Ahad, 17 Mei 2015

UMNO Kedah Sokong Usaha YAB PM Selesai Kemelut 1MDB - Mohd Rawi


Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah hari ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan usahanya untuk menyelesaikan kemelut berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangannya Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata perkara itu disuarakan UMNO Kedah pada mesyuarat itu, yang disifatkan sebagai "perjumpaan mesra", dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin hari ini.

"Kita (UMNO Kedah) beri sokongan kepada Perdana Menteri, seperti sebagaimana Perdana Menteri selalu kata supaya memberi beliau masa untuk menyelesaikan perkara (1MDB) termasuk meminta Jabatan Audit Negara menjalankan audit.

"Kita tidak hendak memberi tekanan kerana kalau lebih tekanan, ia lebih kepada terpengaruh dengan desakan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini.

Turut hadir Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mohd Rawi yang juga exco kerajaan negeri berkata, mesyuarat itu turut menyentuh kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib.

Beliau berkata UMNO Kedah menyayangi Dr Mahathir, yang berasal dari negeri ini, dan Najib yang juga Presiden Umno.

"Kita (Umno Kedah) sayang kedua-duanya, satu adalah Perdana Menteri dan satu lagi bekas Perdana Menteri kita. Kasih sayang kita tidak berbelah-bahagi," katanya.

Mohd Rawi berkata pada mesyuarat itu, Mukhriz meminta sokongan Muhyiddin berhubung cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dianggarkan bernilai RM1.6 bilion.

Menurutnya Timbalan Perdana Menteri mahu mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

Muhyiddin turut bertanya mengenai persiapan UMNO Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan usahanya menarik pengundi baharu selain mendapatkan maklum balas berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Nasihat beliau supaya Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Kedah, kita dan kerajaan negeri mesti mengenal pasti masalah rakyat dan menangani permasalahan seperti perumahan dan isu-isu lain," kata Mohd Rawi. - BERNAMA

Tiada ulasan: