Sabtu, 23 Mei 2015

Pas Semakin Menikus Dengan Dap?



DAP menganggap kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai berbahaya dan akan melemahkan proses pembinaan negara bagi membentuk masyarakat harmoni berbilang agama dan budaya.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, beliau tidak menyangka Presiden Pas itu sanggup menggunakan alasan menyatakan kemarahan terhadap parti itu kerana membantah pelaksanaan hudud.

“Dia (Abdul Hadi) tidak jujur dan ikhlas apabila terus menerus melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip konsensus PR yang menjadi sebab kenapa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berada dalam krisis dan tidak bermesyuarat lebih tiga bulan.

“Abdul Hadi secara unilateral dan sewenang-wenangnya mengabaikan keputusan majlis pimpinan, atau membatalkan pandangan pemimpin Pas yang mewakili beliau,” katanya.

Menurutnya, perbuatan tidak jujur Abdul Hadi berlaku sewaktu PRU12 apabila beliau memberi kuasa kepada calon-calon Pas untuk bertanding di enam kerusi Dun yang diperuntukkan kepada PKR, mengakibatkan pertembungan tiga penjuru serta kekalahan bagi PR di kerusi berkenaan.

“Kedua Abdul Hadi membatalkan keputusan Majlis Pimpinan pada 17 Ogos 2014, yang dihadiri pimpinan utama DAP, PKR dan Pas (walaupun Abdul Hadi tidak hadir) tentang cadangan melantik Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Kit Siang berkata, Abdul Hadi memungkiri komitmen beliau sendiri kepada majlis pimpinan dalam mesyuarat pada 8 Februari 2015, bahawa sebarang pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1995 dan sebarang rang undang-undang persendirian di Parlimen berkenaan pelaksanaan hudud mestilah terlebih dahulu dibentangkan kepada majlis pimpinan.

“Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2015 dibentang dan diluluskan Dun Kelantan pada 19 Mac, tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan selain Abdul Hadi sendiri mengemukakan usul rang undang-undang persendirian di Parlimen berkenaan hudud dalam sidang Mac/April, tanpa merujuk majlis pimpinan, ” katanya – Sinar Harian

Tiada ulasan: