Rabu, 13 Oktober 2010

TERANCAM!! CERITA MENARIK MENGENAI AZMIN!


Oleh Zulkiflee Bakar

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang juga merupakan orang kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan memperolehi laluan mudah untuk mencapai cita-cita politiknya menjadi orang nombor dua dalam parti berkenaan.

Justeru Azmin dengan penuh keyakinan mencalonkan diri untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Azmin begitu yakin dengan sokongan Anwar, beliau akan berupaya bergandingan dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Presiden PKR.

Apabila pencalonan di peringkat cabang bermula, Azmin mendapat 98 pencalonan. Jumlah itu jauh meninggalkan pencabar-pencabarnya antara Datuk Zaid Ibrahim (38 pencalonan) Mustafa Kamil Ayub (17 pencalonan) dan Tian Chua (5 pencalonan), Tan Sri Khalid Ibrahim (6 pencalonan) dan Nurul Izzah Anwar (3 pencalonan).

Bagaimanapun itu bukanlah jaminan Azmin akan mendapat kemenangan mudah. Ini terbukti apabila Azmin disahkan akan ditentang oleh tiga calon lain.

Setakat ini Azmin akan ditentang oleh Khalid dan Mustafa Kamil manakala Zaid dijangka menyusuli memandangkan Nurul Izzah dikatakan lebih selesa bertanding jawatan Naib Presiden manakala Tian Chua pula sudah dilantik Khalid menganggotai satu jawatankuasa khas menilai keputusan Khalid untuk bertanding. Ia bermakna bagi jawatan Timbalan Presiden, Azmin yang dilihat sebagai calon favourite akan berhadapan dengan 'serangan' tiga penjuru iaitu daripada Zaid, Khalid dan Mustafa Kamil.

Keputusan ketiga-tiga mereka bertanding memberikan isyarat yang jelas bahawa walaupun Azmin dilihat orang kepercayaan kepada Anwar dan sepatutnya diberi laluan mudah, namun ia tidak termasuk dalam perkiraan politik calon-calon yang bertanding.

Ketiga-tiga mereka, membuat keputusan untuk bertanding dengan alasan tersendiri dan paling nyata ialah ingin mengubah PKR menjadi sebuah parti yang lebih baik dan bukan sekadar dikuasai oleh satu dua orang sahaja.

Apa yang jelas, di dalam PKR sendiri rasa muak dengan gelagat gabungan Anwar-Azmin semakin ketara sehinggakan Wan Azizah sebagai Presiden yang sah dilihat tidak mempunyai apa-apa kuasa.

''Kita ingin menamatkan penguasaan Anwar- Azmin melalui pemilihan ini. Ia kerana ramai ahli PKR melihat bahawa parti itu tidak akan ke mana jika gabungan berkenaan berterusan, biarpun Wan Azizah menjadi Presiden.

''Wan Azizah tidak boleh melakukan apa-apa disebabkan segala-galanya ditentukan oleh Anwar-Azmin,'' kata seorang pemimpin PKR di Selangor kepada penulis.

Menurut pemimpin berkenaan, pada masa ini di peringkat akar umbi terdapat perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan PKR terutamanya menyentuh soal gabungan Anwar- Azmin.

''Walaupun Azmin mendapat pencalonan terbanyak tetapi itu bukanlah jaminan, apatah lagi sebahagian pencalonan diberikan ketika ramai ahli tidak hadir ke mesyuarat cabang yang semua tahu 'dihiasi' dengan pelbagai adegan yang memalukan,'' katanya.

Tetapi apa yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah Zaid, Khalid mahupun Mustafa Kamil akan mampu menyekat kemaraan Azmin yang sudah pastinya akan mendapat sokongan kuat Anwar yang kini bertindak sebagai pengurus kempen beliau.

Mengulas perkara ini bekas Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, peluang untuk Azmin mencapai kemenangan adalah cerah jika terlalu ramai calon bertanding.

Oleh itu, kata beliau, Zaid dan Khalid terutamanya yang dilihat 'musuh politik' Azmin perlu menyusun strategi bagi menumbangkan Azmin.

''Zaid mungkin tidak perlu bertanding jawatan Timbalan Presiden sebaliknya bergabung dengan Khalid di mana beliau (Zaid) bertanding jawatan Presiden.

''Ia bermakna Zaid dan Khalid akan menubuhkan pasukan bersama menentang Anwar-Azmin, manakala Wan Azizah, saya yakin beliau akan menarik diri jika Anwar bertanding,'' katanya ketika dihubungi.

Apa yang dikatakan oleh Anuar mungkin hanya satu andaian tetapi peluang gabungan 'dua anak Ibrahim' iaitu Zaid Ibrahim dan Khalid Ibrahim untuk menumbangkan Azmin bukanlah satu yang mustahil.

Ia kerana mereka dikatakan mendapat sokongan padu daripada pemimpin dan ahli PKR bukan Melayu manakala Azmin pula mempunyai penyokong tersendiri.

''Pertembungan secara langsung satu lawan satu adalah lebih mudah mengalahkan Azmin berbanding banyak penjuru,'' kata Anuar.

Selain itu beliau juga melihat keputusan Khalid untuk bertanding adalah manifestasi daripada perasaan tidak puas hati Menteri Besar Selangor itu terhadap Azmin.

Sebenarnya, bukanlah satu rahsia lagi bagaimana Azmin dilihat banyak menganggu pentadbiran Khalid di Selangor sehingga Zaid sempat bertanya, ''apakah tindakan menggugat pentadbiran sebuah negeri yang diperintah oleh parti sendiri bukan satu kesalahan.''

Oleh itu Khalid memberanikan diri untuk mencabar Azmin walaupun beliau hanya memperolehi enam pencalonan.

Bagi Khalid, soal menang atau kalah bukan soal utama, begitu juga Zaid tetapi apa yang lebih penting kepada mereka ialah menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan parti bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan bagi memperbaiki keadaan di dalam parti.

Zaid seperti mana diketahui begitu lantang mengkritik kepincangan yang berlaku di dalam parti itu, malahan beliau juga secara terbuka mahukan kedudukan Wan Azizah sebagai Presiden dihormati.

Selain itu secara tersirat Zaid juga berhasrat menamatkan penguasaan politik Anwar-Azmin yang dilihat memungkinkan PKR kini semakin 'buruk wajahnya'.

Apa pun keadaannya, ramai pemimpin dan ahli PKR yang dihubungi oleh penulis mengakui bahawa kedudukan Azmin sememangnya goyah dan semakin tidak stabil di dalam parti itu.

Namun begitu bukanlah mudah untuk mana-mana calon menewaskan beliau bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden memandangkan seperti mana kata Anuar Shaari, ''Anwar akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Azmin menang termasuklah pendekatan 'tawar dan ugut.''

Tidak kiralah apa pun andaiannya tetapi apa yang pasti, politiking di dalam PKR adalah lebih buruk jika dibandingkan dengan parti lain.

Keghairahan kerana merasakan pembangkang akan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang telah menjadikan pencalonan dan pemilihan PKR di peringkat cabang dan pusat begitu bergelora sehinggakan ada kerusi yang berterbangan.

Sudah pastilah politiking ini akan berterusan dan ia dijangka 'lebih dahsyat' menjelang pemilihan peringkat pusat pada November nanti. - Utusan Malaysia

Mctheory:
Kita tengok je apa nak jadi.. he he.. sambil tambah2 sikit..

Tiada ulasan: