Selasa, 18 Mac 2014

INFO! Kedah Maju Setapak Lagi "Perkenalkan e-Tutor" Untuk Kemudahan Pelajar! #HanyaDiKedah


Semalam perasmian e-Tutor oleh Menteri Besar Kedah, Dato Seri Mukhriz Mahathir, bersama Exco ICT Kerajaan Negeri, YB Datin Nor Sabrina, Exco Pelajaran YB Dato Tajul Urus, Exco PBT YB Badrol Hisham dan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah.

Kerajaan negeri memperkenalkan e-Tutor yang lebih dikenali sebagai DeT.

Dibawah ucapan Dato Seri Mukhriz mengenai DeT,

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya dapatlah kita berkumpul bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Darul Aman e-Tutor atau singkatannya, DeT.

2. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjuran Program di bawah seliaan Yang Berhormat Norsabrina Mohd Noor kerana sudi mengundang saya untuk hadir dalam program pada petang ini . Syabas dan tahniah diucapkan di atas kejayaan penganjuran majlis yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

3. Terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh warga Daerah Padang Terap, terutamanya Tuan Pegawai Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan juga warga sekolah Menengah Kebangsaan Pedu yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Pemilihan Daerah Padang Terap merupakan misi Kerajaan Negeri bagi memastikan infrastruktur ICT di daerah ini adalah setanding dengan daerah–daerah lain di Negeri Kedah. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam program ini.

KERJASAMA KERAJAAN NEGERI DAN YAYASAN BANK RAKYAT

4. Saya mengambil maklum bahawa Darul Aman e-Tutor merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Kedah dan Yayasan Bank Rakyat. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Yayasan Bank Rakyat kerana telah sudi menyumbangkan sebanyak 10,000 ID yang berjumlah 1.5 Juta Ringgit kepada pelajar–pelajar di Negeri Kedah. Sumbangan ini adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan di Negeri Kedah.

5. Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baikl usahasama seperti ini, di mana syarikat–syarikat besar, melalui program Tanggungawab Sosial Korporate atau CSR mereka bersama–sama merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif terbaik demi meningkatkan pendidikan dan kemahiran pelajar. Saya berharap lebih banyak syarikat akan memilih Negeri Kedah dalam pelaksanaan program CSR mereka.

PELAJAR, E-LEARNING DAN DET

6. Penggunaan ICT dalam “e-Learning” atau e-Pembelajaran merupakan inisiatif yang memerlukan usaha pelajar itu sendiri. Pelajar perlu berdikari pada masa–masa tertentu dan bertanggungjawab untuk pembelajarannya. Suasana pembelajaran “e–Learning” akan memaksa pelajar memainkan peranan yang lebih aktif, di mana pelajar perlu membuat perancangan dan mencari bahan untuk maklumat dengan daya usaha dan inisiatif mereka sendiri.

7. Justeru itu, saya amat yakin bahawa Darul Aman e-Tutor merupakan platform e-Learning terbaik kepada pelajar–pelajar di Negeri Kedah. Ia merupakan satu perkhidmatan yang membantu merealisasikan objektif Pelaksanaan Dalam Pembangunan Pendidikan Negara di mana ICT diterapkan di dalam kelas. Capaian maklumat juga adalah bersifat Tepat Masa atau Realtime, di mana dapat membantu ibu bapa dan guru membuat pemantauan.

KEKANGAN INFRASTRUKTUR DAN PERKAKASAN

8. Namun begitu, saya mengambil maklum bahawa akses kepada ICT merupakan kekangan utama dalam pelaksanaan e–Learning di samping jurang digital yang ketara di kawasan luar bandar berbanding di kawasan luar bandar. Kerajaan Negeri turut difahamkan bahawa syarikat telekomunikasi YTL bertanggungjawab untuk membekalkan perkhidmatan 1BestariNet ke sekolah–sekolah di seluruh Negeri Kedah.

9. Sehubungan itu, saya memohon perkhidmatan itu disegerakan, terutamanya di sekolah–sekolah di kawasan luar bandar. Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu iaitu di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha mempercepatkan proses permohonan berkaitan asalkan permohonan tersebut mematuhi syarat–syarat yang telah ditetapkan.

10. Saya juga memohon pihak sekolah untuk membuka Makmal Komputer pada waktu hujung minggu bagi membolehkan pelajar-pelajar mendapat manfaat daripadanya. Ini memandangkan sekolah–sekolah telah disediakan makmal komputer yang lengkap.

HARAPAN KEPADA IBU BAPA, GURU DAN PELAJAR

11. Saya juga ingin memohon kepekaan semua ibu bapa agar mengambil peluang ini untuk mendapatkan Darul Aman e-Tutor kepada anak-anak. Saya amat yakin e-Pembelajaran ini amat berguna kepada pelajar–pelajar yang akan menempuh peperiksaan awam utama.

12. Selain itu, adalah menjadi harapan saya agar Darul Aman e-Tutor diperluaskan penggunaannya dan tidak terhad kepada 10,000 ID sahaja. Ia adalah sebagai salah satu langkah supaya pelajar–pelajar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan ICT yang semakin pesat.

13. Kita tidak seharusnya tunggu sehinga semua infrastruktur telekomunikasi dan perkakasan lengkap barulah kita memperkenalkan “e-Learning” kepada pelajar kita. Bagaimanapun , kita harus faham bahawa kaedah e-Learning hanyalah sebagai tambahan kepada semua sumber yang sedia ada di sekolah. Guru masih memainkan peranan penting dalam mendidik para pelajar kita.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

SUMBANGAN KHAS

14. Saya juga ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menaja pemberian ID kepada tiga (3) buah sekolah yang mewakili Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan. Ketiga–tiga buah sekolah ini akan mendapat jumlah ID penuh bagi calon UPSR, PMR yang sedang ditambahbaik dan SPM tahun 2014.

15. Sekolah–sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Pedu, mewakili Zon Utara; Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau, mewakili Zon Tengah; dan Sekolah Kebangsaan Relau, mewakili Zon Selatan. Sekolah–sekolah ini akan menjadi perintis kepada ujian keberkesanan kaedah e-Pembelajaran Darul Aman e-Tutor ini.

16. Akhir kata, maka saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Darul Aman e-Tutor, yang diharapkan dapat membantu para pelajar Negeri Kedah mencapai kecemerlangan akademik.

17. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selesai perasmian DeT Dato Seri Mukhriz juga berkesempatan beramah mesra dan melawat sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Pedu.  Malah beliau juga merasmikan English Hub bagi sekolah tersebut.

Gambar sekitar program semalam,




Video penuh program DeT yang dilancarkan semalam,



McTheory:
Alhamdulillah pendidikan di Kedah maju setapak lagi..

1 ulasan:

kakaotalk berkata...

kalau inilah portal rm18juta yg dimaksudkan, nilailah sendiri. http://tutoronline.com.my