Rabu, 11 Disember 2013

INFO! Minyak dan Gas Bakal Jadi Sumber Pendapatan Kedah?


SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah menimbang dengan serius cadangan untuk melaksanakan semula projek industri minyak dan gas (O&G) selepas tertangguh beberapa kali sejak 1997.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata usaha proaktif sedang dilaksanakan bagi mempelawa peserta dalam sektor itu mengemukakan kertas konsep untuk dinilai oleh kerajaan negeri.

Katanya beliau optimis sektor minyak dan gas menjanjikan pulangan besar kepada negeri dan negara umumnya.

"Melihat perkembangan geopolitik di rantau ini, industri O&G perlu diberi perhatian walaupun Kedah tidak terkenal dalam industri ini, namun pasaran masa depan industri ini agak besar.

"Di timur ada China, Jepun dan Korea Selatan manakala di barat ada India yang memerlukan minyak atau bekalan tenaga dalam jumlah besar. Kita pula boleh dapat bekalan untuk diproses dari negara yang tidak menghadapi sekatan kuasa besar," kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Kedah, di sini Selasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Md Zain dan Naib Presiden FMM, Datuk Raja Abd Aziz Raja Muda Musa.

Mukhriz berkata Kedah mempunyai kelebihan untuk membuka zon industri penapisan minyak kerana lokasinya yang strategik di bahagian utara Selat Melaka yang memudahkan kapal-kapal mengangkut bekalan minyak ke pasaran ketiga.

"Kali ini kita teliti kertas-kertas konsep yang dikemukakan dahulu berikutan projek tersebut tertangguh beberapa kali kerana pelbagai masalah. Semuanya kita perincikan supaya tidak tersilap buat keputusan," tambahnya.

Barisan Nasional (BN) pada 2007 mengumumkan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY), menyasarkan keuntungan sebanyak RM400 juta setahun dalam bentuk cukai dari projek itu yang dijadual siap pada 2014 dan menawarkan pekerjaan kepada kira-kira 30,000 orang mengikut perancangan awal.

Bagaimanapun selepas BN tewas dalam pilihan raya umum 2008, Pas yang memerintah menukarnya kepada projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub (SULIHH) dengan menjadikan projek penapisan minyak di laut yang ditambak di Sungai Limau, Yan.

Projek itu juga gagal berikutan berlaku pertelingkahan perjanjian antara kerajaan negeri dengan pelabur dan juga kekangan lain khususnya kewangan.

Semasa berucap pada majlis itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri mempunyai perancangan padu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Kedah berjalan rancak dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata antara usaha bakal dilaksanakan adalah mewujudkan bandar baharu berkonsepkan sains dan teknologi di Bukit Kayu Hitam dan bandar industri getah di Padang Terap untuk menarik pelabur meneroka teknoloji berasaskan getah. - BERNAMA

Tiada ulasan: