Sabtu, 7 Ogos 2010

PANAS! ISU-ISU KRITIKAL DI SELANGOR!


1. Selepas isu pasir timbul pula isu air. YAB Menteri Besar dengan penuh yakin menyanggah kajian bahawa Selangor akan mengalami krisis bekalan air bersih pada 2014 jika tiada usaha menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang dilakukan. Sebaliknya MB menyatakan mengikut kajian perunding beliau, krisis tersebut akan berlaku pada 2019.

2. Saya pernah mencabar beliau mendedahkan siapa perunding yang dilantik oleh kerajaan negeri namun sehingga hari ini ia belum didedahkan. Kita mahu tahu siapa perunding tersebut supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan jika berlaku krisis bekalan air bersih pada 2014 nanti.

3. Kenyataan Tan Sri Khalid mengenai isu bekalan air negeri Selangor ini mengingatkan kembali kita kepada isu pasir di Selangor. Apabila mengambil alih tampuk pemerintahan, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan penuh bangga mengumumkan kerajaan negeri akan mendapat hasil pasir sebanyak RM 150 juta setahun. Ini beberapa kali diulangnya termasuk dalam ucapan sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Selangor.

4. Selepas dua tahun semua orang tahu bahawa unjuran dan keyakinan tersebut palsu belaka. Apakah kita akan tunggu 2014 untuk mengetahui sama ada benar atau tidak kenyataan Tan Sri Khalid bahawa krisis bekalan air hanya akan berlaku pada 2019 bukannya 2014.

5. Isu yang lebih serius ialah, salah unjuran krisis air akan memberi implikasi buruk yang lebih besar berbanding anggaran tidak tepat mengenai pendapatan pasir. Anggaran yang salah mengenai hasil pasir hanya menyebabkan kerajaan negeri mengalami bajert defisit selama dua tahun berturut-turut. Namun unjuran yang salah mengenai krisis air akan menyusahkan rakyat dan industri di Lembah Klang.

6. Apakah kita akan membenarkan ego sebuah parti atau seorang Menteri Besar mengatasi kepentingan umum?

7. Selebihnya, jika krisis 2014 atau 2019, isu tetap sama iaitu negeri Selangor memerlukan pelan pembekalan air yang mapan bagi mengelakkan sebarang krisis air pada masa akan datang. Penangguhan projek pembinaan terowong dan empangan ini hanya akan meningkatkan kos pada masa akan datang. Kos pembinaan tidak akan semakin murah. Ia akan semakin meninggi dan kos tersebut akan ditanggung oleh pengguna akan datang.

8. Setiausaha Politik baru MB, membuat kenyataan kepada Sinar Harian beberapa hari lalu supaya saya jangan bercakap isu air dan memberi isyarat seolah-olah saya ada buat salah dalam isu air ini.

9. Saya ingat Tan Sri Khalid tidak perlu menggunakan Setiausaha Politik beliau untuk "mengugut atau menggertak" kerana saya tidak akan berdiam diri dan tidak takut dengan ugutan kebudak-budakan tersebut. Beliau boleh dedahkan apa yang beliau suka dan saya akan bercakap apa apa sahaja demi kepentingan rakyat dan negeri Selangor ini. Saya tidak perlu takut kerana perjanjian tersebut dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor. Saya nasihatkan pentadbiran sekarang membaca kesemua dokumen yang ada dan fahami dahulu sebelum membuat kenyataan melulu.

10. Oleh kerana pegawai yang terbabit masih berkhidmat dengan kerajaan hari ini kecuali seorang yang telah berpindah, maka saya fikir eloklah kerajaan negeri bertanya dan mendapat taklimat mereka terlebih dahulu mengenai keseluruhan perjanjian kosensi ini dan peranan yang telah dilakukan oleh saya.
11. Saya akan mendedahkan sedikit demi sedikit isu ini pada masa akan datang bagi menunjukkan kelemahan kerajaan negeri memahami perjanjian tersebut. Saya tidak akan mengulas panjang buat masa ini. Saya akan memberi ruang kepada kerajaan negeri memperbodohkan diri mereka dahulu di khalayak awam. Namun buat permulaan saya ingin mengulas kenyataan Faekah yang mengatakan saya tidak berhak bercakap soal air kerana saya yang menandatangani perjanjian air yang membenarkan Syabas menaikkan tarif air. Sedangkan dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini, Faekah dipetik mengatakan.

"Kerajaan Negeri juga yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membawa Syabas ke mahkamah kerana melanggar syarat perjanjian konsesi termasuk cuba menaikkan tarif air tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu."

12. Berdasarkan kenyataan tersebut, Kerajaan Negeri yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membawa Syabas ke mahkamah kerana melanggar syarat perjanjian konsesi termasuk cuba menaikkan tarif air tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu. Bukankah kenyataan ini menunjukkan kerajaan negeri mempunyai hak dalam perjanjian tersebut?

13. Dalam satu segi, Faekah menyatakan perjanjian tersebut memberi kuasa kepada negeri, manakala dari satu segi lagi faekah mengatakan saya menandatangani perjanjian yang berat sebelah? Bukankah kontradik kedua-dua kenyataan tersebut? Jika baru sehari dua berkhidmat dengan kerajaan negeri bacalah dulu dengan teliti semua dokumen yang ada. Saya percaya ada lagi dokumen yang Faekah tidak baca atau sengaja tidak mahu jelaskan kepada umum kerana tujuan beliau ialah memburukkan saya bukannya mencari penyelesaian.

14. Isu kenaikan tarif air adalah satu isu lain berbanding pembinaan empangan. Kerajaan negeri tidak boleh mencampur aduk isu sehinggakan kepentingan rakyat terjejas.

15. Saya berharap Setiausaha Politik MB yang baru akan membantu memulihkan hubungan politik Tan Sri Khalid dengan kepimpinan dalam Pakatan sendiri bukannya sibuk membuat kenyataan politik. Saya juga berharap beliau tidak akan senasib dengan Setiausaha Politik sebelum ini yang hilang jawatan beberapa minggu selepas saya menjawab kritikan beliau.

RM 15 Juta

16. YAB Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM 15 juta untuk kerja-kerja propaganda Pakatan di Negeri Selangor. Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang mendapat bahagian masing-masing. Jika ada bloggers atau laman web yang sebelum ini begitu marah dengan Tan Sri Khalid tiba-tiba menukar nada, maka faham-faham sahajalah.

17. Orang ramai faham jika perbelanjaan RM 15 juta tersebut untuk menyampaikan polisi dan maklumat mengenai kerajaan negeri Selangor. Yang ramai tidak faham ialah apabila portal rasmi negeri Selangor sendiri banyak menyiarkan berita-berita politik kepartian.

Dato Seri Dr. Khir Toyo

P/s: Sesungguhnya kerajaan Selangor sekarang tidak berfikiran jauh malah jauh sekali berfikir untuk kebaikkan rakyat. Kelemahan pentadbiran yang nyata boleh menyebabkan negeri yang maju boleh terumbang ambing. Mc percaya jika berterusan begini, Selangor pula yang akan bankrap lebih awal. Bukannya Felda!

MctHeory:
Cuba teka, dalam pentadbiran Selangor sekarang, siapa yang paling berkuasa?

Tiada ulasan: