Isnin, 6 September 2010

FAHAMI APA ITU GAGASAN 1MALAYSIA DAN PERLEMBAGAAN!


Penulis telah diundang untuk menyampaikan ceramah atau syarahan tentang gagasan 1Malaysia cetusan idea Datuk Seri Najib Tun Razak lebih kurang 10 kali. Kami di Gapena mengambil pendirian menyokong gagasan ini kerana pegangan kukuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan falsafah Rukun Negara. Penulis sendiri pernah menghadiri satu penjelasan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri bertempat di IKIM, kira-kira dua bulan selepas gagasan itu disebut.

Apakah gagasan 1Malaysia ini merupakan kesinambungan satu perjuangan, retorik politik, substantif, dan relevan? Yang pasti, kita perlu menterjemahkannya ke dalam kehidupan kita berbangsa satu dan bernegara yang satu ini, yakni satu Malaysia. Apakah kefahaman rakyat menyeluruh tentang makna gagasan itu dari segi konsep, slogan dan formulanya yang mendokong ciri-ciri tersendiri atau dibiarkan bebas ditafsirkan mengikut selera sesiapa juga tanpa berpedomankan aspirasi sumber asalnya?.

Jika semua lapisan rakyat menghayatinya dalam konteks kita bernegara dan berbangsa, berpedomankan Perlembagaan hasil daripada kemerdekaan 1957 yang sama-sama kita terima sebagai kontrak sosial sejak awal, penulis tidak fikir kecelaruan tafsiran konsep gagasan itu boleh terjadi. Mereka yang berfikiran serong atau ada agenda tersendiri sahaja bertindak akan mencampuradukkan dan memesongkan segala-galanya ke dalam satu bekas yang bukan acuannya.

Kerja mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencipta kekeliruan. Acuan yang sedemikian akhirnya tidak akan dapat membezakan antara hak-hak negara dan hak- hak kaum.

Penulis kerap kali menggunakan analogi dengan sebuah rumah. Kita semua berada dan tinggal bersama di dalam rumah itu. Maka tentu ada peraturan dan keteraturannya. Kita memiliki bilik-bilik sendiri atas nama Melayu, Cina dan India. Mereka itu bebas menganut kepercayaan dan mengamalkan budaya hidup masing-masing. Ia termasuk juga rakyat Malaysia daripada etnik Kadazandusun, Bajau, Iban, Bidayuh dan puluhan suku bangsa lain.

Mereka itu rakyat asal negara ini dan tergolong ke dalam rumpun Melayu. Rakyat Malaysia pula berbeza agama, budaya, adat resam, bahasa pertuturan, dialek dan cara hidup, misalnya kalau di sana ada yang makan daging babi, sedangkan di sini tidak makan daging lembu. Itulah wajah kepelbagaian kita yang mesti ada penerimaannya sebagai satu hakikat. Kita mahu bina sebuah perpaduan dan kesatuan bangsa yang jitu iaitu 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian'.

Kita hanya boleh bersatu sekiranya kita berkongsi persamaan khususnya nilai-nilai hidup yang sama, antaranya seperti yang digariskan sebagai nilai-nilai 1Malaysia. Katakan, di rumah kita ada balai atau ruang besar tempat bertemu, berbicara, berunding mengatur program kehidupan dan sebagainya, maka di situlah kita berkongsi peraturan-peraturan yang sama.

Jadi, bagi maksud negara bangsa, peraturan-peraturan sedemikian itulah namanya Perlembagaan dan undang-undang yang digubal berpandukan keluhurannya.

Di balai besar itu, kita tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya mengikut keinginan sendiri. Misalnya, makanan atau minuman yang haram tidak boleh dijadikan hidangan rasmi.

Maka istilah rasmi digunakan. Lalu di sebuah negara berdaulat, ketetapan sebuah bahasa sebagai bahasa rasmi bertaraf negara menjadi bahasa penyatuan mereka, walaupun bahasa sendiri atau dialek diguna dalam konteks tertentu.

Sebuah negara bangsa mendokong makna a single nation in a single state, satu bangsa (bangsa Malaysia) untuk negara Malaysia. Kita terdiri daripada berbagai masyarakat tetapi kita adalah satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Kita memerlukan perkongsian sistem-sistem kehidupan bersama demi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, kehidupan sosial dan amalan kebudayaan yang tinggi.

Matlamat utama negara dan kenegaraan ialah perpaduan, jati diri, dan keseimbangan kemajuan fizikal dengan kerohanian. Ukurannya sebagaimana disebut dengan prinsip-prinsip penerimaan dan keadilan. Gagasan 1Malaysia itu merupakan satu kesinambungan wawasan, gagasan dan dasar-dasar yang bersandarkan Perlembagaan.

Kini, telah mula kedengaran ada orang menolak Perlembagaan kerana memperjuangkan 'kesamarataan', satu konsep alamat buruk kepada hidup mati sebuah negara bangsa seperti Malaysia.

Parah akibatnya kelak akan hanya membawa konflik sosial yang lebih besar dan perbalahan. Perlembagaan sekarang adalah formula terbaik untuk Malaysia kerana kerasionalannya tanpa mengetepikan sejarah, realiti lampau dan semasa.

Slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menunjukkan keutamaan layanan dan prestasi cemerlang yang mahu dicapai. Jangan pula kita keliru untuk menyamakan semua aspek kehidupan. Kita kena tahu status sesuatu sebagai hak negara dengan hak kaum. Di situlah letak duduknya konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, status bahasa rasmi, agama negara, kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera, kewarganegaraan, pembahagian kuasa Persekutuan dengan negeri dan sebagainya.

Apakah susah benar mahu kita fahami? Agaknya kerana sengaja tidak mahu faham, maka timbullah tuntutan perkauman, bukannya demi negara dan kenegaraan, hatta boleh datang ganggu gugat dari parti komponen kerajaan sendiri.

Penulis sekadar mahu mengingatkan bahawa bumi asal atau pertiwi Melayu dan tanah air suku bangsa serumpunnya ini, dengan budi dan murah hati, mereka telah menjadi negara kita bersama.

Kita hanya ada satu negara dan satu bangsa yakni negara bangsa Malaysia. Maknanya perpaduan dan kesatuan kita hanya untuk satu Malaysia. Jadi, bersyukurlah dan pertahankan negara yang satu ini. Perlembagaan itulah yang mengikat kita. Sistem kita tidak sama dengan sistem negara lain.

Ingatlah bahawa tumpah darah dan hidup mati kita di sini. Sebab itu wujud ungkapan 'Di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung'. Orang keturunan Cina dan India, bukannya lagi bertaraf pendatang.

Maka sebagai rakyat dan warga 1Malaysia, mari kita berganding bahu melangkah sederap serentak menuju 'gunung yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni', dan jangan biarkan minda kita terjerat ke perangkap mereka yang mahu saksikan kita runtuh dalam tempoh tidak sampai satu abad sesudah Malaysia mencapai kemerdekaan.

Datuk A Aziz Deraman ialah Mantan Ketua Pengarah DBP dan Mantan Ketua Pengarah Kebudayaan.

Sumber Malaysia Instinct

MctHeory:
Masih ramai rakyat Malaysia tidak memahami apa itu 1Malaysia, amacam? dah jelas?

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SATUUUUUUU...MALAYSIAAA!!
SATUUUUUUU...MALAYSIAAAA!!!!
SATUUUUUUU...MALAYSIAAAAA!!

SAY NO TO BARUAA ANUWARRR!!
SAY NO TO BARUAA ANUWARRR!!
SAY NO TO BARUAA ANUWARRR!!

HUHUHUHU

C L J berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
C L J berkata...

Tulisan Dato A Aziz Deramankah ini?

Tahniah dan syabasy.
Hamba percaha Dato Aziz adalah antara orang paling layak untuk membawa rentetan sejarah percubaan Malaysia untuk mencari intergrasi 1 Malaysia semenjak tercetus ancaman mei 13 dan perbincangan KKK 1971. Perlihatkanlah Dato betapa bersungguh sungguhnya kepimpinan Malaysia mencari intergrasi melalui perbagai konsep dasar yang begitu ikhlas dicipta. KKKL harap dapat dipanjangkan cadangan ini kepada Y Bhg. Dato. Terima Kasih.