Sabtu, 30 Jun 2012
PANASS!! Apabila Zed Zaidi Bertemu Dengan Hairie Othman!!
Semenjak kebelakangan ini, umum mengetahui yang ramai selebriti di Malaysia telah mula menunjuk minat serta keseriusan dalam bidang politik.
Justeru, Akademi Pak Sako telah mengambil inisiatif menganjurkan forum yang menggabungkan golongan selebriti sebagai panelis forum tersebut.
Forum yang bertajuk ‘Artis Berpolitik: Sekadar Glamour atau Prinsip?’ telah menggabungkan Zed Zaidi, Hairie Othman, dan Hasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Budi Hikayat di pentas forum itu.
Zed Zaidi selaku Presiden SENIMAN dan telah lama menyertai UMNO menyatakan pendiriannya yang dia akan terus kekal dalam parti itu.
Pada masa yang sama, Zed akan terus memperjuangkan hak, kebajikan serta kebebasan seniman di Malaysia untuk terus berkarya.
“Perjuang saya bukan hanya pada UMNO tetapi menggunakan peluang ini untuk menyuarakan masalah industri seni kepada pihak kerajaan,” memetik kata-kata Zed Zaidi sewaktu forum tersebut.
Lantas, Zed Zaidi turut mengambil contoh peranan Datuk Jins Shamsuddin sebagai Senator Dewan Negara yang memperjuangkan isu seniman di Malaysia.
Panelis yang lantang bersuara pada malam itu, Hairie Othman turut menegakkan pendirian serta prinsipnya yang sealiran dengan prinsip Parti Islam Semalaysia (PAS).
Hairie menyatakan yang pemilihan dia untuk menyertai PAS adalah disebakan prinsip perjuangan dirinya adalah sealiran dengan prinsip parti itu.
“Bukan populariti yang dicari, tetapi prinsip itu yang menunjukkan perjuangan seseorang dalam sesebuah parti.
“Kami artis sudah lama popular, saya masuk politik sebab nak perjuangkan prinsip diri saya,” kata Hairie kepada hadirin forum yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor disini semalam.
Pada masa yang sama, penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Budi Hikayat lebih mengfokuskan perjuangan seni dan budaya menerusi politik.
Bagi dirinya, tidak kira apa parti politik yang diperjuangkan, kebebasan serta ketelusan kepada anak seni untuk terus berkarya adalah matlamat utamanya.
Hasmi yang sudah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semenjak tahun 1998 itu mengakui perjuangan anak seni dalam bidang politik bukannya perkara yang mudah.
“Jika saya tidak dapat perjuangkan politik secara lantang, mungkin menerusi penulisan lirik mampu mengubah minda masyarakat,” kata Hasmi.
Justeru, dapat dilihat bahawa golongan selebriti yang menyertai politik bukanlah pada dasarnya untuk mengejar populariti sebaliknya menjadikan medium politik itu untuk lebih berkerjaya serta memajukan industri seni tanah air.
Mereka juga menyatakan hasrat untuk terus memperjuangkan parti yang dianggotai mereka itu selaras dengan prinsip diri mereka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Ini baru politik matang,perjuangkan prinsip masing2....tetapi tetap bersatu dlm sesetengah agenda.......bukannya semua tak sama.....
Catat Ulasan