Keputusan tepat
dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
bilamana beliau mengumumkan pembentukan ESSCOM bagi membendung tragedi
Lahad Datu berulang kembali.
Keputusan membentuk zon kawasan keselamatan itu bukanlah satu perkara baru dalam sejarah negara.
Ironinya, pada masa allahyarham Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri, keputusan sama telah dibuat namun berdasarkan faktor ancaman dari pihak yang berbeza. Rajang Area Security Sommand atau ringkasnya RASCOM diwujudkan bagi membendung kegiatan komunis yang mengancam keselamatan dan kedaulatan tanahair Malaysia tercinta.
ESSCOM turut diumumkan ekoran kejadian ganas yang dilakukan oleh penceroboh bersenjata bertujuan mengganggu-gugat keselamatan awam dan tanahair serta kesucian dan kedaulatan Malaysia yang merdeka melibatkan negeri Sabah.
RASCOM
Pada tahun 1972, Rajang Area Security Command atau lebih di kenali sebagai RASCOM ditubuhkan. Penubuhan adalah berdasarkan kepada beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam di Bahagian ke-3 Sarawak oleh-ahli Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU). Sehubungan itu, surat arahan No 4, Majlis Keselamatan Negara bertarikh 1 April 1972 telah dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara bagi menubuhkan 3rd Division Area Security Command (3rd DASC) yang beribu pejabat di Sibu.
Kawasan operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Di tubuhkan dengan tiga komponen yang terdiri daripada unit tentera, Polis dan awam dan Ketua Menteri Sarawak dilantik sebagai Pengarah Operasi Negeri. Kewujudan RASCOM berjaya menghakis ancaman komunis di Sarawak dan bekas komunis telah kembali ke pangkuan masyarakat selepas berlakunya perletakan senjata dan penyerahan seramai 585 ahli PKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok dalam Operasi Aman pada tahun 1973 dan pada tahun 1986, Ubong anak Nuing beserta 40 orang ahli turut menyerah diri.
Ancaman keganasan komunis berakhir pada 17 Oktober 1990 apabila Kerajaan dan PKKU menandatangani perjanjian di Kuching apabila 52 anggota PKKU menyerah diri dan dengan itu RASCOM dibubarkan mengikut keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 November 1994.
9 Skuadron Semboyan Diraja dulu dikenali dengan nama Skuadron Semboyan RASCOM ditubuhkan dengan rasminya pada 26 Mac 1972. Penubuhan Skuadron ini adalah selaras dengan terbentuknya formasi RASCOM (Markas Pemerintah Keselamatan Rejang). Pada asalnya Skuadron ini ditubuhkan serentak bersama Markas RASCOM di Jalan Kampung Pulau, Sibu, Sarawak. Selepas itu, pada bulan Mei 1976, ia telah dipindahkan ke Kem Pagar Ruyong (yang dikenali dengan nama Kem Lapangan Terbang) yang terletak di Lapangan Terbang.
Keadaan
keselamatan yang kian terancam akibat dari ancaman-ancaman oleh
anasir-anasir komunis yang kian hebat di kawasan tersebut membuatkan
perlunya ada sebuah formasi yang bertanggungjawab membendung
kegiatan-kegiatan komunis ini. Kedudukan Pusat Pemerintahan 3 Briged
yang terletak di Kuching adalah sangat jauh untuk membolehkannya
mengawasi keadaan keselamatan kawasan Sungai Rejang. Tambahan pula
tanggungjawab keselamatan yang dipikul oleh Markas 3 Briged telah pun
dianggap terlalu berat. Oleh yang demikian, pada awal tahun 1972,
keputusan dibuat untuk menubuhkan satu lagi formasi di Sarawak iaitu
Markas RASCOM. Penubuhan Markas RASCOM ini mewujudkan keperluan bagi
menubuhkan Skuadron Semboyan RASCOM untuk menyedia serta mengendalikan
bantuan perhubungan. Ketua Skuadron Semboyan RASCOM yang pertama setelah
penubuhannya ialah Mejar Wong Wai Kiong.
Di peringkat awal penempatannya, hanya Markas Skuadron, Trup Teknik/Kenderaan dan Trup Radio ditempatkan di Kem Lapangan Terbang. Trup Semboyan Markas RASCOM telah ditempatkan di Markas RASCOM di pekan Sibu, manakala Trup Stornya ditempatkan di Jalan Sungai Antu, Sibu. Hal ini merumitkan pentadbiran disebabkan trup-trup tersebut berada di jarak yang jauh di antara satu sama lain. Kerumitan ini dapat di atasi apabila Skuadron berpindah ke lokasi baru di Kem Batu 10, Jalan Oya, Sibu pada 30 Oktober 1977.
Walaubagaimanapun, Pusat Komunikasi Sibu masih berada di pekan Sibu untuk menampung keperluan komunikasi Markas RASCOM.
Markas RASCOM adalah terdiri daripada elemen-elemen pihak tentera, polis dan awam. Percantuman ini bertujuan untuk menjalankan tugas gerakan yang lebih efektif lagi. Skuadron Semboyan RASCOM adalah bertanggungjawab untuk memberi bantuan serta menyediakan segala keperluan perhubungan. Kemudahan perhubungan yang diadakan adalah merangkumi keseluruhan kawasan Sungai Rejang, sungai yang terpanjang di Sarawak. Unit-unit Infantri sentiasa berada jauh antara satu sama lain semasa menjalankan gerakan. Hal ini menimbulkan beberapa kesulitan perhubungan dan telah dapat di atasi dengan jayanya oleh Skuadron tersebut.
Perjawatan bagi Skuadron Semboyan RASCOM adalah sama dengan Skuadron Semboyan Briged yang lain. Pada peringkat permulaan penubuhan, hanya terdapat 5 orang jururadio dan pemandu yang menjadi asas kepada Skuadron ini. Anggota-anggota ini didatangkan dari Trup Skuadron Semboyan 3 Briged. Dari masa ke semasa keanggotaan Skuadron ini ditambah bagi mengisi perjawatan-perjawatan yang belum dipenuhkan. Proses ini mengambil masa yang lama dan dari tahun ke tahun Skuadron ini terus berkembang, sesuai dengan perjawatan sebuah Skuadron Semboyan Briged.
Kini, keanggotaan Skuadron adalah mengikut perjawatan tetap iaitu seramai 6 Pegawai dan 196 LLP. Pada keseluruhannya, Skuadron telah berjaya dan banyak memberi bantuan dari segi perhubungan di dalam gerakan dan latihan di Sarawak. Skuadron ini masih kekal di Kem Batu 10, Jalan Oya, Sibu Sarawak hinggalah sekarang.
Selepas 14 tahun berada di Kem Batu 10, Jalan Oya, pada 8 Disember 1991, Skuadron ini telah diarahkan berpindah ke Kem Sri Rejang iaitu lebih kurang 6 km dari bandar Sibu. Walaubagaimanapun, PUSKOM Skuadron masih tetap berada di Markas RASCOM. Perpindahan disebabkan KD Sri Rejang yang berpangkalan di kem tersebut telah dibubarkan berikutan operasi di kawasan RASCOM telah berkurangan. Semasa berada di kem tersebut, Skuadron telah diperuntukkan dengan bangunan-bangunan baru termasuk kemudahan untuk anggota-anggota bujang yang memuaskan. Untuk anggota yang berkeluarga, mereka kekal di RKAT Kem Batu 10 dan sebahagian kecil menyewa rumah di sekitar Kem Sri Rejang.
Selepas 3 tahun berada di Kem Sri Rejang, sekali lagi Skuadron telah diarahkan berpindah semula ke Kem Batu 10 pada 4 April 1993. Perpindahan tersebut adalah disebabkan Kem Sri Rejang akan diambil alih oleh Rejimen 510 (AW) yang sebelum ini berpangkalan di Batu Pahat, Johor. Skuadron telah diperuntukkan dengan bangunan lama iaitu bangunan yang pernah diduduki sebelum ini walaupun ianya tidak mencukupi sementara PUSKOM masih tetap ditempatkan di MK 9 Briged. Disebabkan jarak antara pasukan-pasukan yang berada di Kem Batu 10 dengan MK 9 Briged lebih kurang 15 km, maka Skuadron telah menubuhkan sebuah PUSKOM di Kem Batu 10 bagi memudahkan segala urusan penghantaran kawat dan KHS.
Awal tahun 1990an, kebanyakan tugas operasi dan gerakan Markas RASCOM lebih tertumpu kepada latihan-latihan biasa seperti briged-briged yang lain kerana ancaman Komunis Kalimantan telah dapat diatasi melalui gerakan-gerakan sebelum ini. Oleh kerana ancaman telah berkurangan maka pihak atasan telah mengarahkan Markas RASCOM dan pasukan-pasukan di bawah naungan melaksanakan latihan bercorak CW dan latihan-latihan kemahiran serta ketukangan pasukan masing-masing.
Sepanjang tahun 1991, Skuadron telah terlibat di dalam EGT dan EGL pasukan-pasukan infantri. Skuadron juga terlibat di dalam memberi bantuan komunikasi kepada pasukan bantuan perkhidmatan dalam latihan mereka.
Pada 6 April 1995, Markas RASCOM yang telah ditubuhkan pada tahun 1972 dengan rasminya telah dibubarkan oleh PTD dan ditubuhkan Markas 9 Briged. Acara pembubaran RASCOM telah disempurnakan di Kem Oya. Dengan pembubaran tersebut, semua pasukan-pasukan di bawah pemerintahan RASCOM telah ditukarkan designasi mereka.
i) Jawatankuasa Rascom yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, yang dilantik dari kalangan Pegawai Pentadbiran Kanan Negeri Sarawak secara pinjaman, dengan bidang tugas menggubal segala dasar berkaitan aktivitinya. Dalam melaksanakan tugasnya, Ketua Pegawai Eksekutif dibantu oleh Panglima Pasukan Keselamatan Rascom, Principal Staff Officer ( PSO AWAM), PSO (tentera), dan PSO (polis).
ii) Jawatankuasa Perancangan Gerakan yang dipengerusikan oleh Panglima Pasukan Keselamatan Rascom, dengan bidang tugasnya sebagai Pengerusi Perangcangan Operasi dan merancang gerakan di kawasan Rascom serta bertindak sebagai penasihat utama gerakan pasukan keselamatan kepada Pengarah Gerakan Neger. Keanggotaannya juga meliputi PSO awam, polis dan tentera.
iii) Jawatankuasa Perang Saraf yang dipengerusikan oleh PSO awam dibantu oleh PSO tentera dan PSO Polis, dengan bidang tugasnya bertanggungjawab bagi merancang dan melaksanakan segala kegiatan perang saraf dan gerak saraf di dalam usaha membanteras perkembangan ideologi komunis di kawasan Rascom.
iv) Jawatankuasa Keselamatan BAhagian yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian dengan keanggotaan yang terdiri daripada Pegawai Daerah, Pegawai Kanan Polis Daerah, Pegawai Kanan Tentera Daerah, manakala Jawanatankuasa Keselamatan Daerah pula dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Peranannya melaksanakan perancangan yang dibuat oleh jawatankuasa lainnya dalam Rascom. Misi pasukan keselamatan rascom dalam operasi ofensif melawan gerakan militan komunis ialah Mencari dan Memusnah ( search and destroy).
Secara keseluruhannya operasi Rascom yang pernah dilaksanakan ialah Operasi utama (7), Operasi kecil ( 17) , Operasi Kerangka (2) , Operasi bersama 3 Briged (2).
ESSCOM
Pembentukan ESSCOM telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke kawasan Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 6 Mac 2013 ekoran kejadian pencerobohan oleh sekumpulan pengganas dari Kepulauan Sulu di kawasan Tanjung Labian yang berlaku sejak 12 Februari 2013.Visi ESSCOM ialah “Sabah Negeri Yang Selamat, Aman, Makmur dan Sejahtera” manakala Misi ESSCOM pula ialah untuk “Menjadikan Kawasan Pantai Timur Sabah Sebagai Kawasan Selamat, Aman, Makmur dan Sejahtera”.
Objektif ESSCOM adalah bertujuan untuk :-
a. Mengekang dan menghapuskan semua bentuk ancaman keselamatan di Pantai Timur Sabah
b. Meningkat dan mengukuhkan pengurusan keselamatan di Pantai Timur Sabah.
c. Penstrukturan semula kawalan, penguatkuasaan, operasi keselamatan di Pantai Timur Sabah;
d. Menstrukturkan semula sosio ekonomi penduduk di Pantai Timur Sabah; dan
e. Memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab agensi keselamatan serta awam melalui kerjasama secara terselaras dan bersepadu di dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah.Konsep Penubuhan ESSCOM adalah :-
a. Untuk memelihara Kedaulatan Negara dan Menjamin Keselamatan Rakyat;
b. Untuk mengembalikan semula keamanan dan kestabilan;
c. Untuk mewujudkan benteng pertahanan (Defence Line) yang menganjur dari Kudat ke Tawau yang turut merangkumi daerah-daerah di dalamnya;
d. Untuk menghapuskan ancaman semasa serta ancaman masa hadapan; dan
e. Untuk meningkatkan kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat.
Komponen ESSCOM turut merangkumi aspek Keselamatan, Pembangunan dan Gerak Saraf serta Perang Saraf (GSPS).
Terma Rujukan ESSCOM akan merangkumi aspek-aspek berikut :-
a. Beroperasi di kawasan tangungjawab meliputi daerah dari Kudat ke Tawau yang turut merangkumi Pitas, Kota Marudu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Kunak dan Semporna;
b. Bertanggungjawab terus kepada YAB Ketua Menteri Sabah selaku Pengarah Gerakan Negeri;
c. Menjadikan Lahad Datu sebagai Pusat Operasi;
d. Tambahan 5 batalion pasukan keselamatan yang terdiri dari ATM dan PDRM di Kawasan Tanggungjawab (KTJ);
e. Penyusunan semula penduduk melalui penstrukturan penempatan dan aktiviti sosio ekonomi;
f. Pelaksanaan arahan, tindakan dan gerakan keselamatan secara terancang, bersepadu, terselaras dan berterusan;
g. Memperkukuhkan kawalan dan penguatkuasaan keselamatan meliputi Imigresen, Kastam, Maritim, Pelancongan, Perdagangan, Penyeludupan dan Persempadanan;
h. Pusat pengumpulan dan penyelarasan maklumat keselamatan;
i. Mengambil kira keperluan perundangan, pengarahan, perisikan dan ancaman yang turut meliputi pengawasan dan pengesanan terhadap musuh;
j. Pengebalan minda masyarakat melalui peningkatan semangat patriotisme yang tinggi dan bertindak sebagai benteng keselamatan secara menyeluruh;
k. Kerjasama dan tindakan secara terselaras, bersepadu dan berterusan di kalangan semua agensi ketenteraan, kepolisian dan awam melalui konsep Blue Ocean Strategy;
l. Medium perbincangan dan penentuan pelan tindakan arahan serta perlaksanaan langkah-langkah keselamatan; dan
m. Melaksanakan sepenuhnya konsep pertahanan dan keselamatan secara menyeluruh / komprehensif.
Kawasan Tanggungjawab (KTJ) ESSCOM akan terdiri dari keseluruhan kawasan Pantai Timur Sabah yang menganjur daripada Kudat ke Tawau yang turut meliputi daerah-daerah Pitas, Kota Marudu, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Kunak, Lahad Datu dan Semporna. Persempadanan kawasan KTJ adalah berdasarkan sempadan setiap daerah terlibat dan kawasan perairan serta pulau-pulau di dalamnya.
Secara ringkas, Struktur Organisasi dan Pengurusan Pentadbiran Serta Perjawatan ESSCOM adalah seperti gambarajah kedua di atas.
Ahli-ahli kumpulan kerja ini terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, PDRM, ATM, APMM, Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Laut Sabah dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Lima (5) Kumpulan Kerja Kecil (KKK) ESSCOM telah dibentuk iaitu KKK Keselamatan yang dianggotai oleh KDN, MINDEF dan JPM (APMM) dan beberapa agensi berkaitan. Manakala Lead Agency untuk KKK Pembangunan adalah Setiausaha Persekutuan Sabah manakala Gerak Saraf dan Perang Saraf akan diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara. Bagi Kumpulan Kerja Kecil Perundangan, akan dianggotai oleh Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Peguam Negeri Sabah dan KKK Operasi akan digerakkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif.
MA/GH
Sumber : TMS
1 ulasan:
saalam, tuan mohon pautkan blog kecil sy disini :)
daengselili.blogspot.com
telah pautkan kedahkekl disana :)mekasih...
Catat Ulasan