Khamis, 15 Ogos 2013

INFO! 100 hari di Kedah, Mukhriz mahathir Bela Kroni? #KedahAmanmakmur


Jangan terkejut, baca dulu cerita kat bawah ni, he he..

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir memberi jaminan bahawa beliau tidak akan memberi projek perniagaan di negeri ini kepada anggota keluarganya.

Kata Mukhriz beliau mahu mengelakkan keadaan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan kepada dirinya jika ada anggota keluarganya mendapat projek perniagaan di negeri ini.

“Setakat ini tidak ada seorang pun ahli keluarga saya nak buat apa-apa projek di sini. Saya harap ia akan kekal macam tu. Kalau tak, ia akan buat saya serba salah kerana saya pasti menyinggung perasaan mereka.

“Yang saya utamakan kepentingan rakyat. Kalau terpaksa pilih kepentingan rakyat dan kepentingan keluarga dalam soal perniagaan sudah tentu saya pilih rakyat. Jadi jika nak elakkan menyinggung perasaan mereka lebih baik tidak timbul keadaan seperti itu (anggota keluarga dapat projek),” katanya pada sidang media di sini sempena 100 hari beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

Bagaimanapun, beliau mungkin akan meminta nasihat daripada anggota keluarganya kerana kepakaran mereka dalam bidang tertentu amat berguna.

Mengenai isu perumahan di negeri ini, Mukhriz berkata kerajaan negeri akan mengekalkan dasar 50:50 bagi pemilikan rumah untuk bumiputera dan terbuka, yang dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS sebelum ini, dan bukan kembali kepada dasar 30:70 yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Dasar rumah, kita masih amal 50:50. Dalam hal perumahan ini banyak keperluan dan permintaan di kalangan bumiputera. Kami nak ratio penduduk bumiputera di kawasan-kawasan bandar dikekalkan.

“Sebab itu amalan 50:50 yang dimulakan PAS diteruskan. Memang ia diteruskan dari segi dasar tetapi dari segi pendekatan mereka (kerajaan PAS) gagal. Dalam hal ini kita juga kena pastikan kepentingan bukan Melayu dijaga… banyak cara lagi untuk diimbangi sebaik mungkin,” katanya.

Mukhriz berkata dasar 50:50 itu boleh mengelakkan tanah rizab Melayu terpaksa ditukar dengan tanah di tempat lain berbanding dasar 30:70 yang memerlukan tanah rizab Melayu ditukar.

“Dalam Alor Setar boleh dikatakan semua tanah rizab Melayu. Kita nak penduduk di bandar terutama di Alor Setar kekal dengan demografi sekarang. Tak nak timbul masalah Melayu tinggal di luar bandar, bukan Melayu di bandar. Bagi Kedah, ini keadaan yang tak boleh diterima,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata kerajaan Kedah sedang mengenal pasti tanah bukan sawah yang sesuai untuk dimajukan berikutan negeri ini merupakan sebuah negeri pertanian dengan tanah yang luas digunakan untuk penanaman padi.

“Buat masa ini masih ada tanah bukan bendang yang boleh diusahakan sebagai taman industri. Contohnya di Bukit Kayu Hitam ada 3,000 hektar. Itu kita sedang usahakan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk membangunkan tanah milik agensi kerajaan Persekutuan itu yang berada dalam kawasan pinggiran Mada.

“Ia melibatkan 8,000 hektar. Kawasan-kawasan pinggiran Mada yang berada di sekeliling bandaraya Alor Setar boleh dilaksanakan untuk tujuan pembangunan. Kita boleh runding dengan Mada,” katanya.

Tiada ulasan: