Isnin, 6 Februari 2017

Semakin Lama Menunggu, Pas Makin Mengada-gada!


Di dalam dunia ini rasanya tidak ada parti lain yang begitu mengada-ngada selain daripada Pas. Hanya kerana menggunakan nama Islam, Pas selalu beranggapan mereka sentiasa benar dan orang lain harus tunduk kepada mereka.

Atas nama Islam, mereka boleh berjuang untuk menentang kemungkaran, tetapi dengan nama Islam juga Pas tidak kisah bersekongkol dengan pemimpin mungkar, malah menawarkan diri ingin menjadi penasihat kepada orang jahat.

Atas nama Islam, Pas menjaja hudud sejak sekian lama, tetapi kemudian menukarnya keada negara kebajikan sambil mengatakan elemem hudud turut terkandung di dalamnya.

Kemudian menggugurkan negara kebajikan dan kembali kepada hudud semula. Akhirnya hudud entah ke mana, tetapi seolah-olah sudah cukup bersyurga dengan Akta 355 saja.

Yang menggelikan hati, Pas kini cukup berbangga dapat bekerjasama dengan UMNO yang dulunya mereka kafirkan, assabiyahkan, sembelihannya dikatakan haram dimakan, imam sembahyang tidak boleh dimakmumkan dan yang sudah kahwin pula ada yang berantakan.

Episod mengada-ngada Pas ini berterusan lagi apabila dalam masa mereka berbaik-baik dengan UMNO, ia juga terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan Bersatu.

Di sebalik mengatakan menolak keras DAP, Pas masih juga duduk dalam mesyuarat Exco Selangor yang jelas ada DAP di dalamnya.

Maka benarlah makan keliling namanya.

Rundingan dengan Bersatu dengan Pas sepatutnya sudah berakhir pertengahan Januari lalu, tetapi dilanjutkan lagi kepada 1 Februari. Walaupun selepas rundingan pada tarikh tetsebut, ada dikeluarkan kenyataan bersama oleh Mukhriz Mahathir dan Tuan Ibrahim Tuan Man, ia kemudian dikatakan hanya jumpa-jumpa, sembang-sembang dan makan-makan saja.

Maklumlah jumpa pun di Bangsar, tempat lepak-lepak dan santai-santai yang memang dikenali ramai.

Belum pun hasil pertemuan itu kononnya mahu dihalusi sebelum ia dimuktamadkan, mengada-ngada Pas muncul apabila Ketua Dewan Ulamanya, Mahfodz Mohamed mensyaratkan bahawa tiada kerjasama dapat dijalinkan antara kedua-dua parti selagi Bersatu tidak memutuskan hubungannya dengan DAP dan Amanah.

Sekali lagi, mentang-mentang berjawatan Ketua Dewan Ulama, cakapnya seolah-olah fatwa dan hukum belaka. Pengikut bawahan Pas yang tidak tinggi ilmu agama tentu dengan sendirinya akan menerima kata-kata itu sedangkan DAP di Pulau Pinang tidaklah meminggirkan Islam dan permusuhan Pas dengan Amanah pula tidak sama-sekali berkaitan dengan agama, sebaliknya hanya kerana politik dan kuasa.

Jika benar Pas ikhlas ingin bekerjasama dengan Bersatu, kenapa diletakkan syarat mesti tinggalkan DAP dan Amanah sebelum rundingan dimuktamadkan?

Bukankah lebih baik cakap terus-terang tidak mahu bekerjasama, bahkan tidak perlu pun membuang masa mengadakan pertemuan dengan Bersatu?

Apakah watak tidak konsisten dan berbolak-balik itu ciri-ciri "king maker"?

Hari ini, Naib Presiden Pas, Mohd Amar Abdullah meneruskan sikap mengada-mengada Pas dengan meminta Bersatu dan PKR meninggalkan Pakatan Harapan untuk menyertai blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang setakat ini dianggotainya bersama dengan Ikatan.

Kata beliau, jika Bersatu dan PKR sedia berbuat demikian, kekuatan pembangkang akan meningkat berkali ganda serta memberi lebih harapan untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Entah dari sudut mana beliau membaca sifir politik kali ini. Sesuatu yang tidak logik sebenarnya, PKR dan Bersatu kini berada dalam liga satu iaitu Pakatan Harapan, tiba-tiba diminta keluar untuk menyertai liga dua yang lebih kecil, Gagasan Sejahtera.

Siapa pula jadi ketua Gagasan Sejahtera nanti jika PKR dan Bersatu sedia menyertainya?

Bacaan paling mudah untuk menumbangkan UMNO dan BN ialah dengan Pas sedia bergabung bersama semua parti-parti pembangkang, sama ada Pakatan Harapan atau membentuk gabungan baru yang diberi nama lain dan bukannya mewujudkan dua kumpulan pembangkang.

Jika mensyaratkan Bersatu meninggalkan DAP dan Amanah pun pasti  menjadikan kekuatan pembangkang bertambah lemah, meminta Bersatu dan PKR meninggalkan Pakatan Harapan untuk menyertai Gagasan Sejahtera, ia sebenarnya jauh lebih melemahkan pembangkang.

Katalah idea Pas itu diterima, bermakna pembangkang akan ada dua kumpulan. Satu yang dianggotai oleh Bersatu, PKR, Pas dan Ikatan, manakala satu lagi akan dianggotai oleh DAP dan Amanah.

Dengan wujudnya dua kumpulan pembangkang seperti itu, kedudukan pembangkang lebih teruk berbanding adanya Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu seperti sekarang ini serta ditambah dengan Gagasan Sejahjera yang dianggotai Pas bersama Ikatan.

Rakyat akan bertambah keliru dan tidak yakin. Akhirnya, siapa yang mereka mahu pilih untuk menggantikan UMNO dan BN?

Setidak-tidaknya Pakatan Harapan sekarang, walaupun tidak disertai oleh Pas, ia lebih baik dan besar berbanding Gagasan Sejahtera. Jika pengundi yang menolak UMNO dan BN mahu membuat pilihan, Pakatan Harapan akan lebih diutamakan.

Menerima idea Mohd Amar seperti meminggirkan pengundi bukan Melayu. Ia mungkin menyebabkan mereka kembali menyokong MCA, MIC dan Gerakan kerana gabungan yang hanya dianggotai oleh DAP dan Amanah tidak mungkin dapat membentuk kerajaan.

Jika pun pengundi bukan Melayu terus menyokong DAP dan gabungan baru yang diideakan oleh Mohd Amar itu pula mendapat kerusi melebihi UMNO, apakah ketika itu Pas masih sedia untuk bekerjasama dengan DAP dan Amanah?

Tidakkah disedari bahawa sekadar gabungan Pas, Bersatu, PKR dan Ikatan saja, jika tanpa sokongan bukan Melayu, adalah mustahil untuk membentuk kerajaan?

Akhirnya, sama ada Pas kekal dengan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan atau cubaan mengajak Bersatu dan PKR menyertai mereka dan meninggalkan Pakatan Harapan, maksud tersiratnya ialah Pas ingin memberi kelebihan dan keselesaan kepada Najib, UMNO dan BN terus berkuasa serta berkleptokrasi di negara ini.

Ia dengan sendirinya memecah-belahkan lagi parti-parti pembangkang dan akan membuatkan Najib lebih tersenyum untuk menghadapi pilihanraya.

Pilihan yang lebih baik untuk menumbangkan UMNO dan BN hanyalah dengan bersatunya semua parti-parti pembangkang tanpa banyak karenah dan sikap mengada-ngada.

Sebab itu, kepada Bersatu...lupakanlah Pas ini dan tumpukan kekuatan bersama Pakatan Harapan saja. Lagi diberi muka dan ruang masa, lagi mereka mengada-ngada. Jika terus diberi muka, percayalah, Pas akan terus mengada-ngada sehingga tibanya tarikh pilihanraya.

Tun Mahathir Mohamad sudah memberi panduannya - parti yang tidak mahu bergabung untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN, bermakna ia sedang bekerjasama dengan Najib, UMNO dan BN.

Kenapa susah sangat memahaminya? (SH 05/01/2017).

1 ulasan:

Ted Manoff berkata...

Pan churi kerusi Pas. Penchuri patut dilayan begitu