Rabu, 30 November 2011

PANAS!! BAHAYA CUBAAN MEMBAKAR UMNO!!



Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pembangkang sebagai 'kilang fitnah' yang sentiasa mencari peluang untuk memburukkan Umno demi merampas kuasa politik.

Beliau berkata, pembangkang sengaja menyemarakkan api kemarahan bagi menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin parti itu.

"Segala fitnah terhadap Umno ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti Umno. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah.

"Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa.


"Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas iaitu menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama Umno dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini, Selasa.

Ucapannya itu bertemakan; "Menunjangi survival bangsa: Suatu jihad".

Selain itu Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang mengambil kesempatan atas kehakisan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar.

Jelas beliau, pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS juga sebenarnya tidak sehaluan terutamanya dalam menentukan hala tuju orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama.

"​Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja.

"Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja. Namun kita yakin dan percaya DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu," katanya.

Tambah Muhyiddin, PAS yang dahulunya bertindak sebagai parti yang memperjuangkan akidah umat Islam turut terpengaruh dengan agenda peribadi DAP dan PKR demi menghadapi lanskap politik baru.

"​Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti.

"Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Quran walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS.

"Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?," katanya lagi. - mStar

Tiada ulasan: