Ahad, 17 Oktober 2010

LAGI KISAH MENARIK ANWAR DAN AZMIN!!


DALAM tempoh tidak sampai dua minggu, ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkunjung dua kali ke Indonesia. Ramai yang boleh membaca strategi Anwar. Beliau mahu mendapatkan sokongan sebanyak mungkin daripada pihak luar bagi menyelamatkan dirinya daripada kes liwat kali kedua. Matlamat beliau adalah mahu melihat gelombang campur tangan asing supaya mengenakan tekanan ke atas kerajaan Malaysia.

Setakat ini, apa yang beliau harapkan itu tidak menjadi kenyataan meskipun ada pihak luar yang simpati dan telah termakan dengan muslihatnya. Awang percaya tiada pemimpin di dunia yang terlibat dalam kes mahkamah berkaitan salah laku peribadi, begitu ghairah mengheret masyarakat antarabangsa untuk bersimpati dengannya kecuali Anwar.

Di Indonesia, seperti biasa, Anwar bermain dengan sentimen untuk menagih simpati dan sokongan. Bukan itu sahaja, beliau menabur janji untuk menyelesaikan segera masalah antara kedua-dua negara jika menjadi Perdana Menteri Malaysia. Begitulah liciknya Anwar untuk menangguk di air keruh.

Seperti yang diduga, pemimpin PKR itu menggambarkan beliau tokoh berkarisma, berintegriti, bermoral dan berpegang kepada demokrasi. Beliau memuji media Indonesia kerana mengamalkan kebebasan media yang lebih meluas. Itu juga cara beliau untuk terus disayangi oleh media negara berkenaan.

Pada pandangan Awang, sebahagian media Indonesia belum cukup mengenali Anwar. Di Malaysia, beliau sendiri tidak berpegang kepada janjinya untuk mengamalkan kebebasan media, hak bersuara dan demokrasi sebagaimana manifesto pilihan raya umum lalu. Kalau di Indonesia, kes salah laku pemimpin seperti Anwar ini, pasti dibongkar habis-habisan, belum pun sempat sampai ke muka pengadilan. Lihatlah apa yang terjadi kepada bekas penyanyi kumpulan pop Peterpan, Ariel ekoran skandal seks (bukan sejenis) dan beberapa politikus di negara itu.

Di banyak negara Barat, pemimpin yang terlibat dengan kes gangguan seksual juga tersungkur menerusi pendedahan media. Beberapa skandal seks sejenis melibatkan pemimpin turut berakhir dengan peletakan jawatan mahupun pemecatan, yang penyandangnya tidak mengheret rakyat. Mujur Anwar menjadi pemimpin di Malaysia.

Begitu juga dalam isu kebebasan media. Kalau di Indonesia, pemimpin seperti Anwar yang tidak bersikap terbuka, akan teruk dihentam. Ini kerana beliau diketahui suka memboikot media dan memarahi wartawan yang menanyakan soalan yang tidak digemarinya.

Awang percaya suatu hari nanti, media Indonesia akan lebih mengetahui siapa sebenarnya Anwar. Topeng beliau akan tanggal jua akhirnya. Beliau adalah oportunis dan pelakon terhebat yang pernah dilahirkan oleh pentas politik Malaysia. Indonesia juga pasti akan gawat jika ada pemimpin seperti beliau.

Hipokrasi Anwar mungkin menjadi di luar negara tetapi tidak lagi di negaranya sendiri mahupun dalam parti pimpinan beliau. Puluhan pemimpin PKR telah meninggalkan Anwar kerana hilang kepercayaan kepada beliau. Satu demi satu pendedahan oleh pembantu beliau membuka lagi pekung Anwar. Mesej mereka, perjuangan Anwar hanya untuk kepentingan peribadi - menjadi Perdana Menteri dan menutup masalah moralnya. Maka orang seperti beliau terdorong untuk lakukan apa sahaja biarpun mengkhianati agama, bangsa dan tanah air.

Lalu Awang teringat kisah Perdana Menteri, Umaiyuddin Muhammad al-Aqami ketika pemerintahan Khalifah al-Mustashim Billah (640-656H) di zaman Bani Abbassiyah. Disebabkan kerakusan untuk menjadi khalifah (pemimpin agung), Umaiyuddin sanggup meminta campur tangan asing dan melakukan pengkhianatan, yang akhirnya menyebabkan kejatuhan Bani Abbassiyah.

Sebagaimana Umaiyuddin, Anwar nampak ada ruang dan peluang bagi beliau. Sebab itu, Awang tidak terkejut dengan pelbagai kenyataan beliau yang memburuk-burukkan kerajaan Malaysia di luar negara. Tetapi sedarlah, Malaysia adalah negara demokrasi. Majoriti rakyat masih memilih kerajaan yang ada. Anwar tiada hak untuk bersuara kononnya bagi pihak majoriti rakyat. Itu bermakna beliau menafikan hak rakyat dan melakukan khianat bukan sahaja terhadap negara malah ke atas rakyat. Politik bukan tiket untuk menggugat kedaulatan negara.

Selain Anwar, yang turut memburukkan Malaysia di Indonesia baru-baru ini ialah Naib Presiden PKR, Azmin Ali. Beliau mendakwa rakyat Malaysia menuntut adanya perubahan kononnya untuk kebaikan kedua-dua negara. Sebenarnya perubahan yang diharapkan ialah agar Anwar menjadi Perdana Menteri dan Azmin boleh terselamat daripada segala-galanya termasuk rahsia tertentu yang diperkatakan ramai ahli PKR.

Kepada Anwar dan Azmin, berhentilah daripada bersikap hipokrit. Sehebat mana sekalipun perancangan dan percaturan kita, ingatlah ia tidak akan dapat mengatasi ketentuan Ilahi. Janganlah jadikan rakyat dan negara sebagai taruhan.

Maka Awang tersentuh apabila ada sekumpulan ahli-ahli PKR menghantar memorandum kepada Anwar di pejabatnya semalam memohon agar beliau segera bertaubat. Anwar sepatutnya tahu hakikat mengapa beliau perlu bertaubat.

Kita umat Islam sentiasa dituntut bertaubat selagi ada kesempatan. Sebagai pemimpin, usahlah heret rakyat hanya disebabkan dosa dan perilaku buruk yang sentiasa cuba diselindungi. Janganlah jadi seperti Umaiyuddin, yang akhirnya menyesal atas segala perbuatan tetapi sudah terlambat. Keluarganya sendiri ditimpa musibah. Umaiyuddin menempuh saat-saat terakhir hayatnya dalam penghinaan yang dahsyat. Sejarah sepatutnya mengajar kita, bukan membenarkan kesilapan itu berulang dan terus berulang.

sumber Malaysia Instinct

Mctheory:
Benda busuk, lama2 akan berbau jugak..

Tiada ulasan: