Rabu, 23 Disember 2015

FGV Masih Pertimbang Beli EHP



Pelbagai khabar angin disebarkan, pada hakikatnya, Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), masih lagi dalam pertimbangan. FGV menjelaskan bahawa proses usaha wajar bagi pembelian kepentingan dalam PT Eagle High Plantations (EHP) masih lagi berjalan dan belum dimuktamadkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah berkata, berdasarkan kepada keadaan pasaran yang tidak menentu, FGV sedang mengambil langkah tambahan untuk memastikan perjanjian tersebut dapat membawa nilai kepada pemegang saham khususnya dan komuniti yang lebih besar daripada pihak berkepentingan.

“Seperti yang kita umumkan sebelum ini, kami telah memulakan proses usaha wajar kita dengan pihak bebas dan proses itu belum lagi dimuktamadkan.

“Jadi, adalah sesuatu yang tidak membantu apabila membuat spekulasi berkenaan hasil proses usaha wajar yang komprehensif atau faktor-faktor yang boleh memberi kesan kepada keputusan perniagaan,” katanya dalam ke­nyataan beliau lagi.

Semua ini berpunca dari sebuah akhbar yang melaporkan perkara tersebut. Laporan  yang memetik sumber perbankan berkata, Bank Negara Malaysia tidak meluluskan permintaan syarikat berkenaan untuk mem­bayar 23 peratus daripada depo­sit berjumlah AS$174.5 juta (RM780.87 juta) sebagai sebahagian daripada perjanjian awal yang diumumkan Jun lalu berikutan beberapa sebab.

Pada Jun lalu, FGV menandatangani perjanjian dengan Rajawali Group bagi membolehkan FGV memiliki 37 peratus saham dalam EHP dengan nilai AS$680 juta (RM2.55 bilion) dalam bentuk dana tunai dan saham.

Melalui perjanjian tersebut juga, anak syarikat Felda Holdings Berhad itu akan mengambil alih kira-kira 95 peratus kepentingan dalam perladangan gula Rajawali Group dengan nilai AS$67 juta (RM252.5 juta) secara tunai dan saham.

Jelas Mohd. Emir, pihaknya menyedari transaksi tersebut mendapat perhatian banyak pihak terutama dalam kalangan komuniti pelaburan termasuk pembuat dasar.

“Mereka me­nunjukkan kepada kami komitmen tadbir urus yang tinggi dan ke­telusan bagi memastikan semua pihak yang mengikuti perkembangan terkini bergerak selaras de­ngan keperluan undang-undang,” ujarnya.

Tiada ulasan: