Selasa, 20 Ogos 2013

HOT! UMNO Perlu Orang Pandai! - Tun Dr Mahathir



Ini bukan cerita baru.Namun situasi ini jika berterusan ia boleh mengundang bahaya kepada UMNO di masa akan datang. Atas sebab ini mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali bersuara.

Beliau mahu orang UMNO buka laluan kepada orang muda dan buang sikap takut orang lebih pandai masuk parti kerana gugat jawatan mereka agar mereka tidak mengalir masuk ke parti lawan.

Katanya bagi menjaga kelangsungan agar ia terus relevan kalangan ahli parti harus bermuhasabah.

Beliau jelas merujuk kepada sesetengah pemimpin lama di bahagian-bahagian UMNO yang nak terus bergayut pada jawatan dan main politik sekat sana sekat sini untuk mengekalkan jawatan.

“Saya rasa mereka perlu membuat penilaian terhadap diri sendiri kerana parti semakin tua. Ramai pemimpin dalam parti itu telah berada di sana untuk tempoh yang lama. Golongan muda tak merasakan ini menarik,” katanya pada sidang media di rumah terbukanya di Seri Kembangan, Ahad.

Katanya, antara faktor lain yang menyebabkan golongan muda kurang berminat menyertai UMNO ialah dakwaan berlakunya rasuah, sikap cantas mencantas dan mementingkan diri sendiri.

“Sekarang imej UMNO kurang baik sebab ada tuduhan rasuah, serta ada yang masuk parti kerana nak dapat sesuatu untuk diri sendiri. Ada cantas mencantas bila tak dapat jadi calon, berusaha supaya calon lain kalah.

“Kesetiaan sekarang bukan pada parti tetapi pada individu. Mereka kata, kalau orang kita tak naik jangan bagi orang lain menang,” tambahnya.


Mahathir berkata untuk memastikan UMNO kekal relevan, ia perlu berubah. “Bila dah rosak nak perbaik, susah,” katanya lagi.

Tun Mahathir beri contoh ramai yang tidak mahu menyertai Wanita UMNO kerana merasakan mereka tidak diberi peluang menyuarakan pendapat.

Katanya untuk tujuan mengatasinya Puteri UMNO ditubuhkan.

“Dulu masa kita tubuh Puteri, Wanita bantah. Tetapi apabila kita tubuh Puteri ramai yang nak masuk UMNO. Nampaknya generasi muda nak main peranan lebih berkesan,” katanya.

Tun Mahathir turut menyuarakan kebimbangannya mengenai sikap sesetengah pemimpin UMNO yang tidak menyukai orang berkaliber menyertai parti itu kerana khuatirkan kedudukan mereka tergugat.

“Satu masalah lagi, UMNO tak suka orang lebih pandai dari mereka masuk parti. Ada yang takut orang berkaliber gugat jawatan mereka. Jadi orang yang berkaliber tak masuk UMNO. Itu pasal ramai sekarang ini yang masuk PAS.

"Masa dulu, PAS kita ingat ustaz-ustaz sahaja. Sekarang ini, ada doktor, peguam, jurutera. Mereka tak masuk UMNO. Sama juga dengan orang-orang yang berkaliber yang sudah pencen. Sebab itu kita lihat ada jeneral pencen yang berkaliber masuk parti lawan sebab tak boleh masuk UMNO," katanya lagi.

Lebih 20,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka Tun Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengulas mengenai isu yang melanda Penerbangan Malaysia (MAS), Tun Mahathir berkata ia patut diswastakan.

“Macam-macam sudah dibuat untuk memulihkannya. Kerajaan patut kaji tawaran daripada swasta. Kita tak perlu ambil orang luar sebab saya percaya ramai pakar dalam negara yang boleh menguruskannya,” katanya. – AD

Tiada ulasan: