Khamis, 11 Jun 2015

Pengunjung Bangga Dan Teruja Dengan Mural Tun Mahathir Di Alor Setar


Bangga dan teruja, itu antara reaksi pengunjung-pengunjung yang datang untuk bergambar di lukisan mural bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terletak berdekatan Pekan Cina dan Pekan Melayu di sini.

Tinjauan Bernama hari ini, mendapati semakin ramai pengunjung yang datang silih berganti dan tidak melepaskan peluang mengabadikan memori di situ, malah ada yang melakukan sesi penggambaran untuk praperkahwinan.

Ida Ashikin Abdullah, 19, dari sini berkata, beliau mula mengetahui kewujudan lukisan tersebut melalui laman sosial Facebook, sebelum memutuskan untuk membawa rakannya mengabadikan kenangan di sini.



Ida yang menjadikan Dr Mahathir sebagai idolanya, berasa bangga dengan pemilihan Dr Mahathir di dalam lukisan mural yang disifatkannya sebagai pemimpin terkemuka seluruh dunia.

"Pertama kali nampak cantik, nanti saya nak muat naik kat Facebook, supaya kawan-kawan yang jauh-jauh boleh pergi sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Mohammad Farhan Mohd Salleh, 19, pula berkata, kini dia tidak perlu lagi ke Penang Street atau Ipoh untuk mencari seni lukisan mural, memandangkan ianya sudah ada di sini.

"Ini boleh tarik ramai pelancong dalam dan luar negara, sebab 2016 kan Tahun Melawat Kedah, tapi patut buat lebih banyaklah," menurutnya.

Bagi seorang guru dari SMK Mergong, Mohd Syazwan Hamdi Mohamad Sharif,24, beliau dan tiga lagi rakannya sanggup mencari hampir sejam lokasi lukisan tersebut yang terletak di belakang Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Katanya, lukisan berkenaan secara tidak langsung menghargai Dr Mahathir yang menjadi kebanggaan anak Kedah dengan kepimpinan unggul beliau yang terkenal di seluruh dunia.

Lukisan mural berkenaan yang siap pada Sabtu, dihasilkan tiga anak muda dari Medium Touch, Kuala Lumpur bersempena Majlis Pelancaran Bulan Pelancongan Legenda Kedah yang dirasmikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, semalam.

Tiada ulasan: