Kemuncak perhimpunan 'Blackout 505' pada Sabtu ini adalah untuk
mengadakan demonstrasi jalanan ala Occupy Padang Merbok sebelum peserta
himpunan itu bergerak ke bangunan Parlimen pada Isnin depan bagi
mengganggu upacara pembukaan sidang Dewan Rakyat.
Menurut sumber Pakatan Rakyat, sasaran pembangkang adalah untuk
mengumpul kira-kira 500,000 orang hadir pada perhimpunan itu bagi
menjayakan agenda Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Blackout 505 bukanlah bermatlamat untuk membantah keputusan PRU-13
tetapi ada agenda yang lebih besar kononnya bagi mempamerkan kuasa
rakyat.
Selepas tamat perhimpunan itu, ahli dan penyokong PKR, PAS dan DAP serta
gerakan mahasiswa telah diarahkan supaya tidak bersurai, sebaliknya
mereka akan berkhemah sekitar Padang Merbok.
Setiap kumpulan juga akan dibekalkan dengan khemah dan makanan, termasuk minuman, yang cukup untuk bertahan selama tiga hari.
Sumber itu berkata, atas alasan berkenaan penganjur perhimpunan itu
tetap mahu mengadakan demonstrasi mereka di Padang Merbok dan bukannya
di Stadium Merdeka kerana ia merupakan lokasi yang strategik.
Tolak lokasi alternatif
Sebelum ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis telah
menawarkan beberapa lokasi alternatif seperti di Stadium Titiwangsa,
Stadium Merdeka dan Taman Rekreasi Air Panas di Setapak, tetapi terus
ditolak.
"Mereka berdegil dan tidak mahu ikut arahan polis dengan alasan akan
menghadapi kesukaran jika mengadakan perhimpunan itu di stadium.
"Padang Merbok dipilih kerana lebih luas dari Dataran Merdeka serta
tidak tertutup, itu alasan sebenarnya dan mudah bagi mereka berarak ke
bangunan Parlimen," katanya.
Menurut sumber itu lagi, pihak penganjur dengan bijak memilih lokasi
strategik bagi berkumpul kerana tindakan itu dilihat mampu melumpuhkan
pergerakan lalu lintas di seluruh ibu negara dan mencetuskan rasa panik
dikalangan warga kota.
"Pada perhimpunan Sabtu ini, peserta dikehendaki berkumpul di tujuh
lokasi iaitu Brickfields, Universiti Malaya, Jalan Pudu, Masjid Negara,
pusat beli-belah Sogo dan Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut serta
Pekeliling sebelum bergerak bersama pemimpin mereka ke Padang Merbok.
"Sebenarnya lokasi perhimpunan itu hanya sebagai tanda sahaja kerana
matlamat pembangkang ialah mahu menawan jalan raya bagi tujuan
menghuru-harakan kerajaan seperti pernah berlaku di Tunisia sebelum
ini," katanya.
Cuci tangan
Sumber itu juga memberitahu agenda pembangkang bukan untuk mengambil
alih kerajaan tetapi mendesak pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) meletak jawatan.
Menurut beliau, semua perancangan mengenai perhimpunan itu dibincangkan
dalam mesyuarat antara pemimpin pembangkang di Ibu Pejabat PKR di
Tropicana, Damansara, Petaling Jaya, pagi semalam.
Antara yang hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Presiden PAS
Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ahli
Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Khalid Samad yang juga Timbalan
Pesuruhjaya III PAS Selangor, Naib Presiden PKR Tian Chua, Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, aktivis propembangkang Hishamuddin Rais dan
aktivis mahasiswa propembangkang Adam Adli Abdul Halim.
Difahamkan, satu lagi mesyuarat membincangkan isu sama akan diadakan di tempat sama esok.
Selain itu, katanya, semua pemimpin yang hadir pada mesyuarat semalam,
secara automatik adalah urus setia bagi perhimpunan itu dan anggota unit
amal bersedia mengambil alih tugas memberi arahan kepada peserta
sekiranya ada tangkapan terhadap ahli jawatankuasa nanti.
Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia yang memetik sumber juga berkata,
selain mengadakan perhimpunan haram, ahli Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM) turut akan dibekalkan khemah bagi membolehkan mereka bermalam dan
meneruskan bantahan sehingga Isnin depan di lokasi yang belum
ditentukan.
Beliau berkata, semasa perhimpunan nanti, pemimpin pembangkang yang
hadir akan memberi mandat bermula pukul 12 tengah hari sehingga 6
petang.
"Selepas itu, mereka akan 'cuci tangan' dan tiada arahan bersurai akan
diberikan kononnya bagi membolehkan peserta perhimpunan mengambil
tindakan selanjutnya sedangkan ia taktik bagi mengelak pemimpin
pembangkang terlibat dipersalahkan jika berlaku insiden tidak diingini
nanti," katanya. AP
2 ulasan:
itulah kebodohan yg dilakukan najib menghapus ISA. terlaku percaya punahsihat. Mkn diri bebbb
Apa lagi yang tak puas ati. Mangkok ayonbetul anular liwat.
Catat Ulasan