Jumaat, 5 September 2014
INFO! Ucapan Dato Seri Hj @MukhrizMahathir Pada DS @NajibRazak Yang Patut Kita Baca!! #KedahSerataRata
Ucapan Dato Seri Hj Mukhriz Mahathir dimesyuarat UMNO Bahagian Jerlun.
Wajib baca.. terbaik!
Assalamualaikum w.b.t
YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Presiden UMNO, merangkap Perdana Menteri Malaysia
YB Dato' Sri Ahmad Bashah bin Md. Hanipah
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah /
merangkap Timbalan Menteri KPDNKK
YB Dato’ Seri Mahawangsa Dato' Seri DiRaja Mahdzir bin Khalid
Ketua UMNO Bahagian Padang Terap / merangkap Timbalan Menteri KETTHA
YB Dato Abu Hasan Sarif
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun / merangkap ADUN Kota Siputeh
YB Dato Othman Hj Aziz
Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun / merangkap Ahli Parlimen Jerlun
Ketua2 UMNO Bahagian Kedah dan Ahli2 Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
Ketua2 Parti Komponen Barisan Nasional
YBhg. En Shamsudin @ Abd Ghani bin Saad
Pengerusi Tetap
YBhg Dato' Maznah Abdul Hamid
Ketua Wanita UMNO Negeri Kedah / merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerlun
YBhg Sdr Ahmad Azhar bin Abdullah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerlun
YBhg Sdri Yusmawati Yaacob
Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerlun
Pegawai2 UMNO Jerlun
Ahli2 Jawatankuasa 4-sayap UMNO Bahagian Jerlun
Sidang Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun
Tuan-tuan dan Puan-puan yg saya hormati sekalian
1. Alhamdulillah saya panjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurniaNya kita dapat bersama menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun tahun 2014.
2. Bagi pihak saya sendiri dan seluruh warga UMNO Jerlun, saya mengalu-alukan dan mengucapkan setinggi terima kasih kepada YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Presiden UMNO yang telah sudi hadir untuk merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Jerlun buat julung2 kalinya.
3. Saya difahamkan bahawa selain mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jerlun, yang juga akan dirasmikan oleh Dato' Seri hanyalah mesyuarat UMNO bahagian Dato' Seri sendiri iaitu Bahagian Pekan. Sekali lagi kami ucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas penghormatan ini.
4. Di kesempatan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-57 kepada semua yang hadir. Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita dan meredhai segala yang kita usahakan bagi menjamin keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia dan Negeri Kedah.
5. Kejadian-kejadian kebelakangan ini jelas membuktikan kepada kita bahawa setelah mencapai kemerdekaan secara penuh hemah dan diplomasi, kemudian mengisi kemerdekaan itu dengan memakmurkan Rakyat, kini negara tidak dapat elak dari mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan dari perspektif politik dunia.
6. Kehilangan pesawat MH370 disusuli pula dengan penembakan jatuh MH17 akibat konflik yang langsung tiada kaitan dengan kita menuntut agar Malaysia terus bersuara mempelopori keamanan dan menegakkan keadilan sejagat seperti yang telah diperjuangkan sejak kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi.
7. Di sini, ingin saya menjemput hadirin semua sedekahkan Al Fatihah kepada mangsa-mangsa tragedi MH17 dan para syuhadah di Gaza, juga doakan agar misteri MH370 akan segera terungkai. Al Fatihah.
YAB Dato' Seri,
8. Suka saya laporkan bahawa semenjak Barisan Nasional berjaya menawan semula hati Rakyat Kedah pada PRU13, pelbagai strategi dan pendekatan telah diambil oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Barisan Nasional Kedah untuk terus meyakinkan Rakyat terhadap keikhlasan, kesungguhan dan keupayaan BN memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Segala yang kami lakukan - baik melalui program dan aktiviti parti mahupun melalui keputusan dan tindakan Kerajaan Negeri - sentiasa mendahulukan Rakyat sambil mengutamakan prestasi seperti yang telah disarankan oleh Dato' Seri sendiri dalam gagasan 1Malaysia.
9. Walaupun perit rasanya, rupa-rupanya lima tahun di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat merupakan ujian dan pengajaran Allah SWT bagi BN, khususnya UMNO untuk bermuhasabah diri dan membuat apa jua pembetulan dan penambahbaikan untuk kembali ke hati Rakyat. Hikmah di sebalik lima tahun sebagai pembangkang selepas berkuasa selama lima puluh tahun cukup untuk menyedarkan kita bahawa Rakyat berkuasa untuk menukar Kerajaan, dan hakikat ini menuntut agar kita sentiasa gigih memegang mandat yang telah diamanahkan. Itulah iktibar yang telah kami perolehi.
10. Salah satu hikmah yang Allah berikan ialah peluang untuk Rakyat Kedah menilai sendiri pencapaian kepemimpinan pentadbiran Kerajaan di bawah PAS dan sekutu mereka. Jelas sekali ketidakcekapan, ketidakikhlasan dan perpecahan di antara mereka telah mengakibatkan kemerosotan sokongan Rakyat terhadap mereka, sekaligus membuktikan bahawa setiap kebaikan yang cuba mereka bayangkan untuk Rakyat sebelum PRU13 meleset sama sekali.
11. Tetapi kelemahan mereka itu masih tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan bagi UMNO dan BN. Jelas sekali, suatu alternatif yang boleh diterima Rakyat merupakan kunci kepada hati mereka. Alhamdulillah, kesepaduan yang sedia terjalin di kalangan seluruh warga UMNO dan parti-parti komponen BN menyerlah dan disenangi Rakyat.
12. Kini pendekatan mesra Rakyat yang diambil oleh Kerajaan BN di Negeri Kedah ini juga disambut baik oleh mereka. Program-program mendekati Rakyat tanpa banyak protokol, aktiviti menziarah dari rumah ke rumah, acara-acara keagamaan – kesemuanya membuktikan bahawa Rakyat tidak silap pilih di PRU yang lepas.
13. Ditambah pula dengan dasar-dasar yang berpunca dari Akujanji BN Kedah bagi PRU13, satu persatu harapan Rakyat itu termakbul. Rumah kos rendah dan sederhana sedang giat dibina bagi memenuhi permintaan Rakyat. Kedah semakin dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur asing dan domestik hingga berjaya mencapai kedudukan jumlah pelaburan kedua tertinggi dan keempat tertinggi bagi suku pertama dan kedua tahun 2014 dengan jumlah pelaburan mencecah RM4.3 billion, lantas mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan baru termasuk yang berpendapatan tinggi.
14. Pertumbuhan KDNK Kedah terus mencatatkan kadar seiring dengan kadar nasional. Maka peluang perniagaan juga mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi usahawan2 kita. Institusi pondok agama juga turut terus diperkasakan.
15. In shaa Allah, saya ingin menyatakan bahawa BN Kedah akan terus berusaha untuk mengekalkan sokongan Rakyat agar mandat yang diamanahkan itu akan kekal di dalam tangan kita. Bagi pihak BN Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Dato' Seri atas segala sokongan dan bantuan yang telah dihulurkan setakat ini. Sokongan dan bantuan yang akan diberikan selepas ini, dan memang kita banyak perlukan bantuan Kerajaan Pusat, kami dahului dengan ucapan jazakallah khairan katsiran, semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan.
16. Hasil daripada iktibar kekalahan terdahulu, kami sentiasa bermuhasabah diri menyemak keberkesanan tindakan untuk terus releven di mata Rakyat. Oleh itu, kami mengalu-alukan sebarang nasihat atau teguran yang bertujuan untuk membetulkan keadaan yang dilihat kurang betul.
17. Pepatah Melayu berkata :
Sayangkan anak, tangan2kan
Sayangkan isteri, tinggal2kan
Dan ada yang menambah : Sayangkan pemimpin, tegur-tegurkan.
Yang menjadi kata kunci kepada pepatah Melayu ini ialah perkataan “sayang’. Hanya orang yang sayang kita yang akan menegur kita untuk tujuan membetulkan kesilapan yang mungkin telah kita lakukan. Ini adalah manifestasi sokongan yang ikhlas terhadap pemimpin. Sokongan dari kategori ini yang saya perlukan kerana saya juga akui tidak mempunyai monopoli kebijaksanaan dalam mentadbir negeri ini.
18. Sokongan ikhlas seperti ini juga memberi kekuatan kepada pemimpin. Kalau kita tidak sayang seseorang itu, masakan kita akan menegur untuk kebaikannya.
19. Walaupun begitu, satu lagi kategori sokongan adalah sokongan yang membawa rebah. Sokongan jenis ini disulami kata2 manis yang mengasyikan, membuai pemimpin dengan mimpi-mimpi indah walhal keadaan sebenar lebih mirip mimpi ngeri. Ini merbahaya bagi pemimpin, dan saya harap saya tidak dikelilingi oleh penyokong dari kategori ini.
20. YAB Dato’ Seri, saya ingin menyatakan bahawa seluruh kepimpinan UMNO dan BN Negeri Kedah, bermula dari saya sendiri melafazkan ketaatan dan kesetiaan kepada perjuangan parti dan ikhlas menyokong kepimpinan Dato' Seri. Sokongan yang kami lafazkan ini adalah dari kategori pertama – iaitu yang ikhlas dalam memberi pandangan, malah juga teguran berhemah sekiranya perlu bertujuan untuk memberi kekuatan kepada Dato’ Seri.
21. Ingin saya meyakinkan Dato’ Seri juga, dan saya rasa Dato’ Seri pun tahu perkara ini, bahawasanya teguran yang telah dikemukakan oleh Ayahanda Tun Mahathir juga adalah datangnya dari sifat sayang dan bertujuan untuk memberi kekuatan kepada Dato’ Seri. Dari kenyataan-kenyataan Dato' Seri sendiri, saya percaya Dato’ Seri juga memahami akan perkara ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
22. Marilah kita sama-sama mengucapkan syabas kepada YAB Presiden parti kita ini atas kejayaannya mengurus pemulangan jenazah mangsa-mangsa MH17 setelah berunding dengan ketua pihak pemisah Timur Ukraine. Saya sendiri telah bertanya dengan Dato’ Seri apa perasaannya ketika bercakap melalui telefon dengan Aleksander Borodai mengenai urusan jenazah walhal dialah pemimpin pihak yang disyaki telah menembak jatuh pesawat kita. Dato’ Seri ceritakan bahawa panggilan telefon telah beliau buat jam 3 pagi, dan terpaksa menggunakan penterjemah bahasa kerana Borodai tidak berbahasa Inggeris. Kalau tidak banyak sabar, tentunya mustahil untuk mencapai persetujuan untuk memulangkan mangsa2 kepada negara masing2 termasuk Malaysia. Ucapan tahniah telah disampaikan oleh semua pemimpin negara-negara yang terlibat.
23. Kesungguhan menjuarai keamanan di rantau ASEAN ini diterjemahkan melalui tindakan-tindakan diplomasi sebagai orang tengah untuk mendamaikan Kerajaan Republik Filipina dengan pejuang pemisah Mindanao, juga antara Kerajaan DiRaja Thailand dengan pejuang pemisah Selatan Thai. Pendekatan konsisten yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri membanggakan kita dan harus disokong oleh semua yang mencintakan keamanan. Tahniah kami ucapkan!
24. Bagi sebuah Negara yang penduduknya dari pelbagai latarbelakang etnik, agama dan status ekonomi, tentunya pendekatan kesederhanaan yang diamalkan sejak sebelum Merdeka lagi adalah yang terbaik bagi memupuk perpaduan, mewujudkan bukan hanya kefahaman dan toleransi antara kaum, tetapi juga suasana yang menerima dan meraikan kepelbagaian. Inilah asas kepada kemakmuran yang hendak kita usahakan bersama.
25. Dari Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-negeri, kepada kontrak sosial dan Rukunegara, disusuli Dasar Ekonomi Baru hingga terkini gagasan 1Malaysia, Gerakan Moderat Sedunia dan Wassatiyah, kesemuanya bertujuan untuk mempertahankan jalan tengah yang mengambilkira kepentingan semua tanpa menidakkan mana-mana golongan masyarakat seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
26. Pendekatan moderat ini penting bagi mengimbangi fahaman-fahaman ekstrim yang cuba menguasai naratif sosial negara. Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, dasar yang tidak bersifat ekstrim perlu dipertahankan agar tidak tercetus pertelingkahan yang merebak menjadi keganasan seperti yang berlaku dibeberapa negara termasuk di negara-negara jiran.
27. Namun, saya berpandangan bahawa pendirian moderat ini juga perlu tegas dipertahankan supaya tidak diperkosa oleh unsur-unsur ekstrim. Ironisnya, kita memerlukan dasar-dasar dan undang-undang yang kelihatan “draconian” untuk melindungi pendekatan kesederhanaan atau moderat ini. Fahaman kesederhanaan tidak boleh dipertahankan oleh undang-undang yang sederhana impaknya. Undang-undang preventif yang mungkin kelihatan ekstrim sahaja dapat membendung ekstrimism
28. Oleh itu Dato’ Seri, setelah Akta Keselamatan Negara 1960 atau ISA dan Ordinan Darurat 1969 dimansuhkan, saya harap Kerajaan Persekutuan dapat pertimbangkan semula hasrat untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan tiga akta baru.
29. Selain itu, adalah harapan sebilangan besar Rakyat yang sentiasa mematuhi undang-undang negara agar pihak berkuasa tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan ke atas sesiapa sekalipun yang menghasut bertujuan mencemar nama baik DYMM Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, mana-mana agama khususnya agama rasmi Persekutuan iaitu Islam, dan mempertikaikan hak-hak keistimewaan kaum Melayu dan hak kaum-kaum lain seperti yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.
30. Sekali lagi, jika fahaman moderat yang kita ingin pelopori, maka hanya dengan kepatuhan kepada undang-undang negara dan penguatkuasaannya maka dapatlah kita menggagalkan unsur-unsur ekstrim yang cuba memecahbelahkan dan memporak porandakan kita.
31. Dato’ Seri sendiri dalam ucapan di Persidangan Agong Pertubuhan Bangsa2 Bersatu di New York menyatakan bahawa “Kita tidak patut beranggapan bahawa kesederhanaan itu satu kelemahan. Bersabar ketika berdepan dengan mereka yang mencetus keganasan tidak bermakna kita lemah, sebaliknya itulah kekuatan kita yang sebenar.”
32. Dato’ Seri, tindakan dan komen-komen bersifat hasutan yang berniat untuk mencabar sensitiviti pelbagai kaum tidak boleh dibiar bermaharajalela. Setiap tindakan dan komen itu tentunya mengundang reaksi yang setimpal dari pihak yang dicabar. Jika tidak dibendung dari awal, aksi dan reaksi ini semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal. Kita semua boleh bayangkan apa yang akan terjadi kelak.
33. Agaknya inilah antara perkara-perkara penting yang sentiasa merunsingkan Dato’ Seri sehingga sejak dua tahun ini saya lihat rambut Dato Seri hingga ke kening pun dah semakin putih. Tapi lebih baik putih dari tiada langsung!
YAB Dato’ Seri, Tuan-tuan dan Puan-puanyang dihormati sekalian,
34. Melentur buluh biar dari rebungnya. Begitulah peribahasa Melayu yang memesan agar kita mendidik anak-anak kita membesar menjadi insan mulia. Perpaduan perlu diterap dibangku sekolah lagi. Walaupun sudah beberapa kali Kerajaan menyatakan bahawa sekolah-sekolah vernakular tidak akan diganti dengan sistem sekolah satu aliran, namun saya harap usaha terus dipertingkatkan lagi untuk memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan kita.
35. Kalau ini dapat dilakukan tanpa kompromi, masa depan Negara bertuah Malaysia pasti akan melahirkan Bangsa Malaysia dari pelbagai latarbelakang tetapi tetap bersatu hati, sanggup berkorban jiwa dan raga untuk memperjuangkan prinsip-prinsip nasional, bersama mensejahterakan, memakmurkan, dan mewariskan sebuah negara bangsa yang utuh kepada anak cucu kita, in shaa Allah.
36. Selagi itulah prinsip pegangan kita semua, UMNO Jerlun terus berikrar sumpah taat setia kepada Presiden UMNO dan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Sekian, wabillahi taufiq, walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
10 ulasan:
Bravo mukhriz.Tak ramai orang yg berani sound depan2 walaupun secara berlapik.Teguran mukhriz adalah kesinambungan teguran ayahandanya tun mahathir.Ini mungkin kerana semua pemimpin umno seolah bisu dan pekak seolah2 umno sudah cukup kuat.
Najib sudah ditegur oleh tun m secara terbuka.Bermakna apa yg ditegur oleh tun adalah sesuatu yg sangat serius.Menarik balik sokongan kepada najib bukan satu tindakan yg boleh dipandang remeh.Teguran dari seorang negarawan ulung masakan boleh dianggap enteng oleh najib dan juak2nya?
Kita mahu najib berubah kalau tak mahu diubah.Orang umno perlu menyambut teguran tun atau biar saja orang Melayu akar umbi yg mengajar kamu pada pru14?
Ingat kalau pas keluar dari pakatan dalam masa terdekat ini,orang Melayu yg kecewa pada najib dan umno tak teragak2 untuk memberikan undi kepada pas yg sudah kembali solo.Dulu ramai yg mengundi umno kerana benci dengan kedayusan pas.Sekiranya pas benar2 keluar dari pakatan pas akan dilihat sebagai berani berubah manakala umno pula dilihat masih syok sendiri.
Syabas Mukhriz... Tetapi Dato' cari 'penyakit' sebenarnya...
Ucapan aluan kpd Perasmi kebiasaannya adalah puji-pujian, sanjungan dan lambungan melangit...
Seterusnya ucapan Ketua Bahagian ialah mengingatkan ahli perwakilan tentang petjuangan umno seterusnya bla...bla...bla..
Tetapi 70% isi ucapan Mukhriz menghala (macam meriam) kepada Najib dan terselit persaolan integriti Najib itu sendiri.
Bahkan dalam lembut, Mukhriz memberi amaran...
Seterusnya...biarlah pembaca lain pula beri komen
Sesiapa yang pegang jawatan tinggi akan mereka berkata mereka amat pandai dan kuat dan disokong oleh semua ahli, tapi Kita mesti ingat pemikiran mereka akan berubah bila mendengar dahyah dan fitnah dari pihak lain. So jangan ingat Kita kuat!...Lagi satu bila Datin nak berhijrah memakai tudung dan menutup aurat, nak tanggung dosa ka Dato Seri?..
Najib Razak ingat nak jack Dr Mahathir sket dengan merasmikan mesyuarat Jerlun. Alih-alih kena sindir berlapik. Kalau dia masih buat pekak badak juga, tak tahulah. Kita Melayu atas pagar dah meluat dengan presiden bapok yang sekor ni. Dah berapa kali ditegur, tak paham-paham. Benak sangat ke anak orang kaya? Telinga tebal? Kulit babi?
Benar.. mukhriz cr penyakit
Penyakit utk penawar bg semua org..
Bg kita yg tegur najib kt sini..
Mgkn x smpi ke mana
Semoga Allah memberkati mukhriz
Amin
Percayalah
Najib lebih bahaya dr Ketum
Setuju memang Najib bahaya, harap ada orang yang boleh ganti dia.
PAS paling bahaya dr najis babi
Sbb PAS lah ramai terpesaong agama dan ada yg sanggup makan babi walaupun haram.. contohnya Maty Sabu macai DAP tu.
Syaitan 10.41 ni masuk dah
lama dia xmasuk.
Catat Ulasan