Selasa, 26 Mei 2015

China Sedia Jalin Kerjasama Erat dengan Malaysia



China bersedia untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan negara-negara serantau lain dalam usaha bantuan bencana, kata anggota Dewan Negara China, Wang Yong.

Ketika berucap pada majlis perasmian Forum Serantau ASEAN-Latihan Bantuan Bencana 2015 (ARF-DiREx) pada Isnin, beliau berkata China bersedia mengadakan perbincangan dengan negara-negara serantau mengenai isu itu.

"Kami bersedia berbincang dengan negara serantau lain tentang bagaimana membangunkan mekanisme kerjasama bantuan bencana untuk latihan dan pertukaran, perkongsian maklumat, tindak balas segera serta kerjasama industri bagi meningkatkan lagi kerjasama bantuan bencana alam serantau dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kita," katanya.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Wang berkata sebagai pengerusi bersama ARF-DiREx, Beijing juga bersedia untuk bekerjasama dengan Kuala Lumpur untuk memastikan peranan sebagai pengerusi bersama dan latihan tersebut mencapai kejayaan.

Beliau berkata China telah memperjuangkan usaha bagi mewujudkan keselamatan bersama, komprehensif dan mampan bagi Asia iaitu pandangan selaras dengan idea ASEAN bagi kerjasama dan keselamatan bersama.

"China bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara serantau yang lain di bawah prinsip keterbukaan dan inklusif untuk meningkatkan perpaduan dan kerjasama," katanya.

Mengenai ARF-DiREx, beliau berkata China memberi penekanan penting kepada ARF-DiREx dan telah menghantar hampir 600 kakitangan dan sebahagian besar peralatan untuk menyertai semua latihan yang dirancang.

Latihan akan dijalankan di beberapa lokasi di Kedah dan Perlis.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: