Jumaat, 14 Oktober 2011
HOT! Pengorbanan Seorang Cucu Kepada Neneknya!
ALOR SETAR: Usianya baru 14 tahun tetapi kesempitan hidup memaksa Ahmad Nazri Abu Bakar melupakan alam persekolahan kerana mahu membantu neneknya mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga.
Sejak darjah enam ketika berusia 12 tahun lagi Ahmad Nazri mula membantu neneknya, Fatimah Abdullah, 59, dengan bekerja sambilan di sebuah kawasan pembinaan dengan menyusun bata.
"Saya kesian tengok tok (nenek) kerja seorang saja sebab masa itu mak sakit. Ayah pula dah meninggal beberapa tahun lepas. Bila habis darjah enam saya nekad tak mau sambung belajar dan nak tolong tok cari duit sebab hidup kami susah. Biarlah adik-adik saja yang sekolah," katanya di rumah neneknya di Kampung Peremba dekat sini.
Ahmad Nazri berkata selepas tamat darjah enam dua tahun lepas, pelbagai kerja dilakukannya semata-mata mahu melihat emaknya, Nor Aishah Daud (yang baru meninggal dunia bulan lepas) dan adik-adiknya, Nor Hidayu, 13 dan Nor Erdiyani, 8, boleh hidup dengan sempurna.
"Saya pernah kerja basuh ayam di Pasar Besar Alor Setar dan terpaksa berhenti kerana tidak cukup umur dan sekarang ini saya ikut tok kerja katering dengan dibayar gaji antara RM10 hingga RM15 sehari. Lagi pun tok bukannya menyara kami adik beradik sahaja, malah tok juga terpaksa menyara pak cik kami yang sakit kencing manis," katanya.
Ahmad Nazri berkata semasa dia buat keputusan untuk berhenti sekolah, emak dan neneknya menentang keras hasratnya itu tetapi mereka terpaksa akur apabila memikirkan kesusahan hidup yang dialami.
"Saya memang teringin nak sekolah tapi saya kesiankan tok sebab kalau saya pergi sekolah tok terpaksa kerja seorang dan menanggung persekolahan kami tiga beradik.
"Bila saya berhenti sekolah sekurang-kurangnya saya dapat bantu ringankan beban tok walaupun pendapatan saya tak seberapa," katanya.
Ahmad Nazri berkata sebelum emaknya meninggal dunia pada 11 Sept lepas, emaknya berpesan supaya dia menjaga adik-adik dengan baik.
"Saya akan ingat pesanan mak dan saya akan pastikan adik-adik tak terbiar," katanya.Pegawai Zakat Daerah Kota Setar Logman Husien berkata pihaknya akan memberi bantuan bulanan kepada keluarga itu secepat mungkin.
"Apabila kita melihat kesusahan kehidupan mereka sekeluarga, kita akan berikan bantuan bulanan sebanyak RM400 sebulan bermula November ini bagi meringankan beban mereka dan saya harap bantuan itu nanti akan dapat membantu cucu-cucu Fatimah bersekolah," katanya.
Untuk permulaan, pihak zakat menyerahkan sumbangan barang-barang keperluan dapur kepada keluarga Fatimah.
Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah Datuk Latt Shariman Abdullah pula berkata pihaknya akan berjumpa dengan Pegawai Pendidikan Daerah bagi membincangkan proses kemasukan persekolahan Ahmad Nazri.
"Kita juga akan usahakan untuk memberi sedikit peruntukan bagi membantu keluarga ini membaik pulih semula rumah mereka yang daif," katanya yang turut memberi bantuan kewangan kepada keluarga berkenaan.
Sesiapa yang mahu membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Fatimah di talian 012-5231692 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0210041000067475 (Nor Hidayu Abu Bakar). -BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
syukur ada pusat zakat kedah dapat membantu... kalu nazri kat selangor, memang tak dapat bantuan dah... maklum lar duit zakat selangor pergi ke orang mcm khalid samad ajer...
Catat Ulasan