Isnin, 8 Jun 2015

Pelan Induk Untuk Merubah Industri Perkapalan Malaysia - Menteri Pengangkutan


Sedar atau tidak kita kurang informasi atau mengambil berat mengenai industri perkapalan di Malaysia. Industri berkenaan juga, mengalami kemerosotan yang jelas, selepas ekonomi dunia dilanda kelembapan.

Oleh itu satu draf Pelan Induk Perkapalan Malaysia, yang akan mengenal pasti pelbagai isu dan membuat cadangan mengenai industri perkapalan yang kritikal, akan siap hujung tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pelan induk itu menghurai dan mencadangkan beberapa strategi serta langkah yang sesuai untuk memulihkan industri perkapalan khususnya dan industri sokongan umumnya.

"Pelan induk itu akan merobah keseluruhan spektrum perkapalan Malaysia dan melonjaknya ke tahap lebih tinggi, apabila dilaksanakan," katanya ketika merasmikan bangunan baharu Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), tempohari.

Industri perkapalan sangat penting kepada Malaysia kerana ia adalah kaedah perhubungan serta talian hayat kepada ekonomi negara, malah lebih 95 peratus perdagangan negara melalui laut.

"Bagaimanapun kita tahu yang industri perkapalan Malaysia terjejas oleh kelembapan ekonomi global serta krisis kewangan dan kini industri perkapalan Malaysia menghadapi pelbagai cabaran," katanya lagi.

Sambil menegaskan perkapalan adalah industri kitaran walaupun kitaran ke bawah nampak panjang bagi sesetengah pihak, beliau berkata, keadaan akan bertukar menjadi lebih baik tidak lama lagi dan setiap orang perlu kekal positif.

Beliau menggesa pemilik kapal memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan maritim, melalui peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan, daya saing serta produktiviti.

Liow menggariskan pelbagai langkah lain yang dapat mengurangkan kesan kelembapan ekonomi, iaitu penilaian komprehensif semua aspek perkapalan, termasuk kewangan, operasi, perkhidmatan serta kakitangan bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan peluang serta ancaman sebelum menyelaras strategi.

"Oleh itu apabila pasaran bangkit semula, mereka yang paling bersedia dengan aset, kapasiti dan kakitangan akan menjadi yang pertama menuai hasil daripada pemulihan ekonomi global dan perdagangan melalui laut.

Kerajaan juga mengalu-alukan sebarang cadangan daripada MASA yang boleh dikaji bersama dalam mempromosi kelestarian, menambah peluang untuk pertumbuhan dan kemajuan industri perkapalan negara,

MASA juga merupakan satu Persatuan Perkapalan yang aktif dan sentiasa memainkan peranan bersama Kerajaan untuk terus bersama membangunkan industri yang menjadi tunjang dalam perdagangan negara.

Tiada ulasan: