Khamis, 21 Mei 2015

Kedah Bangun Kawasan Automotif Gurun dan KHTP



Kerajaan Kedah menyasarkan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan kawasan industri automotif di Gurun dikembangkan berikutan kedua-duanya kini menjadi tumpuan utama pelabur, terutama pelabur asing.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kedua-dua kawasan itu ketika ini menjadi daya tarikan kepada pelabur (untuk melabur) ke Kedah, dan usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi komitmen pelabur ke kawasan terbabit.

"Saya lihat setakat ini Kulim Hi-Tech Park menjadi tarikan utama hasil banyak promosi dilakukan di seluruh dunia. Di Gurun pula banyak industri automotif. Sasaran kita kembangkan dua tempat ini," katanya kepada pemberita pada akhir lawatan tiga hari ke Wilayah Mie di sini pada Selasa.

Mukhriz berkata selain itu, kerajaan negeri juga akan melaksanakan perancangan bagi mewujudkan Bandar Raya Getah, Taman Sains dan Teknologi Kedah serta Taman Teknologi Perubatan.

"Kita harap Jepun dapat bersama dalam program taman teknologi," katanya.

Mukhriz berkata dalam menarik pelabur ke Kedah, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah, termasuk membangunkan taman-taman industri di kawasan strategik yang memberi kelebihan kepada syarikat yang berminat.

"Jika di Bukit Kayu Hitam, ia bersebelahan Selatan Thailand. Jika di Kulim dan Sungai Petani ia dekat dengan (lokasi cadangan pembinaan) Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan tak jauh dari pelabuhan, dari landasan kereta api, lebuh raya.

"Itu kelebihan yang boleh kita tawarkan. Ini diharapkan boleh menjadi faktor untuk mereka (pelabur) melabur di Kedah," katanya. - MukhrizMahathirfc.com

Tiada ulasan: