Sabtu, 18 Mei 2013

HOT!! Seruan Untuk Rakyat Kedah Bangun Bersatu!! #HanyaDiKedah



Rakyat Kedah diseru supaya melupakan sengketa yang mungkin tercetus semasa tempoh kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) untuk sama-sama membangunkan negeri.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meminta mereka agar mengenepikan fahaman politik masing-masing bagi berbuat demikian.

"Pelbagai polemik dan pecah belah dalam masyarakat telah berlaku sebelum ini kerana politik telah menjadi perkara harian yang sering dibincangkan sama ada di kalangan rakyat mahupun di media massa.

"Saya pohon supaya letak tepi buat sementara isu politik supaya kita dapat bersama-sama pulihkan keadaan dan waktu ini kita gunakan untuk pupuk perpaduan tak kira apa juga fahaman politik.

"Kini masanya untuk hulurkan tangan persaudaraan untuk kita bersatu. Negara membangun apabila rakyat majmuk pelbagai kaum bersatu dan kerajaan akan dapat jalankan tugas dengan penuh amanah tanpa perlu bimbang apa-apa," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran sempena kemenangan Barisan Nasional pada PRU-13, di sini, Jumaat.

Mukhriz berkata untuk membawa Kedah ke tahap yang sama dengan negeri maju yang lain memerlukan kerjasama semua pihak bagi memudahkan projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan.

Beliau berkata Kedah sudah agak lama tercicir dari arus pembangunan negara, justeru banyak perkara perlu dilakukan bagi mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negeri yang maju seiring dengan hasrat kerajaan pusat.

"Saya mohon rakan-rakan daripada parti pembangkang bersama bangunkan negeri ini, kita lakukan yang terbaik dan kerjasama semua pihak amat diperlukan.

"Mungkin ada yang akan berfikir bahawa perkara ini adalah mustahil, Kedah takkan maju, takkan mampu majukan Kedah, tapi percayalah tidak ada yang mustahil selagi kita fikirkan inilah masanya untuk melakar masa depan yang lebih cerah," katanya.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak sekiranya terdapat kekasaran yang dilakukan tanpa disedarinya terutama sepanjang tempoh berkempen.

Lebih 5,000 rakyat di sekitar kawasan Parlimen Jerlun khususnya Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam menghadiri majlis tersebut yang diadakan khas untuk rakyat di DUN berkenaan.

Yang turut hadir isteri Mukhriz, Datin Norzieta Zakaria, Anggota Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz dan Adun Kota Siputeh Datuk Abu Hasan Sarif. BERNAMA

Tiada ulasan: