Khamis, 9 Januari 2014

INFO! Komen Ayahanda Tun Dr Mahathir Tentang Hard Rock Cafe Putrajaya! #HRC


1. Saya berterimakasih kerana interpretasi yang sering dibuat berkenaan pemikiran saya. Tetapi kadang-kadang interpretasi berbeza dari pemikiran saya yang sebenar.

2. Berkenaan dengan Putrajaya. Yang sebenarnya tujuannya ialah untuk mendiri sebuah Bandar pentadbiran. Kita mendapat ilham dari bandar-bandar dunia untuk tujuan ini.

3. Di antara yang mempengaruhi rekabentuk Putrajaya ialah ibu kota Perancis, iaitu Paris.

4. Yang kita pilih sebagai contoh ialah Champs Elysees, boulevard utama yang melintasi tengah Bandar Paris.

5. Boulevard ini mempunyai jalan tengah yang luas untuk lalu-lintas kereta dan dua buah jalan kecil antara jalan tengah dengan deretan bangunan di kiri kanan untuk pelawat ke kedai dan restoran.

6. Tingkat bawah bangunan-bangunan ini terdapat kedai-kedai makan dan barangan dan juga pusat hiburan seperti Lido. Memanglah restoran menjual barangan yang tidak halal.

7. Sesungguhnya Champs Elysees dipenuhi dengan pembeli-belah tempatan dan pelancong dalam dan luar negeri sepanjang masa. Ramainya mereka di sini kerana terdapat kedai dan restoran mewah. Lido mempunyai tarikan hiburan yang istimewa.

8. Kita tidak berhasrat meniru segala-galanya yang terdapat di Champs Elysees di Paris. Kita juga tidak ingin menjadi Putrajaya sebagai Bandar pentadbiran yang penuh dengan pejabat Kerajaan semata-mata.

9. Di Negara maju terdapat CBD – Central Business District yang penuh dengan pejabat-pejabat syarikat terkemuka di Bandar besar. Pada siang hari ramailah pekerja dan pelawat membanjiri CBD. Apabila pejabat tutup pada 5 petang, CBD menjadi senyap sunyi. CBD juga berbahaya pada waktu malam kerana ramai penjenayah merayau-rayau dan menyamun orang yang masuk kawasan ini.

10. Sudah tentu jika ramai orang terdapat di mana kawasan, kemungkinan penjenayah bermaharajalela akan berkurangan.

11. Saya cadang kepada pengurusan Putrajaya supaya diadakan kedai-kedai makanan dan barangan sepanjang jalan tengah Putrajaya. Dalam pada itu pusat hiburan ringan juga perlu diadakan.

12. Pada malam Sambutan Ambang Tahun Baru hampir 100,000 orang, kebanyakannya Melayu telah dihibur dengan lagu-lagu merdu dan tarian. Mereka tidak mungkin datang jika tidak ada hiburan.

13. Adanya hiburan ini tidak bercanggah dengan idea Putrajaya.

14. Saya tidak bersetuju jika diadakan kedai arak dan tarian bogel di Putrajaya. Tetapi jika diadakan sedikit hiburan tidak mengapa.

15. Saya tak pernah pergi ke Hard Rock Café. Mungkin ia tidak sesuai. Tetapi ia dan pusat hiburan lain boleh disesuaikan jika sanggup mengadakan hiburan yang tidak lucah. Kita perlu kepada hiburan. Jika ada acara persandingan di dewan-dewan di Putrajaya tidak ada larangan terhadap hiburan. Kenapa tidak pusat hiburan di restoran.

16. Perubahan sedang dilakukan oleh Tan Sri Aseh kepada Putrajaya. Saya lihat semakin ramai pelawat datang ke Putrajaya sebelah malam kerana perubahan-perubahan ini. (chedet.cc)

5 ulasan:

Unknown berkata...

Catitan pandangan Ayahanda Tun Mahathir ... saorang NEGARAWAN sangat2 MEMBINA dan wajar diberi perhatian dan pertimbangan UNTUK TAMBAH NILAI PUTRAJAYA ... sesuai dengan budaya bangsa dan menjunjung nilai2 ISLAM dalam ciri2 perlaksanaannya

hangkedee berkata...

Tak sesuai Pusat Pentadbiran kerajaan ada Hard Rock. Nanti kakitangan jadi seperti BATU hati BATU kerja macam hantu sebab malam jadi hantu sehingga pagi. pergi kerja mengantok giler.productivity pasti merudum.betul tak Pemandu ah jib Gor?

Tanpa Nama berkata...

Kalau prestasi merudum bukan salah persekitaran tapi sikap masing2...org yg gagal akan mencari alasan untuk menutup kelemahan sendiri...dan org yg sempit fikiran akan melihat benda2 yg negatif shj...

Tanpa Nama berkata...

Hari ini Menteri KDN , Zahid Hamidi bawak 20 orang bloggers UMNO ke Bukit Aman untuk dijadikan sebagai cybertroopers pembela beliau bila ada isu-isu berkaitan polis dan KDN dibangkitkan. Betul ke story ni? Kalau betul mungkin tak lama lagi kita boleh tengok beberapa blog bermati-matian pertahankan dan lambung Zahid Hamidi ni. Banyak dapat upah khabarnya.

Tanpa Nama berkata...

Semua di atas adalah betul tapi kita kena ingat bahawa persekitaran juga mempunyai kesan pengaruhnya yg tersendiri terutama jika ia berada didalam sekitaran kita sebagai contoh jika persekitaran kita tinggal di kelilingi dengan tempat untuk bersukan atau beriadah ataupun mungkin di kelilingi dengan tempat membeli belah tidak mustahil bahawa masyarakat di tempat itu juga terpengaruh untuk beriadah atau melakukan aktiviti sukan ataupun 'bershopping' atau hanya sekadar pergi melepak di pusat membeli belah. Apa-apapun saya yakin para pemimpin kita mempunyai pandangan idea yang jauh kedepan demi kebaikkan dunia dan akhirat. Ameenn...