Ahad, 10 Oktober 2010

PANAS!! DRAMA MB KEDAH MEMANG DAHSYAT!!

tudia.. mengamuk dahh

Oleh Tarmizi Md. Jam

Menteri Besar Kedah, Azizan Razak ‘mengamuk’ bila tindakannya menaikkan tariff air di Kedah disensasikan media serta menerima berbagai kritikan. Marah betul Ustaz Azizan bila dicemuh kerana mengambil tindakan yang membebankan rakyat

Dalam sebuah blog pembangkang, melalui setpolnya, beliau memberi penjelasan yang panjang lebar mengenai hal ini. Pada dasarnya, beliau menyalahkan kerajaan BN terdahulu yang cenderung membuat pinjaman daripada kerajaan persekutuan, berbanding memohon geran (yang menjadi hak rakyat Kedah yang juga rakyat Malaysia) gara-gara ingin memberi projek kepada kroni.

Sikap kerajaan BN Kedah tersebut telah menyebabkan kerajaan Pusat terbeban dengan hutang tidak berbayar lalu Pihak Kerajaan Pusat dalam usaha memastikan hutang-hutang lapuk itu dibayar oleh semua kerajaan negeri, telah mengambil langkah ‘merampas secara halus’ hak yang telah diperuntukan dalam perlembagaan persekutuan sebagai hak kerajaan negeri iaitu sumber dan bekalan air. Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk menjayakan langkah ini.

Dalam menegaskan hujah beliau, beliau juga mengugut akan mendedahkan nama-nama pemimpin BN Kedah yang terlibat dalam kronisme dan korupsi ini.

Kesimpulannya, mengikut penjelasan Ustaz Azizan, semua masalah ini berpunca dari kerajaan BN terdahulu, seperti juga masalah banjir, ketiadaan air, balak, sampah dan lain-lain di Kedah. Pendek kata, tak perlu tanya apa-apa pada Azizan sebab jawapannya ‘standard’.

Setelah 3 tahun memerintah Kedah, jawapan ‘standard’ sebegini sebenarnya hanya menunjukkan ketidakupayaan beliau untuk menjadi pemerintah.

Umum sedia maklum bahawa BN kalah di Kedah bukan kerana PAS kuat tetapi kerana rakyat Kedah sudah terlalu muak dan jelak dengan pemimpin UMNO Kedah.

Oleh itu, Ustaz Azizan tidak perlu mengugut untuk mendedahkan nama mereka yang terlibat dalam masalah ini dan sebaliknya terus saja dedahkan kerana tiada siapa yang akan menghalang.

Dedahkan saja nama pemimpin BN yang korup agar tindakan dapat diambil terhadap mereka sekali gus membantu pusat mengambil langkah menggantikan mereka dengan personaliti yang lebih baik, lebih layak dan lebih bijak untuk merampas balik Kedah.

Di masa yang sama, Ustaz Azizan tidak harus merasakan yang penjelasannya berkenaan tariff air yang naik mendadak sehingga 27% itu sebagai memadai dan memaksa rakyat Kedah menerimanya bulat-bulat tanpa soal dan tanpa keluhan.

Jangan berharap bahawa hanya dengan menyalahkan BN maka rakyat akan merasa tenang kembali.
Rakyat Kedah mungkin percaya yang kerajaan BN sebelum ini korup dan mengamalkan kronisme, kerana itulah mereka menolak BN dalam pilihanraya yang lepas.

Tetapi, rakyat Kedah juga mengharapkan kerajaan PAS mampu memperbetulkan dan memberi lebih keyakinan dan keselesaan kepada mereka berbanding BN yang dikatakan korup itu.

Persoalannya, jika memilih BN yang korup bermakna tariff air kekal, tetapi memilih PAS yang tidak korup bermakna perlu menambah beban harga air, maka bukankah lebih baik bagi rakyat memilih BN sahaja?

Jika memilih BN yang korup bermakna sampah boleh dibuang dengan sempurna, tetapi memilih PAS yang konon tidak korup bermakna Alor Setar diselubungi sampah, bukankah lebih baik memilih BN saja?
Begitulah juga dengan isu-isu yang lain.

Inilah logik mudah pemikiran rakyat jika Ustaz Azizan masih gagal memahami mereka.
Rakyat melihat Ustaz Azizan sebagai pemimpin yang walaupun bersih, tetapi lemah dan kurang bijak.

Jika kerajaan dahulu berhutang, dan kerajaan Ustaz Azizan perlu membayar, seboleh-bolehnya janganlah pula meletakkan bebanan membayar hutang itu di bahu rakyat. Ustaz Azizan perlu lebih pro-aktif dan kreatif dalam menjana pendapatan negeri Kedah.

Setelah 3 tahun memerintah Ustaz Azizan seharusnya sudah berupaya mengetengahkan idea baru dan bernas untuk menjana pendapatan Kedah dan menyelesaikan semua masalah. Ustaz Azizan harus berhenti menyanyi lagu yang sama iaitu ‘salah kerajaan terdahulu’.

Sesiapa sahaja yang bercita-cita ingin menjadi pemimpin seharusnya sudah punya idea tentang apa yang perlu dan akan dilakukan jika dia menjadi pemimpin, sebelum mengorak langkah berjuang untuk mencapai cita-cita tersebut.
Contohnya, negarawan ulung kita, Tun Dr. Mahathir telah lama menyimpan idea di dalam fikirannya tentang apa yang akan dilakukan jika beliau menjadi Perdana Menteri. Beliau terlebih dahulu mencongak, meneliti, menganalisa dan mengkaji idea-ideanya sebelum mengambil langkah menuju takhta tersebut.

Oleh kerana itulah maka dalam hanya beberapa bulan beliau menduduki takhta Perdana Menteri, beliau sudah bersedia mengemukakan idea-idea bernas lengkap dengan perancangan perlaksanaan yang rapi tanpa ragu-ragu lagi.

Apa yang berlaku di Kedah, membuktikan yang kepimpinan Ustaz Azizan atau PAS adalah kepimpinan yang tidak pernah bersedia. PAS selama ini berjuang tanpa tujuan dan tanpa arah kecuali untuk mendapat kuasa. Mereka tidak pernah berniat untuk membawa rakyat dan negara ke mana-mana. Manifesto mereka kosong belaka, tidak praktikal dan tidak logik kerana tidak pernah dikaji dengan teliti dan hanya mengumumkannya mengikut suka hati.

Lalu, apabila kuasa tiba-tiba berada di tangan mereka, mereka buntu sepenuhnya.
Hari ini Ustaz Azizan baru saja tersedar betapa banyaknya perkara yang tidak diketahuinya di dalam dunia ini. Betapa kecilnya dirinya di dunia yang fana ini.

Selama ini beliau seperti juga pemimpin-pemimpin PAS yang lain begitu riak konon mereka sebagai Ulama, tahu segala-galanya. Mereka baru menyedari bahawa sebagai pemimpin, kesejahteraan rakyat berada di tangan mereka. Untuk memastikan rakyat terjaga, mereka perlu tahu selok belok ekonomi, sosial, asas perniagaan, perundangan dan berbagai lagi agar tidak dimanipulasi atau ditipu oleh penasihat atau kroni sendiri.

Bagi Ustaz Azizan, sedarlah bahawa zaman keseronokan mengutuk Barisan Nasional dan UMNO telah berlalu baginya. Sekarang ini adalah zaman di mana beliau perlu menunjukkan yang beliau adalah jauh lebih baik dan bijak dari BN yang dikutuknya. Jika asyik memberi jawapan standard dan tidak mampu menyelesaikan masalah dengan berkesan, beliau pasti menjadi sasaran kutukan juga.

Sumber Kedah Times

P/s: Dulu dok kata UMNO/BN tak betui.. lanih?? Hangpa ni betui sangat ka??

Mctheory:
Cakap memang senang, main sembur ja..

2 ulasan:

Dot berkata...

salam mc,

seghopala makan benda yg oghang dah masak, dok kata lagu tu lagu ni. tak sedapla, tawaqla, telajak masinla, maneh melecaihla...cuba suruh depa sendiri masak, tak tau lagi ghasa lagu mana?

lagu tu la bila ostad zan memerintah. dulu sedap dok hambuq kata ka oghang tak cekap memerintah. laa ni tahaqla telinga dengaq plak oghang kata apa ka kita senighi!!!!

cubala buat kheja betui2. dok lawan kata kat oghang balik apa pekdah? lama2 mati terdudukla jawabnya...

Tanpa Nama berkata...

setuju sepenuhnya dngn Mc.. jujurnya sy juga seorang yg bercita2 utk lihat BN diajar kerana korupsi, berlagak, sombong.. dan dalam waktu yg sama sedar ianya bukan parti dan dasar parti yg bermasalah, tetapi segilintir pemimpin dan ketua2 bahagian (terutamanya) yg bermasalah menyebabkan persepsi generalize timbul dikalangan rakyat.. dan saya puas hati dngn pengajaran pru12..

sebagai org Melayu sy juga bercita2 utk melihat PAS sebagai pembangkang yg kuat dngn perancangan teliti utk mengangkat maruah org Islam.. sy sendiri berusaha mengingatkan Pas supaya sentiasa bersedia dan merancang.. apa yg jadi ialah, PAS hanya bersedia dr segi utk jatuhkan sesama Melayu dn memang cekap memanipulasi Islam utk kepentingan itu. Matlamat berpolitik yg utama diabaikan dan hasilnya ialah Kelantan dan Kedah.. Perkara asas kehidupan malah keperluan utama dlm Islam tak dpt diselenggarakan dgn baik..

1)Pas belum bersedia dalam perundangan utk menghadapi kemungkinan dikhianati oleh kelompok yg sentiasa mengintai peluang
2)Pas tidak bersedia menunjukkan diri sebagai model pemerintahan contoh.. masih lagi acting sebagai follower dlm keadaan mereka mewakili kelompok majoriti
3)Pas gagal membuktikan pemimpin mereka juga tdk dpt lari dr masalah moral, korupsi (sedekah bg depa), kroni, nepotisme
4) Pas hanya berjaya menonjolkan diri sebagai opportunist (tetapi hanya sesama Melayu) atas nama Islam seperti kes dinar emas dan politik PAS di masjid


kesimpulannya.. PAS gagal.. cuba lagi next time tp BERSEDIALAH