Selasa, 8 Februari 2011

TERKINI!! PENGARANG UTUSAN DISAMUN EMPAT LELAKI!!


KUALA LUMPUR: Kereta Honda Civic milik Pengarang Sukan Utusan Malaysia, Meor Herman Meor Shakri dilarikan empat lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan parang dalam kejadian samun berhampiran Plaza Tol Rawang dekat sini, awal hari Selasa.

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, kereta yang dipandu Meor Herman, 43, dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Mitsubishi yang dinaiki empat lelaki ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Country Homes.

"Setiba di Kilometer 446, saya dihampiri sebuah kereta Mitsubishi berwarna cerah. Kereta itu mengekori saya dengan rapat sebelum kereta saya tiba-tiba dilanggar dari belakang," katanya ketika dihubungi.

Beliau kemudian memberhentikan keretanya di kawasan terang iaitu kira-kira dua kilometer sebelum plaza tol itu dan keluar dari keretanya untuk menghubungi talian kecemasan 999 sebelum dihampiri seorang lelaki berusia awal 20-an.

"Lelaki tu macam mabuk dan meminta maaf sebab langgar kereta saya, namun saya curiga dan menunggu polis sampai untuk selesaikan perkara itu. Lelaki itu kemudian masuk ke dalam keretanya (Mitsubishi) dan meletakkan keretanya di hadapan kereta saya," katanya.

Meor Herman berkata tiba-tiba lelaki terbabit keluar bersama seorang lagi rakannya serta memaki-hamun sebelum rakannya itu mengacukan sebilah parang di leher Meor.

"Saya terkejut dan sempat mengelak dengan berundur hingga ke belakang kereta saya.

"Lelaki yang berpura-pura mabuk tadi masuk dalam kereta saya dan melarikan kereta saya. Rakannya yang memegang parang itu pula melarikan diri dengan memandu kereta mereka (Mitsubishi) bersama dua lagi rakan mereka yang berada dalam kereta itu," katanya.

Meor Herman berkata, beliau terpaksa menumpang seorang lelaki bermotosikal untuk ke Plaza Tol Rawang bagi meminta bantuan dan bertemu dengan seorang peronda polis bermotosikal di tol itu untuk dibawa ke Balai Polis Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Mctheory:
Selamat tak diapa2kan.. alhamdullilah..

Tiada ulasan: