Jumaat, 24 Februari 2012

TUDIAA!! Kerajaan Pas Kedah dah haru-biru, semua exco menentang Azizan?



Apa dah jadi dengan pentadbiran negeri Kedah? Hinggakan dua exco telah menolak untuk dilantik semula sebagai exco kelak.

Agaknya itu yang menjadi tanda-tanya sekarang ni. Untuk pengetahuan pembaca, angin bertiup kencang mengatakan bahawa, semua exco negeri Kedah tidak mahu dilantik semula sebagai exco, selagi Ustaz Azizan kekal sebagai menteri besar.

Ini kerana, Ustaz Azizan dikatakan mereka tidak pandai mentadbir dan hanya merosakkan pentadbiran di negeri Kedah.

Mc juga diberitahu, hanya dua orang dalam pentadbiran tertinggi Pas Kedah yang menyokong Azizan, yang lainnya semua menentang.

Sebab apa menentang?


Tidak puas hati corak pentadbiran Menteri Besar Kedah 

ALOR SETAR: Seorang lagi Ahli EXCO Kedah dikatakan menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadualkan diumumkan Selasa depan.
Perkembangan terbaru itu menjadikan dua Exco kanan kerajaan PAS Kedah enggan dilantik semula kerana dikatakan tidak berpuashati dengan corak pentadbiran Azizan.
Dua nama yang disebut-sebut berbuat demikian adalah Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Phahrolrazi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika dihubungi untuk mengesahkan perkara itu, berkata beliau akan mengadakan sidang media berhubung isu terbabit jika ada keperluan berbuat demikian.

“Buat masa ini, adalah lebih wajar saya tidak membuat sebarang kenyataan. Insya-Allah, sampai masanya nanti saya sendiri akan berikan kenyataan dan ia mungkin diadakan dalam masa terdekat, bergantung dengan kesesuaian masa,” katanya.

Sementara itu, Dr Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan, berkata buat masa ini beliau belum bersedia memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
Ditanya mengenai dakwaan beliau sudah menghantar surat kepada Menteri Besar, Dr Ismail berkata: “Tanyalah pada Menteri Besar, mungkin beliau lebih tahu. Saya tidak mahu komen apa-apa lagi.”

Selain dua EXCO kanan berkenaan, seorang lagi EXCO yang disebut-sebut akan berbuat demikian adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib. Bagaimanapun, beliau tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan perkara itu.

Difahamkan, mereka bertindak demikian kerana kecewa dengan sikap dan kepemimpinan Azizan berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini. Surat kepada Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah dikatakan dihantar sejak seminggu lalu dan Azizan sudah memaklumkannya kepada kepemimpinan tertinggi PAS Pusat.

Menurut sumber, mereka juga sudah dinasihatkan oleh kepemimpinan PAS Pusat supaya menimbang semula hasrat itu kerana bimbang akan menjejaskan peluang pembangkang kekal berkuasa di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, kepemimpinan Azizan dipertikaikan pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang dan PAS, khususnya isu penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang dilaksanakan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Selain itu, tindakan kerajaan PAS Kedah yang bertegas mahu merobohkan Madrasah Salihiah di Kanchut, bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks beli-belah mendapat perhatian kerana menyentuh sensitiviti umat Islam di negeri ini.

Tiada ulasan: