KETEGASAN Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mahu wakil rakyat atau pemimpin UMNO bersedia menyokong siapa sahaja dipilih sebagai calon, amat relevan khususnya dalam situasi politik di Kedah.
Ia kerana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah turut berpendapat, resipi Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Kedah daripada pembangkang ialah semua pemimpin UMNO berpakat untuk menyokong calon walaupun diri sendiri tidak dicalonkan.
Wartawan Utusan Malaysia, SAHBULAH DARWI dan jurugambar, ABDUL HALIM KHALID menemuramah Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, DATUK AHMAD BASHAH MD.HANIPAH bagi mendapatkan pandangan beliau.
Ia kerana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah turut berpendapat, resipi Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Kedah daripada pembangkang ialah semua pemimpin UMNO berpakat untuk menyokong calon walaupun diri sendiri tidak dicalonkan.
Wartawan Utusan Malaysia, SAHBULAH DARWI dan jurugambar, ABDUL HALIM KHALID menemuramah Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, DATUK AHMAD BASHAH MD.HANIPAH bagi mendapatkan pandangan beliau.
UTUSAN: Ketika berucap di Selangor, Perdana Menteri mahu semua pihak memastikan kemenangan calon BN tanpa mengira siapa sahaja dipilih, apa pandangan Datuk?
AHMAD BASHAH: Saya amat setuju apa yang disebutkan kerana yang penting adalah semangat setia kepada parti.
Kalau sesuatu kawasan itu sudah diputuskan untuk ditandingi oleh Gerakan, MCA dan MIC, rakan-rakan lain dalam komponen BN, kita kena berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan. Namun begitu apa yang merisaukan kita ialah kriteria calon boleh menang terutama dalam kalangan UMNO sendiri.
Sebab itulah apabila diputuskan oleh pucuk pimpinan siapapun calon pilihan raya nanti maka kita sebagai orang parti, ahli UMNO, sayangkan parti, kita harus memenangkan parti kita
Semangat tersebut perlu ada dalam diri kita hari ini, jangan semangat individu itu, tetapi semangat kepartian kena kuat.
Kalau kita buat sesuatu yang memudaratkan parti seperti sabotaj dan sebagainya, kita menjadi pengkhianat kepada parti. Ia disebabkan yang akan kalah adalah parti bukannya individu.
Jika esok adalah hari mengundi, bagaimana peluang BN untuk menawan semula Kedah jika unsur-unsur negatif ini tiada lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Jika unsur negatif tersebut mampu disingkirkan sudah pasti peluang kita cukup cerah, kerana PRU-13 bukan seperti PRU Ke-11 atau PRU Ke-12.
Kali ini kita boleh menang, tetapi secara jujurnya mungkin dari segi jumlah undi majoriti bukan seperti PRU-11 atau PRU-10 dulu yang mana kita dapat majoriti antara 7,000 atau 6,000 undi.
Sebab itu, kita tidak boleh ada langsung unsur-unsur merajuk, sabotaj calon dan sebagainya.
Ia kerana dalam pilihan raya umum lalu, kita kalah di kubu kuat kita dengan majoriti kecil seperti Dewan Undangan Negeri (DUN Bukit Lada, Tanjung Dawai, Air Itam, Jeneri dan sebagainya. Selain itu kawasan sedia ada dimenangi BN seperti DUN Kuah dan Padang Mat Sirat (Langkawi), Bukit Kayu Hitam dan Jitra (Kubang Pasu), Pedu dan Kuala Nerang (Kuala Nerang) dan beberapa kawasan lain akan terus dipertahankan.
Selain itu, kita ada kira-kira 10 kerusi yang boleh dianggap selesa manakala kira-kira lapan kerusi yang 50-50. Sekurang-kurangnya sasaran 26 daripada 36 kerusi DUN boleh dapat dalam tangan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. Kita juga tahu kubu kuat Pas sebenarnya tidak begitu banyak kecuali di Sala, Anak Bukit, Tokai dan Kuala Ketil sahaja.
Apakah ada faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang?
Pertamanya, kewibawaan dan kepimpinan Najib, ini menjadi aset utama kita. Hari ini semua orang bercakap dan menilai kewibawaan kepimpinan Najib dan mereka begitu yakin untuk menaruh harapan buat generasi akan datang di bawah apa yang dizahirkan Perdana Menteri.
Kedua, dengan apa yang berlaku selama tiga tahun di bawah pemerintahan Pas, rakyat Kedah merungut, maka pilihan raya kali ini adalah masa untuk menterjemahkan sokongan kepada BN dan menolak Pas.
Saya serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan membuat keputusan bagaimana hari ini dan untuk terus ke depan. Ini kerana apabila datang pilihan raya umum nanti maka kuasa diberi semula kepada rakyat jadi rakyat kena buat keputusan yang bijak dan terbaik untuk memilih pemimpin mereka.
Mengenai calon boleh menang, ramai yang mengatakan kriteria dan cita rasa pengundi di Kedah berbeza dengan negeri lain. Dari segi apa perbezaan itu?
Saya setuju, cita rasa pengundi kadang-kadang berlainan mengikut negeri. Mungkin di negeri yang maju seperti Selangor pendekatannya berlainan dengan Kedah. Di sini pengundi mahu calon itu berdamping selalu dengan mereka. Pengundi juga mahu lihat kemampuan, kehebatan dan kewibawaan calon itu.
Perdana Menteri sudah kata, kata calon nanti tidak semestinya orang yang jadi ketua bahagian atau pemimpin bahagian. Kita sebagai pemimpin peringkat bahagian kena terima keputusan Presiden parti, kita kena buat sampai parti menang, maka itu baru orang kata dia adalah pemimpin yang hebat.
Bagaimana pula dengan tuduhan kononnya wujud masalah berpuak-puak dalam UMNO Kedah?
Soal isu berpuak-puak ini, sikit-sikit itu biasalah. Dalam parti, perkara seperti ini tidak akan habis, isu kelompok-kelompok kecil ini, tetapi bila tiba pilihan raya kita akan bersatu dan bekerja bersama-sama. Saya lihat keadaan sudah banyak berubah. Perubahan ke arah yang lebih positif dan banyak masalah sudah selesai, jadi saya yakin perkara itu tidak menjejaskan usaha untuk menawan semula Kedah.
Bagaimanapun, saya lihat semangat parti iaitu sayangkan UMNO iaitu tidak mahu melakukan sesuatu yang negatif terhadap parti dalam kalangan ahli UMNO sudah nampak jauh berubah.
Jadi saya yakin, apabila sampai masanya nanti apa yang diterapkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebut, kita mesti menjadi orang parti, bila orang parti kita tak kira individu maka kita boleh menang, insya-Allah.
Sejauh manakah Majlis Penerangan UMNO baru-baru ini memberi hasil dan kesan positif kepada akar umbi?
Ia adalah perhimpunan lebih 4,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan yang dianggap berjaya dan berkesan dalam menyebarkan mesej ke peringkat akar umbi.
Contohnya, rata-rata peserta berpuas hati dengan penerangan khususnya yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan tugas dan tanggungjawab mereka, isu-isu semasa, persediaan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Kita juga mendapat maklum balas positif khususnya daripada pegawai-pegawai peti undi dan jentera BN daripada parti-parti komponen. Para peserta termasuk juga persatuan guru-guru besar yang memberi respons mahu mesej perhimpunan itu seperti tanggungjawab rakyat, isu-isu semasa yang perlu disampaikan ke akar umbi.
Selain itu peringkat parti-parti komponen akan buat program penerangan susulan di peti undi pada Oktober ini. Kita akan turun ke bahagian-bahagian, di satu-satu bahagian kita turun serentak di 15 hingga 20 buah tempat pada satu malam.
Selain itu, jentera kita sudah siap sedia walaupun ada sedikit sebanyak masalah di sana sini yang diselesaikan tetapi secara umumnya kita sudah bersedia dengan strategi, perancangan dan pelaksanaan yang dipantau oleh ibu pejabat parti.
Dari segi manifesto juga, mungkin negeri seperti Selangor akan ada manifesto sendiri tetapi bagi Kedah, kita akan guna manifesto BN Pusat dan ia menjadi keutamaan, tetapi lepas itu, kita akan tokok tambah mengikut keperluan negeri.
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan