Jumaat, 27 November 2015

Malaysia Hadir Perhimpunan Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa



Delegasi Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan akan hadir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi Sesi ke-29 yang akan diadakan di London.

Perhimpunan Agung yang diadakan sekali setiap dua tahun ini akan turut dihadiri oleh menteri-menteri pengangkutan dan pegawai-pegawai kanan maritim dari Negara-negara Anggota IMO.

Sejak dari dulu lagi, hubungan melalui perairan merupakan laluan terpenting. Malaysia juga tidak terkecuali kerana Malaysia terletak di pusat Asia dan berada di tengah-tengah dua laluan perairan yang terpenting di dunia, iaitu Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Sebagai sebuah negara maritim, perkapalan antarabangsa memainkan peranan yang penting kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebahagian besar perdagangan antarabangsa Malaysia dikendalikan merentasi lautan ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.

IMO pula merupakan sebuah agensi khusus di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu pihak berkuasa yang menetapkan piawaian global bagi keselamatan, sekuriti dan prestasi alam sekitar bagi perkapalan antarabangsa.


Secara dasarnya, IMO bertanggungjawab untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia yang bukan sahaja adil dan efektif bagi industri perkapalan, tetapi juga boleh diguna pakai secara universal.

Disebabkan itu, jika Malaysia mahu terus menjamin hubungan laluan laut. Malaysia perlu sentiasa mengambil berat malah aktif didalam IMO.

IMO kini terdiri daripada 171 Ahli dan tiga Ahli Bersekutu. Malaysia telah menganggotai IMO semenjak 1971 selain diberi penghormatan apabila dilantik sebagai Ahli Majlis IMO selama lima penggal berturut-turut dari penggal 2006 – 2007. Pemilihan 40 Ahli Majlis IMO bagi penggal 2016 – 2017 akan turut berlangsung semasa Perhimpunan Agung ini.

Jika diteliti sejarah Malaysia pun, kita memang negara yang terkenal kerana mempunyai perairan yang strategik. Jadi adalah wajib bagi Malaysia untuk terus aktif dalam IMO bagi menjamin keselamatan hubungan perairan kita.

Tiada ulasan: