Ahad, 17 Mei 2015

TPM Muhyiddin Mengumumkan berita gembira buat guru



Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiga berita gembira bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertama, Akta Yayasan Guru Tun Hussein Onn (Akta 763) telah diluluskan Parlimen dan diwartakan.

Melalui yayasan itu katanya, guru-guru akan dibantu mendapatkan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian. Ini termasuk mereka yang tidak layak mendapat biasiswa kerajaan kerana melebihi had umur.

Yayasan tersebut juga akan menjaga kebajikan guru dengan memberi keutamaan kepada guru yang memerlukan bantuan kecemasan, bencana alam, khairat kematian dan bantuan peralatan sokongan selepas rawatan.

Mengumumkan khabar gembira kedua, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan bersetuju menyeragamkan had umur pegawai awam bagi mengikuti ijazah sarjana dan ijazah sarjana doktor falsafah (Phd) dari 43 tahun kepada 45 tahun.

Selain itu katanya, kerajaan bersetuju menambah baik elaun pengetua dan guru besar sedia ada.

"Elaun sedia ada yang berkuatkuasa sejak 2000 bakal dinaikkan daripada RM150 kepada RM300 sebulan bagi 2,405 pengetua sekolah menengah. Manakala untuk 7,757 guru besar sekolah rendah pula, elaun sedia ada mereka turut dinaikkan kepada RM200 sebulan berbanding RM100 sebelum ini. Kenaikan itu berkuatkuasa 1 Julai ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis tersebut di Dewan Wawasan, Jitra.

Tiada ulasan: