Isnin, 21 September 2015

Terbukti Harakah FITNAH Felda!


Kalau dah fitnah tu, memang takkan lepas dari undang-undang. Nampaknya mereka yang cuba memfitnah Felda telah pun mendapat balasan. Fitnah kononnya Felda mempunyai hubungan perniagaan dengan Israel merupakan fitnah yang amat berat.

Fitnah tersebut diterbitkan melalui lidah rasmi Pas akhbar Harakah.

Pagi tadi di Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya, kesemua Yang Arif Hakim dengan sebulat suara menolak 'Permohonan Kebenaran Untuk Merayu' daripada Datuk Mustafa Ali dan lima defendan yang lain dengan kos RM10,000 dibayar kepada FELDA. Ini bermakna tiada lagi rayuan boleh dibuat di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim berkenaan sebulat suara menolak rayuan Mustafa dan lima defendan lain iaitu ketua pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, editor Taufek Yahya, penulis artikel Mohd Arif Atan, pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Oleh itu Felda telah menang kes saman ini dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan di mana kesemua defendan perlu membayar gantirugi RM100,000 kerana memfitnah Felda. Sehingga kini, sebahagian bayaran telah pun dibuat oleh kesemua defendan tersebut.

Felda telah memfailkan saman pada 07/01/2013, terhadap keenam-enam mereka berhubung artikel bertajuk "2,000 Himpun Bantah Felda Jual Minyak ke Israel" dan "BN Jangan Tipu Rakyat" bertarikh 27/11/2012, yang disiarkan dalam Suara Keadilan.

Sebelum ini Felda juga pernah menang saman fitnah keatas Wan Azizah dan PKR dan dua yang lain berhubung penerbitan dua artikel fitnah dalam akhbar PKR 'Suara Keadilan'.

Ini berikutan pengakuan liabiliti bagi kedua-dua artikel fitnah oleh defendan, iaitu Dr Wan Azizah, Senator Dr Syed Husin Ali, yang ketika itu Naib Presiden PKR, dan penulis artikel tersebut, Rusnizam Mahat.

Artikel itu masing-masing bertajuk 'Felda Bankrap', yang diterbitkan pada 22 Jun 2010, dan 'Kontroversi' serta 'Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu', yang diterbitkan bagi edisi 29 Jun 2010.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said berkata mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Felda, sebagai sebuah badan berkanun, mempunyai hak untuk memulakan prosiding undang-undang.

Beliau berkata hanya Parlimen, dan bukan mahkamah, boleh mengambil hak daripada Felda untuk menyaman, seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Kemajuan Tanah 1956.

Tiada ulasan: