Selasa, 28 Jun 2011

KASI PANAS!! RAKYAT MALAYSIA YANG MAHU SERTAI BERSIH 2.0, HARUS BACA SINI DULU!!


Oleh Zulkiflee Bakar - Utusan


PARTI-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan penganjur Himpunan Bersih 2, cuba mempertahankan kewajaran untuk mengadakan himpunan haram pada 9 Julai ini.

Mereka berhujah kononnya ia hanyalah sebuah perarakan aman dan tidak mempunyai elemen-elemen yang boleh mencetuskan huru-hara dan ia termaktub dalam Perlembagaan.

Malahan mereka juga mendakwa, perhimpunan haram itu 'tulen' bagi mengemukakan tuntutan agar pilihan raya dijalankan secara bersih, adil dan telus.

Dalam soal ini, kita berhak untuk bertanya tiga perkara;

n Pertama, sejak bilakah pembangkang dan mereka yang terlibat dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) begitu memelihara apa yang sudah termeterai dalam Perlembagaan.

n Kedua, apakah jaminan bahawa perhimpunan itu tidak akan dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh menggugat keselamatan negara dan mampu mengelak daripada huru-hara?

n Ketiga, kenapakah ada bantuan daripada pihak asing bagi menjayakan himpunan tersebut?

Untuk persoalan pertama, jika kita mengkaji perjalanan politik pembangkang sejak selepas pilihan raya umum 2008, merekalah yang paling banyak menggugat apa yang terkandung dalam Perlembagaan.

Cuba kita bertanya, siapakah kelompok yang berusaha menghapuskan keistimewaan orang Melayu dengan konsep perjuangan kesamarataan?

Siapakah pula yang bertanggungjawab mengadakan satu perjumpaan yang berakhir dengan satu ikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini?

Golongan mana pula yang mahu supaya pembahagian biasiswa tidak lagi mengutamakan orang Melayu, sedangkan ia sudah tertera dalam Perlembagaan?

Bagaimana pula dengan tindakan Pengerusi Bersih, S.Ambiga yang terlibat secara langsung dalam Suruhanjaya Antara Agama (IFC)?


Cuba renung 14 perkara yang dituntut oleh IFC berkaitan dengan orang Islam dan agama Islam - tidakkah itu boleh dianggap tidak menghormati Perlembagaan?

Empat daripada 14 perkara berkenaan ialah, seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam dan orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dua lagi perkara ialah sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil dan tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa dia beragama Islam.

Kalau semua ini dikaji, ternyata Ambiga dan pemimpin-pemimpin pembangkang cuba memanipulasikan apa yang ada dalam Perlembagaan demi kepentingan mereka?

Perkara kedua yang ingin kita ketahui, benarkah himpunan haram berkenaan akan berjalan secara aman sedangkan penahanan 31 penyokong Bersih yang diketuai oleh pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. D.Jeyakumar sudah membuktikan bahawa ada agenda tersirat di sebaliknya.

Penahanan itu sudah menjadi bukti bahawa himpunan haram Bersih mempunyai pelbagai elemen-elemen yang boleh merosak dan menggugat keselamatan negara.

Ambiga dan parti pembangkang boleh berhujah apa sahaja berhubung penahanan itu tetapi bukti-bukti yang diperolehi jelas menunjukkan bahawa himpunan haram berkenaan hanyalah alasan bagi melaksanakan agenda yang lebih besar.

Kalau betullah himpunan haram berkenaan hendak menuntut sebuah pilihan raya bersih dan adil, kenapakah ada usaha menghidupkan semula fahaman komunis dan menghasut rakyat untuk menggulingkan pemerintah seperti di negara-negara Asia Barat?

Secara lojiknya takkan Ambiga, Bersih, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh PSM?

Jika pemimpin pembangkang mendakwa mereka tidak mengetahui perkara itu, jelaslah bahawa mereka sendiri pun tidak boleh memberi jaminan bahawa tidak akan ada elemen-elemen subversif yang boleh menyusup masuk ke dalam himpunan haram berkenaan.

Selain itu, kita juga ingin bertanya kenapa sesetengah pemimpin pembangkang begitu ghairah menyebut apa yang berlaku di Asia Barat terutamanya di Mesir dan Tunisia bagi menggalakkan rakyat menyertai himpunan haram anjuran mereka?

Adakah ini bermaksud mereka mahu rakyat turun ke jalanan dan menumbangkan kerajaan melalui huru-hara serta kekacauan?

Perkara ketiga yang ingin kita ketahui ialah himpunan haram itu berkaitan dengan pilihan raya di Malaysia, maknanya ia sepatutnya melibatkan rakyat negara ini sahaja?

Tetapi kenapa berlaku penahanan dua warga asing dari Korea dan Filipina bersama-sama dengan penyokong Bersih di Johor?

Turut menjadi persoalan besar kepada kita ialah penglibatan gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian berpangkalan di luar negara sebagai penyumbang dana kewangan terbesar Bersih.

Lebih membimbangkan ialah berdasarkan sumber-sumber, setakat ini terdapat sembilan negara asing yang menjadi 'tangan ghaib' bagi mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara kita pada 9 Julai ini.

Semua ini memberi peringatan kepada kita bahawa dalam apa keadaan sekali pun, himpunan haram Bersih pada 9 Julai ini tidak harus dibenarkan sama sekali.

Kalau Bersih dan parti-parti pembangkang jujur, sudah tentulah mereka akan memilih jalan perundingan berbanding dengan turun ke jalanan mengemukakan tuntutan.

Malahan mereka juga boleh mengadakan perhimpunan secara aman di stadium-stadium terutamanya di negeri yang mereka perintah, tetapi mereka tidak mahu melakukannya.

Oleh itu pembangkang dan Bersih tidak boleh marah jika ada andaian bahawa agenda himpunan haram mereka bukan soal pilihan raya tetapi soal menjatuhkan kerajaan secara kekerasan dengan menjadikan apa yang berlaku pada tarikh tersebut sebagai momentum.

Justeru adalah wajar jika terdapat pihak-pihak seperti Perkasa, Pergerakan Pemuda UMNO, dan NGO Melayu lain termasuk yang terbaru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia memberi amaran agar himpunan haram itu dibatalkan atau bersedia berhadapan dengan mereka.

Kelompok yang memberi amaran ini tidak mempunyai pilihan kerana tidak mahu Bersih dan pembangkang cuba memperalatkan demokrasi dan Perlembagaan bagi mencapai cita-cita politik mereka sehingga sanggup menghuru-harakan negara.

Tiada ulasan: