidak berkuasa, kemungkinan saja ditindas. Tetapi yang berkuasa mampu melakukan apa sahaja."
Oleh kerana itu manusia sanggup lakukan apa sahaja untuk berkuasa. Kuasa merupakan jambatan kepada tercapainya segala keinginan manusia yang tiada batasan. Oleh itu, untuk memiliki kekuasaan manusia berlumba-lumba mencari kemenangan. Bahkan dengan kekuasaan, manusia ada kelebihan untuk mengekalkan kemenangan.
Bila berpolitik, manusia mahukan kemenangan semata-mata. Bila berdebat, manusia ingin tewaskan semua musuhnya. Bila bermesyuarat, manusia mahu pandangannya sahaja diterima. Bila kaya, dia pergunakan manusia. Bila berkuasa, dia mahu buat apa sahaja. Semuanya kerana "virus nak menang" yang penghujungnya adalah kekuasaan.
Sayangnya, kerana "nak menang" manusia gadaikan agama, bangsa dan tanah air sendiri. Syirik, rasuah, caci maki, kafir mengkafir, khianat, pecah amanah dan berdusta lain dipraktikkan kerana virus "nak menang" telah berakar di jiwa. Kemungkaran menjadi juara, kebaikan pula yang dicela.
Wahai saudaraku, sedang Islam itu sendiri adalah agama kemenangan bahkan menyeru umatnya agar sentiasa menang. Jika ingin kemenangan hakiki yang kekal abadi, lihatlah bagaimana Islam melatih umatnya untuk menjadi pemenang seterusnya juara di dunia dan akhirat.
Doa Guan Eng
Allah berfirman, maksudnya: " Sesungguhnya telah menang orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya." (surah al-Mukminun, 23: 2-7)
Allah berfirman lagi, maksudnya: "(juga di kalangan orang yang telah menang iaitu) Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya.Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.". (surah al-Mukminun, 23:2-11).
Ayat di atas menunjukkan bahawa kemenangan itu terletak pada iman, solat, akhlak, maruah, harta, janji dan amanah. Di mana ia merujuk kepada tiga elemen utama iaitu akidah, ibadat dan akhlak. Tanpa akidah yang murni, ibadat yang benar dan akhlak yang terpuji manusia pasti tidak mampu mencipta sebarang kemenangan dalam kehidupannya.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tindakan seorang imam yang mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam khutbahnya. Ramai pihak yang tampil dengan pandangan masing-masing. Ada yang "nak menang" dan ada yang mencari kebenaran.
Sewajarnya soal kepartian dan sentimen perlu diketepikan ketika perbincangan. Ini adalah isu agama dan penyelesaiannya perlu dikembalikan kepada Al-Quran, Al-Sunnah berdasarkan penjelasan ulama muktabar. Kebenaran perlu diutamakan, bahkan kebenaran itulah merupakan kemenangan. Maka jika "nak menang" mesti benar.
Para ilmuan Islam dahulu dan kini bersepakat akan keharusan mendoakan hidayah bagi non-muslim ketika masih hidup. Mereka juga bersepakat melarang doa rahmat dan pengampuan ke atas non-muslim yang telah mati.
Tetapi mereka berselisih tentang hukum doa rahmat dan pengampunan bagi non-muslim yang masih hidup.
Terdapat beberapa riwayat yang menjadi perbincangan di kalangan ulama, antara yang masyhur adalah hadis Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Akibat kejahilan atau ketaksuban
Kata Ibnu Hajar al-'Asqalaani: Maksud perkataan "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku" adalah, permohonan agar kaum tersebut mendapat hidayah, bukan permohonan agar diampunkan dosa-dosanya, kerana dosa non-muslim tidak akan diampuni melainkan dia memeluk Islam. Jadi sama ada boleh, dimaksudkan dengan: Berilah petunjuk agar mereka memeluk Islam, atau: Ampunilah mereka sekiranya mereka memeluk Islam. (Fath al-Baari)
Ulama juga berselisih pendapat dalam isu mendoakan kesejahteraan atau kebaikan non-muslim secara umumnya. Ada yang membenarkan dan ada yang melarang secara mutlak. Ada juga yang membezakan antara kebaikan dunia dengan kebaikan akhirat.
Nabi pernah didatangi oleh Yahudi dan mereka sengaja bersin di hadapan Nabi sambil mengharapkan Baginda menyebut: Moga Allah merahmatimu. Tapi sebaliknya Nabi menyebut: Moga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperelokkan segala urusanmu." (hadis riwayat al-Bukhari). Ini menunjukkan Nabi hanya mendoakan hidayah untuk mereka, bukan rahmat dan pengampunan.
Bahkan jika dilihat pada akhir hadis Nabi menyebut: "dan memperelok segala urusanmu". Hal ini berkait langsung dengan perkataan sebelumnya iaitu: "Moga Allah memberi petunjuk kepadamu".
Mendoakan non-muslim agar mendapat hidayah dibolehkan ketika dia masih hidup. Kerana mana mungkin kita mendoakan hidayah kepada seseorang setelah dia mati. Oleh itu, doa agar diperelokkan urusannya adalah untuk kehidupan di dunia. Manakala di akhirat, kita serahkan urusannya kepada Allah.
Apabila meneliti isu ini, saya berpandangan bahawa pihak yang berselisih masing-masing memiliki dalil dan penghujahan tersendiri, bukan hujah kosong lagi beremosi. Tetapi, meninggalkan doa kepada pemerintah muslim, sebaliknya berdoa ke atas non-muslim adalah sesuatu yang amat tidak wajar. Perbuatan seperti ini mungkin berpunca dari kejahilan atau ketaksuban.
Para ulama sentiasa mendoakan kebaikan untuk pemerintah samada di dalam atau di luar khutbah. Sehingga diriwayatkan dari al-Imam Fudhoil bin 'Iyadh, bahawa beliau berkata: "Sekiranya aku memiliki doa yang mustajab, tidaklah aku doakan kepada sesiapapun selain pemerintah." (Thobaqaat al-Hanaabilah).
Beza dengan ilmuan 'bahtera perubahan minda'
Cuma mereka berselisih pandangan dalam penyebutan nama secara khusus ketika doa dalam khutbah.
Kesimpulannya, saya lebih bersetuju dengan pandangan yang membezakan antara doa untuk kebaikan di dunia dengan doa untuk kebaikan di akhirat bagi non-muslim. Pandangan ini dilihat bersesuaian dengan semua dalil-dalil yang ada, tanpa mengetepikan salah satu daripadanya. Janganlah kerana satu hadis, kita menolak hadis-hadis sahih yang lain.
Para ulama telah menggariskan bahawa beramal dengan semua dalil yang ada lebih baik dari beramal dengan satu dalil dan meninggalkan yang lain. Maka, usaha meneliti dan mengkaji keseluruhan dalil dan penjelasan ulama, perlu dipertingkatan agar membuahkan hasil lumayan bagi pecinta kebenaran.
Bagaimanapun, perlu diingatkan kepada semua muslim dan non-muslim bahawa para ilmuan Islam yang melarang doa kebaikan dan kesejahteraan ke atas non-muslim bukan kerana fanatik tetapi kerana prinsip. Dan yang paling penting sikap hormat menghormati perlu disemaikan dan hak-hak masing-masing tidak diabaikan.
Seorang tokoh ilmuan yang "mengemudi bahtera perubahan minda" di negara ini, menyatakan keharusan mendoakan kebaikan dan kesejahteraan bagi non-muslim. Saya menghormati pandangan beliau, di samping mengenali ketokohan, sikap toleransi serta keterbukaan beliau. Bagaimanapun, mungkin saja pandangan saya dalam hal ini agak berbeza.
Bahkan saya mungkin berbeza pandangan dengan tokoh tersebut dalam beberapa hal dan isu, tetapi kami saling menghormati, bahkan sering bekerjasama dalam hal-hal yang makruf. Bahkan kami memelihara adab-adab ketika mengulas atau mengkritik pandangan masing-masing. Moga-moga keadaan seperti ini berkekalan dengan pertolongan dari Allah.
Ahli Sunah wal Jamaah menangani isu perselisihan dengan ilmu dan akhlak, berbeza dengan ahli bidaah yang sentiasa menjadikan perselisihan sebagai titik perpecahan. Bahkan memanfaatkan perselisihan sebagai platform untuk menuduh, memfitnah dan mencaci. Hanya kerana seseorang itu tidak membaca doa qunut Subuh, basmalah perlahan dalam solat nyaring dantidak baca surah Yasin pada malam Jumaat, maka mereka dituduh radikal dam teroris.
Posisi 'rehatkan diri'
Perlu diketahui bahawa bukan semua perselisihan itu membawa kepada perpecahan, tetapi semua perpecahan bermula daripada perselisihan. Oleh itu, segala bentuk perselisihan perlu ditangani dengan hikmah dan kebijaksanaan bukan dengan kebodohan dan kejumudan.
Inilah suasana yang sepatutnya dipupuk oleh semua ahli ilmu. Emosi diketepikan, agama diberi keutamaan. Apa yang menyedihkan, pada hari ini sebahagian ilmuan yang "nak menang" bukan sahaja tidak beradab dalam mengkritik, bahkan mencaci, menghina dan menjadikan pandangan saudaranya sebagai bahan tawa. Sungguh biadab.
Benarlah sabda Nabi SAW: "Siapa yang memberi jaminan kepadaku untuk memelihara di antara rahangnya (mulutnya) dan di antara kedua pahanya (kemaluan), nescaya aku menjamin baginya syurga." (hadis riwayat al-Bukhari).
Bagi pihak yang mengikuti perkembangan isu khutbah kontrovesi di Pulau Pinang, samada pro atau kontra, saya menyeru secara adil dan terbuka, buanglah sifat "nak menang". Jom sama-sama kita kaji semula dan teliti secara khusus perbincangan para ulama tentang hukum hakam khutbah.
Contoh terbaik adalah daripada Nabi. Ketika berkhutbah merah mata Baginda, tinggi sekali suaranya seolah-olah sedang mengarahkan tentera untuk berperang. Isi kandungannya dinanti-nanti. Ringkas khutbahnya tetapi tuntas.
Khutbah di zaman ini berjela-jela sehinggakan yang tidur tidak mampu berdiri untuk solat kerana kebas kakinya, bahkan ada yang ke tandas untuk ulangi wuduknya dan ada juga yang melepak sambil berbual. Perbuatan ini memang salah dan mereka harus dipersalahkan. Cuma bantulah mereka, sediakan kepada mereka sesuatu yang lebih segar dan tegar, agar di tengah hari mereka mampu sedarkan diri.
Oleh itu biarlah isi kandungannya difahami, jelas, tidak terlalu panjang dan bersifat memberi peringatan. Perlu diingatkan bahawa tujuan asas khutbah adalah untuk mengubah minda dan dunia. Menyeru kepada iman dan kebaikan serta mencegah mungkar dan kekufuran
Bagaimana dengan khutbah kita? Lesu tidak bermaya, bahkan yang menghadiri solat Jumaat lebih berminat kepada tazkirah sebelum jumaat daripada khutbah. Sedangkan terdapat hadis Nabi yang melarang sebarang perhimpunan sebelum solat Jumaat. Apabila bermulanya khutbah, sebahagian mereka mula mengambil posisi masing-masing untuk "merehatkan diri".
Banyak persoalan harus dirungkaikan secara ilmiah dan akademik tentang hukum hakam khutbah secara umum, antaranya hukum tidak mentaati pemerintah, hukum mendoakan pemerintah muslim, hukum menyebut nama pemerintah, hukum mendoakan non-muslim, hukum tazkirah sebelum khutbah, hukum khatib mengangkat kedua tangan ketika berdoa, hukum binaan mimbar dan tongkat khatib yang mahal-mahal.
Bincangkan dan jangan kira "nak menang".- Mkini
Fathul Bari Mat Jahya merupakan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat (Ulama Muda UMNO (iLMU ). Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.
MctHeory:
Satu penulisan yang bagus. Tapi pastiakan dikritik hebat oleh ahlul-ahlul syuuga Pas. Al maklumlah..orang Pas kata, diorang lagi terer bab agama ni.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan