Jumaat, 18 September 2015

Pelumba Cub Prix Felda Naik Podium Antarabangsa



Tahniah kepada pelumba Felda PB Racing kerana berjaya menaiki podium antarabangsa ditangga kedua. Tak terjangka pelumba baru dari Felda ini berjaya menjejakkan kaki ke podium secepat ini, kerana beliau adalah pelumba baru. 

Ternyata, aksi bertenaga yang ditunjukkan sewaktu saingan pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Thailand, baharu ini menjadi pembakar semangat buat Fareez Afeez untuk sekali lagi menjejakkan kaki di podium menjelang pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, minggu ini.

Pelumba Felda PB Racing itu meraih podium antarabangsa pertama sewaktu beraksi di Litar Antarabangsa Chang apabila muncul naib juara pada Perlumbaan 1 kategori Underbone 130cc menewaskan rakan senegara, Mohd Azam Omar (PETRONAS Hong Leong Yamaha) manakala juara menjadi milik juara bertahan dari Indonesia, Gupita Kresna.

Gembira dengan keputusan positif tersebut, Fareez menuju ke Teluk Intan minggu ini dengan membawa semangat juang tinggi untuk sekali lagi menjejakkan kaki di atas podium sekaligus mencerahkan peluang untuk menamatkan cabaran CP115 di kelompok tiga pelumba terbaik keseluruhan pada musim ini.

Aksi hebat Fareez

“Mendapat tempat kedua di Thailand merupakan satu kejayaan mengejutkan. Kami sama sekali tidak menyangka menaiki podium secepat ini memandangkan musim pertama pasukan kami dalam saingan ARRC. Malah berhadapan dengan pelumba handalan dan berpengalaman lain,” jelas Fareez.

“Banyak yang saya pelajari dari perlumbaan tersebut. Keyakinan saya semakin meningkat dan harap ia berterusan dan dapat digunakan dalam perlumbaan di Teluk Intan, minggu ini.”

“Mungkin agak sukar untuk merebut gelaran keseluruhan dari Kasma yang jauh mendahului pelumba lain di tangga teratas. Cuma, tidak mustahil untuk saya merebut kedudukan antara tiga pelumba terbaik. Saya perlu bekerja lebih keras untuk menjejakkan kaki di atas podium,” tambahnya.

Selepas enam pusingan, Fareez telah mengumpul 53 mata untuk berada di tangga keempat di belakang pendahulu, Kasma Daniel (PETRONAS Yamaha Maju Motor) dengan 120 mata diikuti Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) dan Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Yamaha CKJ), masing-masing dengan 86 mata dan 69 mata.

Ternyata semangat anak muda pelumba Felda ini kuat dan hebat. Mungkinkah Felda juga akan menuruti jejak Petronas yang banyak menaja dan melahirkan pelumba tempatan dan dunia.

Tiada ulasan: