Sabtu, 23 Mac 2013

HOT INFO! Cerita Menarik Di lokasi Pertempuran Kampung Simunul Semporna Sabah! #PrayforSabah


DUA puluh hari berlalu.

Kampung Simunul yang terletak di Semporna, Sabah terus diingati sebagai lokasi yang menyaksikan enam pegawai dan anggota polis kita terbunuh setelah diserang hendap sekumpulan pengganas militan Sulu yang tidak berhati perut itu.

Tidak cukup dengan ditembak, ada di antara pahlawan kita yang gugur itu diseksa, ditetak kepalanya, dirodok perutnya hingga terburai malah ada di antara mereka yang dipenggal kepalanya.

Yang cedera pula ada yang ditetak tangannya hingga hampir putus.

Tiga musuh bagaimanapun berjaya ditembak mati manakala beberapa orang lagi berjaya diberkas.

Bagi mengingati kembali peristiwa kejam itu, beberapa media ke kampung tersebut.

Ia hanya kira-kira tiga kilometer dari bandar Semporna.

Setibanya kami di kampung itu, kami mendapati kehidupan penduduknya berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku walaupun kejadian itu ternyata telah mencatatkan detik hitam dalam sejarah negara.

Kami pada mulanya singgah di sebuah restoran. Memesan secawan kopi sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

Mungkin menyedari kehadiran 'orang asing', banyak mata tertumpu ke arah kami hingga membuatkan kami merasa tidak selesa.

Apatah lagi memikirkan ramai di antara mereka merupakan pendatang asing dari Filipina yang moritinya orang Sulu, etnik yang sama menceroboh Lahad Datu tempoh hari. Etnik yang sama juga membunuh keenam-enam pegawai dan anggota polis di situ.

Menyedari reaksi kami yang seolah-olah 'kurang senang' dengan apa yang berlaku, salah seorang pengunjung restoran yang sama menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Dia mendakwa salah seorang ahli jawatankuasa penduduk di kampung itu.

" Selamat datang ke Kampung Simunul, jangan risau…tiada apa-apa yang perlu ditakutkan," katanya sambil tersenyum. Kami membalas senyuman itu walaupun agak 'tawar' bentuk senyuman itu barangkali.

Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki, agak tegap orangnya. Pengunjung restoran tadi memperkenalkan lelaki itu kepada kami.

Namanya Ramlee Saraman.

Beliau ketua kampung di situ, penduduk menggelarkannya Panglima Ramlee.

" Saya tahu mungkin kamu dengar macam-macam cerita mengenai kampung kami, maaf cakap, banyak daripada cerita itu sebenarnya ditokok-tambah.

" Kami di sini unik kerana tak kira penduduk asal ke, pendatang ke, semuanya bagai satu keluarga yang menghormati antara satu sama lain.

" Jenayah pun jarang berlaku, tetapi bergaduh sikit-sikit tu adalah di antara anak-anak muda, biasalah… cuma peristiwa 2 Mac itu memusnahkan segalanya, demi Allah, saya sendiri tak menyangka yang kejadian itu boleh berlaku di sini, sangat-sangat tidak menyangka," kata Ramlee dengan wajah yang sayu.

Kesempatan bertemu dengan Ramlee membuatkan kami meminta kebenaran untuk melawat kembali lokasi peristiwa berdarah itu.

Beliau ternyata tidak menolak permintaan tersebut, bahkan sedia menemani kami ke sana.

Kesudian Ramlee membuatkan kami menarik nafas lega, apatah bila sebelum ini kami dimomokkan cerita yang 'panas-panas' mengenai kampung itu.

Rupanya lokasi kejadian itu terletak di penghujung kawasan kampung berkenaan.

Ia merupakan kampung atas air di mana setiap buah rumah dihubungkan dengan jambatan dan titi-titi kecil.

Sebaik saja melangkah masuk, perasaan kami bercampur-baur.

Di satu sudut kami rasa takut kerana segalanya boleh berlaku dengan sekelip mata dan tidak diduga, seperti mana kejadian serangan mengejut ke atas pegawai dan anggota polis tempoh hari.

Di satu segi pula, perasaan sedih menerpa bila mengenangkan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung mereka apabila dizalimi oleh pengganas militan Sulu ini.

Ketibaan kami 'disapa' bau yang agak menusuk hidung. Rupanya ia adalah bau longgokan sampah yang terapung di pintu masuk kampung itu.

Kami hanya menggelengkan kepala, bagaimanalah penduduk di sini boleh hidup dalam keadaan sebegitu.

" Kat kawasan sini ramai pendatang Filipina, tidak seperti mana bahagian sebelah sana yang kesemuanya rakyat kita. Mereka (pendatang) ini bukan pentingkan sangat keselesaan, janji mereka dapat berteduh, itu pun dah cukup buat mereka," bisik Ramlee seolah-olah dapat menangkap perasaan kami.

Kami terpaksa menyusun langkah dengan berhati-hati kerana titian kecil yang kami lalui itu berlubang di sana-sini. Silap haribulan, kami boleh terhumban ke dalam laut!

Yang lucunya, walaupun keadaan rumah tidak begitu selesa, ramai di antara mereka mampu memasang Astro di kediaman masing-masing, hebat.

Aura Ramlee juga jelas kelihatan di sini. Ramai pendatang yang menghuni kampung tersebut menegur dan memberi salam bila bertemu dengannya.

Malah ada yang sempat menahannya di pertengahan jalan untuk mengadu masalah yang mereka hadapi, persis wakil rakyat pula bila melihatnya.

Rata-rata penduduk di situ juga agak mesra, hampir semua yang bertembung dengan kami melemparkan senyuman, ada juga yang menghulurkan salam.

Pendek kata, kita seolah-olah tidak percaya yang di situ pernah terjadi peristiwa tragis 2 Mac itu.

Kira-kira 10 minit meniti laluan yang agak mencabar itu, Ramlee menghentikan langkah.

Dia kemudiannya menunjukkan kami ke arah sebuah rumah.

" Encik, di rumah itulah anggota polis kita kena 'ambush'. Di situlah kita menemui mayat mereka dan di tepi itulah mayat pengganas Sulu tertiarap," katanya.

Kami terdiam seribu bahasa. Perasaan hiba tiba-tiba menerpa, menenggelamkan perasaan takut dan seram yang menghantui kami pada awalnya.

Ada sembilan buah rumah yang terletak betul-betul berhampiran lokasi pembunuhan itu, semuanya kini kosong dan tidak berpenghuni.

Kami terbayang kesakitan yang pegawai dan anggota polis kita alami, kami terbayang tangisan isteri dan anak-anak mereka yang kehilangan orang yang mereka sayang, sedih betul rasanya…malah ada di antara kami yang menitiskan airmata.

" Hebat ye encik-encik ini kerana datang ke sini malam-malam begini, kami orang kampung pun tak berani, " kata salah seorang penghuni yang kebetulan lalu di situ.

Kami hanya tersenyum hambar.

Sepatah perkataan pun tak mampu nak dilafazkan.

Kami berjalan keluar setelah menghabiskan masa kira-kira 10 minit di situ.

Sebelum beredar, Ramlee sempat berpesan pada kami agar jangan menghukum semua penduduk di sini hanya kerana perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggung jawab ini.

Malam semakin gelap di Kampung Simunul.. entah bila 'cahaya' dapat hadir menggantikan kesuramannya.

Al-Fatihah buat Supritendan Ibrahim Lebar, Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, ASP Michael Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Aziz Sarikon dan Koperal Salam Togiran.

Sumber adal dari Mynewshub.my, Mc kagum dengan wartawan yang pergi kesana. Bukan sebarangan wartawan yang sanggup ke tempat tu. Tempat dimana pembelot boleh ada dimana-mana.

Tempat ngeri yang mengorbankan enam orang anggota keselamatan kita. Tapi jika tidak ada wartawan seperti mereka ini, tak mungkin kita mengetahui keadaan sebenar dikampung tersebut! Betul tak?

McTheory:
Korang ada berani pergi sana ka?

Tiada ulasan: